PUTRAJAYA
31 Mac - Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein
hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap
guru-guru besar dan ahli pentadbiran sekolah yang terbukti
cuba menyembunyikan kes-kes samseng yang serius di sekolah
masing-masing.
Beliau berkata, mereka
tidak wajar menutup sebarang perlakuan samseng di sekolah
kerana mereka telah diberi tanggungjawab untuk menjaga
keselamatan dan nyawa para pelajar.
``Sekiranya dari siasatan,
kita temui bukti kukuh (ada guru besar yang cuba menyembunyikan
kes), saya tidak akan teragak-agak (mengambil tindakan)
kerana pemegang jawatan itu adalah pemegang amanah dan
amanah itu adalah untuk menjaga anak-anak kita di sekolah.
``Jadi dalam hal ini, kalaulah
ia (tindakan terhadap guru besar) merupakan tindakan pertama
saya selaku Menteri Pelajaran, biarlah saya lakukan juga
tindakan itu, secara serta-merta,'' tegasnya.
Hishammuddin berkata demikian
kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama
Kabinet baru yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Jabatan Perdana Menteri,
Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Lok Yim Pheng semalam bahawa gejala samseng dan
buli wujud di hampir semua sekolah di negara ini dan kerap
cuba dilindungi oleh pihak sekolah.
Yim Pheng yang dihubungi
Utusan Malaysia semalam menyatakan tindakan menutup jenayah
samseng merupakan antara punca utama kejadian itu berulang
dari semasa ke semasa.
Ahad lalu, seorang pelajar
tingkatan empat, Mohamad Farid Ibrahim, 16, mati dipercayai
akibat dibelasah dengan teruk oleh sekumpulan 14 pelajar
tingkatan lima.
Kejadian yang berlaku di
asrama Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor,
Ampangan, Seremban itu merupakan yang kedua melibatkan
kehilangan nyawa dalam masa kurang enam bulan di negara
ini.
Pada 31 Oktober lalu, seorang
pelajar, Ahmad Firdaus Zakaria, 15, maut selepas tiga
hari koma di Hospital Port Dickson, akibat dipukul oleh
sekumpulan pelajar.
Menurut Hishammuddin, langkah
kementeriannya mewujudkan talian hotline secara terus
ke pejabatnya bagi melaporkan kes-kes samseng akan membantu
mengelakkan sekolah-sekolah dari menyembunyikan perkara
itu.
``Tidak ada sesiapa yang
perlu bimbang kerana melalui talian yang kita wujudkan,
e-mail serta pasukan petugas khas, ia akan dilaporkan
secara terus kepada saya sebagai menteri.
``Jadi tidak perlu bimbang
perkara ini disembunyikan atau tidak dilayan sebab saya
anggap ia serius, perlu dihapuskan tanpa kompromi,'' tegasnya.