PUTRAJAYA
31 Mac - Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein
memberi amaran keras kepada pelajar samseng bahawa mulai
hari ini mereka tidak mempunyai tempat dalam sistem persekolahan
di negara ini kerana mereka adalah penjenayah.
Katanya, Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi lampu hijau
agar khidmat polis digunakan bagi membantu Kementerian
Pelajaran membendung gejala keruntuhan disiplin dan kegiatan
samseng di sekolah.
"Tidak ada tempat
untuk penagih dadah, samseng dan gangster di sekolah-
sekolah kita mulai hari ini.
"Kita anggap mereka
sebagai penjenayah dan penjenayah akan dilayani sebagai
penjenayah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
mesyuarat sulung Kabinet yang baru di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, mesyuarat
itu membincangkan antara lain masalah samseng dan keruntuhan
akhlak di sekolah berikutan kematian seorang penuntut
Tingkatan Empat di Negeri Sembilan pada Ahad lalu dipercayai
akibat dibelasah oleh pelajar-pelajar senior.
"Saya berikrar kepada
rakan-rakan saya dalam Kabinet bahawa sebagai menteri
yang bertanggungjawab, saya tidak akan bertolak ansur
dalam perkara ini.
"Perdana Menteri sendiri
bersetuju agar kami bekerjasama rapat dengan polis bagi
menjalankan siasatan yang difikirkan perlu untuk memastikan
sekolah kita bebas daripada mereka yang saya sifatkan
sebagai penjenayah," katanya.
Semalam, Hishammuddin mengumumkan
penyediaan hotline bagi memudahkan mangsa-mangsa buli
di sekolah membuat laporan kepada pihak berkenaan serta
penubuhan satu jawatankuasa peringkat menteri bagi menangani
gejala samseng berikutan kematian Mohamad Farid Ibrahim,
16, penuntut Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra
Maamor di Ampangan, Seremban, akibat dipukul sekumpulan
pelajar.
Menurut laporan, 14 pelajar
sekolah berkenaan telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Hishammuddin menyeru mereka
yang menjadi mangsa buli di sekolah supaya berani untuk
tampil membuat laporan.
Katanya, Kementerian Pelajaran
akan sentiasa bersikap telus serta bertanggungjawab dan
oleh itu, tiada siapapun yang perlu bimbang untuk mendedahkan
apa yang berlaku.
Beliau juga mengingatkan
pengetua sekolah supaya tidak menyembunyikan masalah disiplin
di sekolah masing-masing bagi mengelak daripada dikenakan
tindakan sewajarnya.
"(Ini) kerana pemegang
jawatan itu merupakan pemegang amanah, dan amanah yang
mereka pegang ialah untuk menjaga anak-anak kita di sekolah,"
katanya.
Ditanya sama ada semua
kes yang membabitkan masalah disiplin akan dirujuk kepada
polis, beliau berkata, ia bergantung kepada laporan jawatankuasa
yang bertanggungjawab mengenainya.
"Kita akan menyesuaikannya
mengikut kes-kes bergantung kepada laporan yang kita terima,"
kata Hishammuddin.
Jawatankuasa berkenaan
akan dianggotai oleh pegawai kementerian, wakil pertubuhan
bukan kerajaan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP).
Beliau berkata, orang ramai
tidak perlu bimbang kerana semua aduan akan dilayan dengan
sebaik mungkin.
"Kita mahu memastikan
anak bangsa yang kita nak lahirkan ini betul-betul mempunyai
nilai-nilai yang boleh kita banggakan, yang boleh mencorak
sebuah negara yang maju pada masa akan datang," katanya.