Berita-bil. 14/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 



Sudah ada 35 kematian pelajar berhubung kes disiplin-NUTP

01/04/2004 [Utusan Malaysia]

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, sudah ada 35 kematian membabitkan pelajar akibat isu disiplin, bagaimanapun tiada tindakan diambil untuk mengatasinya.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, pengetua dan guru besar perlu peka terhadap kewujudan budaya geng di sekolah masing-masing kerana gejala itu bukan perkara baru.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau meminta pengetua dan guru besar mengambil tindakan segera terhadap kumpulan pelajar yang cuba mewujudkan budaya itu dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pelajar-pelajar terbabit.

Tiga hari lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor, Ampangan di Negeri Sembilan, meninggal dunia setelah dipercayai dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior selepas dikatakan enggan meminjamkan cerek elektriknya.

Lok berkata, pengetua dan guru besar sepatutnya sensitif terhadap disiplin pelajar di sekolah masing-masing dan bukan membiarkannya atau menutup kes bagi menjaga nama sekolah masing-masing.

"Tindakan seperti itu mendatangkan keburukan kepada semua pihak. Sebagai pengetua dan guru besar, mereka bertanggungjawab terhadap disiplin di sekolah masing-masing," katanya.

"NUTP memandang serius isu disiplin pelajar ini dan tidak mahu usaha menanganinya hanya hangat-hangat tahi ayam saja," katanya.

Lok mencadangkan agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap pengetua dan guru besar yang kurang memberi perhatian terhadap isu disiplin di sekolah masing-masing.