Saudara Pengarang,
BELUM sampai enam bulan kes gangsterisme yang menyebabkan
kematian pelajar sekolah lenyap, kini timbul kembali dengan
satu lagi kematian.
Kematian akibat dibelasah
di sekolah asrama di Seremban. Ini amat memilukan. Sebagai
seorang ayah yang mempunyai anak yang masih bersekolah,
saya merasa amat sedih dengan berita ini. Kini di sekolah
agama pula.
Apa yang berlaku ini sungguh
menakutkan. Ini menunjukkan masalah disiplin sungguh meruncing
terutama di sekolah berasrama. Saya sendiri tidak yakin
untuk menghantar anak saya ke sekolah berasrama apabila
kejadian seperti ini berlaku. Mungkin ia akan berlaku
pada anak saya.
Di sekolah lagi pendidikan
gangsterisme telah dipelajari oleh pelajar-pelajar ini
dan nampaknya apabila tamat sekolah nanti telah ada bakal-bakal
gengster dalam masyarakat kita.
Ini amat merugikan. Masalah
yang ada kini banyak yang masih belum kita selesaikan
seperti penagih dadah, vandalisme, pencuri (pecah rumah,
curi kenderaan dan lain-lain), lepak, bohsia begitu juga
pelacuran dan lain-lain lagi.
Kini seorang pelajar bijak
yang baru bergembira dengan keputusan cemerlang telah
mati akibat dibelasah oleh pelajar senior. Alangkah ruginya
kehilangan pelajar ini kepada keluarganya, masyarakat,
bangsa dan negara.
Setelah 16 tahun hidup
belajar dengan tekun sejak darjah satu untuk menjadi rakyat
berguna kepada bangsa dan negara, kini dia mati dengan
keadaan seperti ini. Dibelasah, disepak, diterajang, ditumbuk,
disiku dan diterajang lagi. Perut pecah, kepala retak
pundi kencing pecah sampai mangsa mati. Inikah raging
yang perlu dilakukan? Apa faedahnya? Ini manusia kejam.
Manusia yang tak ada perasaan dan hati perut langsung.
Bagi saya ia harus dicampak jauh-jauh ke neraka jahanam.
Berapa banyak wang, masa
dan tenaga untuk mendidik anak ini dan akhirnya pergi
di tengah jalan yang belum sempat disumbangkan kepada
negara. Kita sebagai seorang Islam percaya kepada qada
dan qadar, ia ketentuan Ilahi. Tetapi kepada yang melakukan
pembunuhan ini pula perlu diberi pembalasan (qisas). Ia
adalah hukum Allah. Ada masyarakat kita mengatakan yang
pergi tak akan kembali. Bagi saya, yang pergi memang tak
akan kembali, tapi yang melakukan pembunuhan itu perlu
dihukum. Mati dibalas mati.
Bagi saya sekiranya umur
17 tahun sudah boleh membunuh, tak perlulah lagi diberi
pengampunan atau dihantar ke sekolah pemulihan lagi untuk
jadi budak baik.
Menghabiskan duit pembayar
cukai saja. Seperti penagih dadah, setelah selesai menjalani
pemulihan, apabila balik kampung sambung lagi kerja lama
dan buat macam-macam hal lagi. Kalau pelajar ini sedar
akan akibat perbuatan raging yang boleh mencederakan pelajar
lain, juga ada sikap tanggungjawab sebagai abang senior
serta mengambil iktibar daripada berita-berita buruk yang
telah berlaku di sekolah-sekolah lain, mereka tak akan
sanggup melakukannya penderaan ini sampai menyebabkan
kematian. Eloklah dihukum setimpal dengan perbuatannya
itu sebagai pengajaran untuk pelajar-pelajar lain.
Pelajar ini akan menjadi
rakyat tak bertanggungjawab. Rakyat tidak bertanggungjawab
perlu diasingkan atau dimusnahkan supaya ia tidak mengganggu
keharmonian masyarakat pada masa akan datang. Masalah
ini mesti ditangani oleh semua pihak daripada ibu bapa,
sekolah, masyarakat sehingga kerajaan dengan secepat mungkin.
Sebelum saya berhenti,
saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa
semoga rohnya dicucuri rahmat.
- ZULKIFLI MOHD SAHALAN, Kuantan, Pahang.