
Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas |
|
-PENAFIAN-
PANDANGAN
DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI
WEB.
Paparan
terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan
resolusi
1024 X 768 px
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat
didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com
|
|
Syarat jadi
guru diperketat
Oleh Kadir Dikoh, Minarni Mat Saad, Syuhada Choo Abdullah
dan Norzilawati Abdul Halim
[Sumber:Cikgu.Net]
SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius
dalam memantapkan lagi aspek pemilihan calon guru bagi memastikan
mereka memiliki ciri-ciri keguruan, selain kecemerlangan akademik
dan sahsiah.
Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata jumlah
permohonan yang begitu besar membolehkan kementerian membuat
pilihan sesuai dengan calon paling layak dan terbaik diambil
mengikuti kursus perguruan.
Beliau berkata, perguruan antara profesion paling popular
dan mempunyai permintaan tinggi. Lebih 54,000 calon memohon
bagi program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tahun
lalu bagi 6,800 tempat. Bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia
(KPDM), lebih 30,000 permohonan diterima tahun ini bagi 1,000
tempat.
“Ini bermakna, bagi program KPLI, daripada lapan pemohon
hanya satu berjaya, manakala bagi KPDM, daripada 30 pemohon,
29 pasti kecewa,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran
Sambutan Hari Guru 2004 Peringkat Kebangsaan Ke-33 di Stadium
Malawati Shah Alam di sini, semalam. Pelancaran hari guru
bertemakan ‘Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’
itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi.
Lima pesara guru yang menerima Anugerah Tokoh Guru 2004 berpegang
kepada prinsip kerja yang sama, iaitu melaksanakan tugas dengan
ikhlas, jujur, penuh kasih sayang, bersungguh-sungguh dan
tidak mudah berputus asa.
Penerima anugerah itu ialah Md Ismail Zam Zam atau lebih dikenali
dengan nama pena Zam Ismail, 61; Alice Wee Siew Eng, 63; Krishnasamy
a/l Tambusamy, 62; Wan Safinah Saleh, 61, dan Ali Suhaili,
60. Mereka masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai
RM10,000, pingat, plak dan sijil penghargaan.
Hishammuddin berkata, tema itu dipilih kerana Kementerian
Pelajaran akur, insaf dan sedar kualiti adalah unsur paling
penting dalam apa jua perkhidmatan, lebih-lebih lagi sektor
pendidik. “Kementerian sedar pada era k-ekonomi ini,
kita tidak dapat lari daripada tanggungjawab membudayakan
guru dengan budaya pembelajaran berterusan agar mereka dapat
terus berperanan sebagai pekerja ilmu yang berupaya mengangkat
pendidikan negara ke tahap lebih cemerlang,” katanya.
Selain ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, Hishammuddin
berkata, kementerian sedar mutu guru berkait rapat dengan
suasana persekitaran kerja dan sejauh mana keperluan diri
mereka dipenuhi.
“Tanpa persekitaran kerja kondusif dan fikiran tenang,
mustahil guru dapat mempertahankan kualiti untuk tempoh yang
panjang, apatah lagi dipertingkatkan seterusnya ke tahap lebih
gemilang,” katanya.
Hishammuddin berkata, kementerian terus melihat, mengkaji
dan memastikan persekitaran kerja dan keperluan diri guru
dipertingkatkan secara berterusan sesuai dengan keperluan
semasa.
“Bagaimanapun, selain usaha kementerian, masih ada perkara
yang hanya boleh ditentukan oleh guru seperti kedalaman perasaan
kasih, sayang dan cinta mereka kepada pelajar, pendidikan
anak bangsa dan masa depan negara.
“Hanya guru dapat menentukan sejauh mana mereka mahu
berbangga dengan profesion mereka, menerimanya sebagai amanah
dan tanggungjawab yang mulia serta menganggap tugas yang berkaitannya
sebagai tanggungjawab peribadi untuk memartabatkan agama,
bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, faktor emosi adalah motivasi yang lebih penting,
berharga dan berkuasa untuk meningkatkan kualiti diri dan
perkhidmatan guru secara berkekalan berbanding wang, segala
insentif serta kemudahan diperuntukkan kerajaan.
|
|