Martabat kerjaya
perguruan sentiasa dipertingkatkan
Oleh Syuhada Choo Abdullah
[Sumber:Cikgu.Net]
KEMENTERIAN Pelajaran menempatkan
2,235 lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Sekolah
Rendah tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul
Rafie Mahat.
Beliau berkata, penempatan
itu boleh disifatkan sebagai detik bersejarah dalam perkhidmatan
guru kerana buat julung kali guru siswazah ditugaskan ke
sekolah rendah.
Berbekalkan latihan perguruan di maktab perguruan dan pengajian
akademik di universiti, katanya, kementerian berharap adunan
kedua-dua faktor itu akan menghasilkan guru permulaan yang
cekap serta berkesan.
“Tahun ini juga menyaksikan penyelesaian kepada isu
penempatan guru lulusan pengajian jarak jauh (PJJ). Sejumlah
8,112 jawatan baru sudah diwujudkan untuk mereka dengan
kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Selain itu, skim perkhidmatan untuk guru cemerlang
dan pengetua kanan adalah satu lagi contoh betapa Kementerian
Pelajaran serius dan komited dalam mempertingkatkan kualiti
pendidikan negara dan profesion keguruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran
Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2004 oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Stadium Malawati,
Shah Alam, kelmarin.
Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein;
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Ambrin Buang.
Majlis pelancaran berkenaan diserikan dengan pelbagai acara
dan persembahan berwarna-warni, antaranya koir 120 guru
Selangor yang mendendangkan lagu tema Hari Guru 2004 dan
`Fikirkan Boleh’, di samping persembahan hebat Pasukan
Gendang Dua Puluh Empat, Kompang 100, Melodrama dan Tarian
Integrasi Bangsaku oleh guru serta pelajar Selangor, termasuk
pelajar pendidikan khas.
Selain itu, tetamu juga menikmati persembahan menarik bekas
guru Perdana Menteri, Ng Soo Chye, yang bermain harmonika
dengan lagu Tanah Pusaka, manakala Lim Swee Tin pula mendeklamasikan
sajak karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk (Dr) Usman
Awang, `Guru Oh Guru’ diiringi gesekan biola oleh
Karen Chua Lee Hwee.
Abdul Rafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan
Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2004 berkata, guru amat bertuah
kerana mendapat perhatian dan sokongan kerajaan dalam usaha
memartabatkan profesion keguruan.
Sebagai contoh, katanya, melalui pelaksanaan kursus peningkatan
profesionalisme yang berterusan, guru berpeluang mempertingkatkan
pengetahuan, kemahiran serta profesionalisme mereka ke tahap
terbaik.
Sehubungan itu, beliau berkata, walaupun negara kini sudah
mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, guru akan terus
berbakti di serata pelosok negara dan bersedia memberikan
perkhidmatan terbaik di mana jua mereka bertugas.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas
dan tahniah kepada seluruh warga guru yang menjalankan tugas
serta tanggungjawab dengan penuh ikhlas, dedikasi dan juga
cemerlang,” katanya.
Abdul Rafie menegaskan, tema Hari Guru tahun ini, iaitu
`Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’, dipilih
berdasarkan kesedaran bahawa guru berkualiti mendasari kecemerlangan
dan kegemilangan pendidikan.
“Tema ini adalah seruan dan petunjuk arah kepada warga
guru agar sentiasa membudayakan kualiti dalam melaksanakan
setiap tugas serta tanggungjawab.
“Pemilihan 16 Mei sebagai tarikh Hari Guru pula ada
nilai sejarah yang sungguh bermakna. Tarikh ini dipilih
kerana tarikh sama pada 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan
Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran
sebagai asas dasar pelajaran bagi negara ini.
“Dokumen berkenaan yang dikenali sebagai Laporan Razak
menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak itu,” katanya.