Siapa bakal jadi
pemimpin jika remaja makin hanyut?
Selasa, 10 Ogos 2004 (Harakahdaily.net)
Oleh Salmiyah
Harun
TANGGAL 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut Hari
Kemerdekaan ke-47. Pelbagai persiapan dan program telah
diatur bagi meraikan hari yang bersejarah itu.
Adakah dengan menyambut Hari
Kemerdekaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sebaik sahaja detik
12.00 tengah malam sudah cukup memberi erti kepada rakyat
negara ini?
Pengertian sebenar kemerdekaan
adalah sesuatu yang amat sukar dihayati oleh segenap lapisan
masyarakat khusunya remaja yang semakin hari semakin dihimpit
dengan masalah sosial yang sukar dibendung.
Apabila tiba detik 12.00
tengah malam golongan remajalah yang begitu ghairah untuk
melaungkan kemerdekaan. Bagaimanapun mereka jugalah golongan
yang banyak menyumbang kepada masalah sosial pada hari ini.
Sejak kebelakangan ini pelbagai
masalah sosial menimpa masyarakat seperti gejala mencuri,
meragut, penagihan dadah, rogol, samseng sekolah, lumba
haram, lepak dan pembunuhan.
Remaja pada hari nampaknya
sudah tidak gerun dengan undang-undang negara malah tidak
takut jika dipenjarakan. Mereka seolah-olah memandang remeh
terhadap permasalahan ini.
Ramai juga di kalangan pemimpin
kita melahirkan rasa bimbang dengan masalah sosial khususnya
membabitkan remaja dan meminta masyarakat berganding bahu
menanganinya dengan berkesan.
Bahkan mereka juga meningatkan
masyarakat setempat memainkan peranan serta sedar punca
utama berlakunya masalah sosial itu.
Dalam hal ini, saya berpendapat
antara langkah yang berkesan untuk menangani masalah sosial
yang menjadi masalah besar kepada negara ialah didikan agama
yang sempurna dan ia perlu diamalkan.
Dalam keadaan negara yang
sedang menghadapi berbagai-bagai situasi yang boleh menyumbang
kepada gejala sosial antaranya program hiburan yang tidak
terbatas termasuklah cerita-cerita yang berunsurkan seks,
ganas, bunuh dan bermacam-macam lagi, pendidikan agama amat
penting.
Saya bukan tidak yakin dengan
pendidikan di sekolah yang juga mempunyai matapelajaran
agama Islam atau pendidikan moral bahkan menjadi subjek
wajib untuk semua pelajar tetapi ia tidak menyeluruh, tambah-tambah
lagi keadaan zaman sekarang yang begitu mencabar keimanan
umat Islam.
Jika remaja itu mempunyai
didikan agama yang baik, mereka tidak mudah untuk terpengaruh
dengan program-program yang melalaikan dan boleh merosakkan
hidup mereka.
Bahkan hampir kesemua lapisan
masyarakat berpendapat pendidikan agamalah yang boleh menghalang
mereka daripada terlibat dengan perkara-perkara mungkar.
Salahkan ibu bapa
Di samping itu, ada juga
sesetengah pihak yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak
mengawasi anak-anak mereka kerana sibuk dengan kerja masing-masing.
Malah ibu bapa disaran meluangkan masa bersama anak-anak
sebagai langkah mengatasi masalah ini.
Apa yang masyarakat dapat
saksikan pada hari ini bermacam-macam kes telah berlaku
melibatkan golongan remaja antaranya di Johor pada awal
Ogos ini seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah
Majistret selepas didakwa membunuh seorang pembantu rumah
di Taman Sri Skudai.
Begitu juga kes yang menyayat
hati apabila seorang pelajar di Sekolah Menengah Agama Dato'
Kelana Petra Ma'mor Seremban, Muhammad Farid Ibrahim mati
akibat dibelasah oleh lapan pelajar sekolah terbabit pada
28 Mac lalu.
Pada 6 Julai lalu seorang
pelajar undang-undang di sebuah universiti luar negara,
Darren Kang Tien juga mati apabila dibelasah sekumpulan
pemuda di sebuah restoran di Sri Hartamas.
Berdasarkan satu kajian sayap
sosial MIC, kira-kira 30 peratus remaja India di Selangor
terjebak dalam pelbagai kancah gejala sosial dan jenayah
berat kerana tiada pedoman hidup atau bimbingan supaya mengelak
terpengaruh dengan amalan negatif itu.
Secara ringkas, laporan kajian
itu mendapati penagihan dadah, ketagihan minuman keras,
kekurangan pendidikan dan ketiadaan peluang pekerjaan menjadi
punca utama remaja beralih kepada jenayah atau terbabit
dalam gejala sosial lain.
Dalam pada itu, seramai 10,926
pelajar ditangkap membabitkan 6,109 kes jenayah juvana di
seluruh negara sejak 2000 sehingga pertengahan tahun ini.
Dari segi tangkapan mengikut
bangsa, pelajar Melayu mencatatkan peratusan tertinggi serta
menunjukkan kadar peningkatan sepanjang tempoh sama, iaitu
69.38 peratus atau 1,883 pelajar pada 2000, diikuti 75.36
peratus (1,734) 2001; 76.25 peratus (1,535) 2002; 78.53
peratus (2,012) 2003; dan 79.64 peratus (1,060) antara Januari
sehingga Jun tahun ini.
Empat asas kekuatan
Ketua Penolong Pengarah di
Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner
(ACP) Aishah Mohammad, ketika menyampaikan kertas kerja
bertajuk Psikologi/Tingkah Laku Remaja Dari Perspektif Polis
Diraja Malaysia (PDRM) pada Konvensyen Disiplin Murid Peringkat
Kebangsaan 2004 di Kuala Lumpur mengakui punca utama masalah
sosial yang dihadapi remaja ialah kegagalan mereka menguasai
kekuatan asas bagi menghadapi kehidupan beradab.
Empat kekuatan asas ialah
kekuatan akidah, kekuatan ilmu, kekuatan akhlak serta kekuatan
ekonomi.
Antara jenis jenayah yang
membabitkan pelajar ialah bunuh, samun berkawan tanpa senjata
api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api, rogol,
menyebabkan kecederaan, keganasan jenayah, curi dan pecah
rumah siang hari, curi dan pecah rumah malam hari, curi
lori/van, curi kereta, curi motosikal serta ragut.
Di samping itu, laporan Polis
Kuala Lumpur telah membuat 184 tangkapan membabitkan pelajar
berusia antara tujuh hingga 18 tahun yang melakukan pelbagai
kes jenayah sepanjang tempoh 2002 hingga Mac lalu.
Apa sudah jadi dengan remaja
pada hari ini, apa sumbangan mereka kepada negara ini sebagai
satu hadiah bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang bakal tiba
nanti?
Siapa yang akan menjadi pelapis
negara jika remaja di negara ini terlibat dengan masalah
sosial? Siapa yang akan menerajui negara nanti, pencuri,
perogol, peragut, atau pembunuh?
Timbul kerisauan di hati
saya, bagaimanalah keadaan anak saya apabila besar nanti,
yang pastinya akan berdepan dengan pelbagai masalah sosial.
Siapa yang harus di persalahkan? Sama-samalah kita fikirkan.