Infotainmen' bukan bahasa rojak - Zam
11 Ogos 2004 (Utusan
Malaysia)
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM)
menolak tanggapan bahawa perkataan `infotainmen' pada slogan
`Saluran Infotainmen Anda' di sebalik penjenamaan semula
rancangan-rancangan RTM adalah bahasa rojak.
Sebaliknya, menurut Timbalan
Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, penggunaan perkataan
itu telah mendapat kebenaran dan dirujuk kepada pakar-pakar
bahasa progresif.
``Jadi saya harap orang ramai
tidak memperbesar-besarkan penggunaan perkataan itu,'' katanya
kepada Utusan Malaysia ketika diminta memberi penjelasan
mengenai perkataan itu yang dilihat menjurus kepada penggunaan
bahasa rojak.
Menurutnya, penggunaan istilah
`infotainmen' sebenarnya lebih tepat dan menggambarkan maksud
yang jelas berbanding istilah yang diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu iaitu hiburan bermaklumat.
Beliau memberitahu, pihaknya
tidak bercadang untuk mencampuradukkan penggunaan bahasa
Inggeris dan bahasa Melayu sebaliknya penggunaan istilah
itu lebih moden dan berupaya meringkaskan perkataan.
``Kita dah cari pelbagai
istilah, tapi tidak tepat, istilah `infotainmen' sebenarnya
mudah difahami kerana ia merupakan gabungan dua perkataan
yang menjelaskan satu maksud umum,'' katanya.