Usah rosakkan bahasa ibunda kerana Sains, Matematik
11 Ogos 2004 (Berita
Harian)
SEBAGAI pelajar kursus bahasa
Melayu, saya bersetuju dan menyokong pendirian Prof Abdullah
Hassan mengenai kewajaran bahasa Melayu digunakan dalam
pengajaran Sains dan Matematik.
Pandangan beliau ini disuarakan
dalam rancangan Isu Semasa di TV1 pada 2 Ogos lepas. Memang
tidak ada orang yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris
sebagai di antara bahasa utama dunia, khususnya dalam penguasaan
teknologi.
Namun, agak memalukan sebagai
orang Melayu yang mengaku nasionalis secara terang-terangan
cuba mengecilkan kebolehan bahasa Melayu seperti kenyataan
Datuk Azman Ujang yang menyatakan ramai generasi muda tidak
mendapat kerja ekoran lemah dalam bahasa Inggeris.
Sebenarnya bukan bahasa yang
perlu dipersalahkan sebaliknya mentaliti dan sikap rakyat
Malaysia sendiri yang terlalu lembut dan banyak bergantung
kepada orang luar, sehingga mengimport kemasukan bahasa
asing ke dalam negara sendiri.
Tidak salah belajar dan menguasai
bahasa Inggeris. Prof Abdullah sendiri menguasai bahasa
Inggeris dengan baik dan lebih baik sebutannya daripada
individu yang mengambil kursus bahasa Inggeris, tetapi beliau
tetap berjuang mempertahankan hak bahasa Melayu.
Ini kerana kalau bukan kita
siapa lagi yang sanggup dan mampu mempertahankan kedudukan,
maruah dan kedaulatan bahasa Melayu.
Kenyataan bahawa berlaku
peningkatan pencapaian pelajar dalam masa tiga bulan pelaksanaan
subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris hanyalah
satu hipotesis yang tidak lengkap kerana hanya bersandar
pada tinjauan di beberapa sekolah.
Kerajaan sepatutnya mengkaji
pencapaian semua sekolah di seluruh negara.
Saya berpengalaman mengajar
sebagai guru ganti di sebuah sekolah di pedalaman Sabah,
tempat kelahiran saya.
Ramai pelajar Tahun Satu
tidak dapat menguasai subjek Matematik dan Sains dengan
baik ekoran tidak faham dengan beberapa perkataan dalam
bahasa Inggeris. Kes ini berlaku di hampir semua kawasan
pedalaman. Perkara ini, amat membimbangkan semua pihak terutama
ibu bapa.
Kelemahan pelajar Melayu
dalam bidang Matematik dan Sains memang terbukti sejak sekian
lama walaupun diajar dalam bahasa ibunda, apatah lagi dalam
bahasa Inggeris bertambah merosotlah pencapaian mereka.
Usaha kerajaan menggalakkan
penguasaan bahasa Inggeris memang relevan. Cuma pendekatan
lebih komunikatif sifatnya perlu dilaksanakan dan bukan
melalui penggunaan langsung bahasa Inggeris untuk Matematik
dan Sains.
Usaha memartabatkan bahasa
Melayu bukan hanya pada tokoh dan ahli bahasa, tetapi semua
pihak perlu peka kerana bahasa itu jiwa bangsa, jika kita
hanya mengaku sebagai nasionalis, tetapi pada masa sama
kita terus meruntuhkan kredibiliti bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara, isu bahasa ini tidak akan dapat diselesaikan.
Mempelajari bahasa Inggeris
memang perlu dan digalakkan, tetapi jangan sampai kita sanggup
membiarkan bahasa Melayu diganyang sesuka hati tanpa bertindak
atas dasar yang dipersetujui kerana ingin mengecapi kemajuan.
Persoalannya jika benar bahasa
Inggeris itu, menjadi masalah utama mahasiswa Melayu mendapat
kerja, mengapa di England pun wujud pengangguran?
Ini menunjukkan bahasa bukan
faktor utama, tetapi adalah faktor sampingan kerana ada
banyak lagi perkara yang mendasari masalah itu.
Oleh itu, peliharalah bahasa
Melayu dan pada masa sama belajarlah bahasa Inggeris, tetapi
jangan merosakkan imej dan nilai bahasa Melayu yang menjadi
lambang peradaban tinggi bangsa Melayu.
DZULKIFLI MOHD
ASPAH, Tanjung Malim, Perak.