Berita-bil. 22/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 

 

Guru muda Melayu : Didakwa tidak bersemangat mengajar

30/07/2004 (Portal Utusan)


GURU-guru muda Melayu berusia lewat 20-an dan awal 30-an tidak mempunyai semangat yang tinggi untuk mendidik para pelajar berbanding guru-guru kaum Cina yang seusianya.

Kebanyakan guru-guru berkenaan hanya akan menjalankan tugas rutin seharian dan tidak mahu meluangkan lebih banyak masa dengan pelajar untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia, Yahya Zakaria berkata, hanya setelah ditegur atau `dikerah' oleh guru besar, barulah guru-guru tersebut akan menunjukkan `sedikit' minat untuk membantu para pelajar berkenaan.

``Itupun separuh jalan sahaja, selagi kita tidak `push' mereka, memang susah untuk melihat mereka berinisiatif membantu pelajar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, masalah tersebut dihadapi oleh semua guru besar di negara ini.

``Setiap kali guru besar-guru besar bertemu kita akan mendengar luahan masalah yang sama terhadap guru-guru muda ini,'' katanya.
Berbeza dengan guru-guru Cina, kebanyakan mereka menunjukkan kesungguhan untuk membantu pelajar berjaya dalam pelajaran.

``Mereka sanggup meluangkan lebih masa selepas waktu sekolah malah sewaktu cuti sekolah seperti hari Sabtu dan Ahad untuk memberi pelajaran tambahan kepada pelajar,'' katanya.

Sedangkan bagi guru-guru Melayu mereka hanya akan memberi tumpuan terhadap tugas rutin seperti mengajar pada waktu sekolah, ko-kurikulum dan tuisyen sebanyak dua kali seminggu.

``Lebih daripada itu mereka tidak akan buat dan menganggapnya sebagai suatu bebanan kepada mereka,'' katanya.

Yahya berkata, walaupun jumlah guru yang bersikap sedemikian tidak banyak dan dianggarkan mewakili lima peratus daripada jumlah guru di setiap sekolah namun katanya, ia mampu menjejaskan usaha pihak sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Menurut beliau, kumpulan guru-guru muda itu yang merupakan pelapis pendidik tidak seharusnya mempunyai sikap sedemikian berdasarkan latar belakang pendidikan yang dimiliki.

Yahya berkata, antara kemungkinan wujudnya sikap sedemikian dalam kalangan guru ialah kecenderungan mereka memikirkan masalah keluarga berbanding masalah pendidikan di sekolah.

``Pada usia sebegini mereka lebih memikirkan masalah rumah tangga, anak-anak, pembahagian masa mereka di rumah dan keluarga,'' katanya.

Pada peringkat umur begitu, mereka juga akan dibebani dengan pelbagai masalah kos sara hidup seperti pembayaran hutang kereta, rumah dan lain-lain.

Masalah-masalah tersebut menyebabkan guru-guru gagal memberi tumpuan terhadap kerja-kerja mereka sebagai seorang pendidik.
Bagaimana pun beliau menolak andaian bahawa guru-guru berkenaan tersalah pilih profesion atau tidak minat menjadi seorang guru.

``Sebenarnya minat untuk menjadi guru boleh dipupuk tidak semestinya masalah tidak minat itu akan berkekalan sepanjang karier mereka,'' katanya.

Dalam menangani masalah tersebut pihak sekolah akan berusaha mewujudkan lebih banyak program motivasi untuk guru-guru terbabit.
``Selain itu setiap hari Sabtu kita adakan program perkembangan kakitangan selain motivasi bercorak keagamaan,'' ujarnya.