Bahasa Rojak: Zainuddin
'keras kepala', tidak hormati
pakar bahasa
12 /08/2004 (Harakahdaily)
Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Hrkh) - Timbalan Menteri Penerangan,
Dato' Zainuddin Maidin disifatkan tidak profesional, 'keras
kepala' dan sekaligus tidak menghormati keilmuan pakar-pakar
bahasa di atas tindakan beliau mempertahan juga istilah
'infotainmen'.
Bekas Pensyarah Jabatan Persuratan
Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shafie Abu
Bakar berkata, dapat dilihat dengan jelas apabila pandangan
pakar-pakar bahasa yang membuat teguran terhadap istilah
tersebut sebagai bahasa rojak ataupun slanga tidak dihiraukannya.
Malah katanya, pakar-pakar bahasa seperti, Profesor Emiratus
Dato' Dr Nik Safiah Karim (pakar bahasa linguistik tempatan)
yang menegur penggunaan Istilah yang memalukan itu harus
diterima.
"Sepatutnya Zainuddin tidak perlu bersikap 'kera kepala'
kerana kalangan pakar bahasa merupakan sumber rujukkan dan
sudah semestinya beliau terima kesilapan tersebut,"
katanya.
Dalam sebuah akhbar harian hari ini, Zainuddin dipetik berkata
bahawa RTM tetap akan menggunakan istilah 'infotainmen'
dalam slogan 'Saluran Infotainmen Anda' melalui penjenamaan
semula rancangan-rancangan di stesen itu yang bermula 1
Ogos lalu.
Beberapa pakar bahasa yang terdiri dari Presiden Persatuan
Linguistik Malaysia, Dr Awang Sariyan; Dato' Nik Safiah
Karim dan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara, Tan Sri
Wira Abdul Rahman Arshad dilaporkan oleh akhbar berkenaan
menolak istilah yang digunakan RTM.
Menurut Dr Shafie, beliau juga setuju dengan pandangan pakar-pakar
bahasa itu kerana katanya istilah tersebut tidak sesuai
digunakan oleh RTM yang menjadi media utama kerajaan.
"Nampak sangat Zainuddin nak tunjuk pandai sebab dalam
bahasa Inggeris pun istilah itu tidak wujud," katanya
lagi.
Oleh sebab itu katanya, walaupun kesilapan tersebut boleh
menjatuhkan maruahnya tetapi beliau perlu merujuk kepada
pakar bahasa kerana RTM adalah milik kerajaan dan rakyat.
Tindakan tersebut katanya, mencerminkan kelemahan dan kewibawaan
Kementerian Penerangan sebagai suara kerajaan yang dipertanggungjawab
oleh rakyat negara ini.
"Kita harap Zainuddin akur sajalah dengan teguran pihak
yang lebih berwibawa dalam isu bahasa ini jika tidak, ia
boleh merosakkan kredibiliti kepercayaan masyarakat kepada
badan penyiaran tersebut," katanya.
Dalam pada itu Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras),
Mohd Azmi Hamid berkata beliau kecewa dengan sikap Zainuddin
yang masih mahu terus menggunakan istilah campuran sebagai
jenama baru RTM.
Katanya, walaupun ditegur ahli dan pakar bahasa sebagai
bahasa rojak yang akan merosakkan Bahasa Melayu, Timbalan
Menteri tersebut masih berfikiran penjajah dan pengkagum
apa saja yang datang dari Barat.
"Fenomena meng'Inggeris'kan bahasa Melayu yang makin
berleluasa di kalangan masyarakat dan pihak berkuasa adalah
petanda kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa melunturkan
kedaulatan bahasa Melayu," katanya.
Sehubungan itu, beliau persoalkan kewajaran pihak kerajaan
yang ditunjukkan oleh agensinya sendiri iaitu RTM untuk
membelakangkan bahasa Melayu yang murni dalam penggunaan
istilah yang betul dalam bahasa Melayu.
Katanya juga Teras membantah penggunaan istilah infotainmen
itu kerana sebagai sebuah agensi rasmi kerajaan, penggunaan
bahasa rojak dan membawa kesan buruk kepada perkembangan
penggunaan bahasa Melayu.
"Teras menggesa RTM meanarik balik istilah tersebut
dan berbincang dengan pakar bahasa dari Dewan bahasa dan
Pustaka (DBP) atau mana-mana institusi Pengajian Tinggi
(IPT) untuk mengguna bahasa Melayu yang lebih murni,"
katanya lagi. - mks.