‘Cita-citaku nak lanjutkan pelajaran ke Akademi Fantasia’
17 /08/2004 (Harakahdaily)
Oleh Roy Rasul
TERBUKTI rakyat Malaysia sanggup
berhabis-habisan membelanjakan jutaan ringgit semata-mata
untuk hiburan khasnya dalam rancangan Akademi Fantasia (AF)
musim kedua yang baru berakhir Sabtu, 14 Ogos lalu.
Malah RM7.5 juta yang dikutip
menerusi 15 juta khidmat pesanan ringkas (SMS)dalam tempoh
10 minggu sememangnya menakjubkan, sekali gus membuktikan
pihak penganjur berjaya memanipulasikan dunia hiburan untuk
kepentingan syarikat telekomunikasi yang bertindak sebagai
penaja utamanya.
Apapun, itulah realiti yang
melanda masyarakat negara ini terutamanya masyarakat Melayu/Islam
kerana mereka yang mengeluarkan jutaan ringgit dengan penuh
kerelaan hati.
Untuk menghantar SMS, mereka
ada duit, tetapi untuk membeli kelengkapan persekolahan
anak seperti buku dan komputer dan membayar yuran sekolah,
mereka kata 'tak ada duit'.
Malah mereka berasa bangga
pula apabila berjaya menjadi pengundi (AFUNDI) kepada peserta
dalam program AFyang kini menjadi kegilaan sebahagian besar
rakyat negara ini.
Oleh itu tidak hairan jika
ada peminat fanatik AF menangis teresak-esak apabila penyanyi
pilihan mereka terkeluar dalam program AF. Mereka tidak
menangis pula apabila anak tidak hendak belajar atau tidak
menunaikan suruhan agama seperti solat.
Peminat sanggup menghabiskan
duit menerusi SMS sebagaimana dilaporkan akhbar pada 16
Ogos lalu bahawa sejak rancangan itu disiarkan oleh stesen
TV berbayar Astro yang bermula 12 Jun lalu, sebanyak 15
juta SMS diterima.
Bayangkan setiap panggilan
SMS untuk mengundi (AFUNDI) pula dikenakan kadar premium
50 sen di samping kadar caj SMS biasa. Yang dikenakan, itu
belum termasuk panggilan yang dibuat oleh peminat dari negara
Brunei Darussalam di mana kadar premiumnya sebanyak RM2.30.
Apa rasionalnya jika 'trend'
hiburan terkini sudah banyak menjurus kepada penggunaan
SMS dimajukan di negara ini?
Rakyat terus hanyut
Sampai bilakah rakyat Malaysia
akan terus hanyut dengan dunia hiburan yang tidak ada noktahnya
itu?
Peliknya tidak ada pula sekatan
daripada pihak kerajaan untuk mengehadkan rancangan-rancangan
hiburan melampau yang makin menghantui masyarakat hari ini.
Kejayaan AF mengumpulkan
jumlah RM7.5 juta membuktikan rakyat amat mudah untuk membelanjakan
duit mereka biarpun sumbangan mereka tidak memberi sabarang
keuntungan ataupun ganjaran yang boleh dinikmati mereka.
Hakikatnya apa yang dikhuatiri
ialah peminat hiburan yang terlalu fanatik terhadap rancangan
seumpama itu tidak lagi boleh ditegur dan ada antara mereka
terus melenting apabila para ulama cuba menasihati mereka
supaya tidak terlalu taksub sehingga ada yang leka untuk
mengerjakan ibadat kepada Tuhan khasnya solat lima waktu.
Contohnya sebagaimana diluahkan
seorang penyanyi terkenal dalam satu laman web yang berkata,
"Siapalah kita untuk mengukur sama ada orang solat
atau tidak. Soal beribadat ini bergantung kepada individu,
kalau duduk di rumah pun, kalau dia tidak ingat Tuhan dan
tidak solat pun, tidak ada bezanya.
"Sebagai orang Islam,
kita mesti ke depan. Kita bekerja, menunaikan kewajiban
tetapi kita juga perlukan hiburan supaya jiwa kita tidak
kosong. Bagi saya, Islam ini luas dan kita seharusnya jangan
sempitkan fikiran.”
Ini katanya minda orang Melayu
perlu dibuka terutama dalam membuat penilaian tentang sesuatu
perkara. Demikianlah betapa seseorang yang mengaku Islam
itu sudah tersasar jauh. Hal yang dibangkitkan ini tidak
banyak beza dengan ungkapan orang lama: “Kau dengan
kubur kau, aku dengan kubur aku.”
Namun dalam isu yang berkaitan
hiburan melampau ini yang tampil membuat teguran bukan orang
kebanyakan tetapi seorang mufti yang dilantik kerajaan sendiri
menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga
hal ehwal umat Islam negara ini.
Sesiapapun tidak perlu menunggu
fatwa dikeluarkan apabila sesuatu program itu jelas bertentangan
dengan kehendak syarak.
Program berkenaan jelas membelakangkan
hukum agama seperti menggalakkan pergaulan bebas, pendedahan
aurat dan menyelitkan unsur kebaratan selain menggalakkan
budaya berhibur di kalangan remaja.
Berbalik kepada kesanggupan
rakyat menyumbang berjuta-juta ringgit untuk rancangan hiburan
pastinya akan terlintas di sanubari kecil insan-insan yang
memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.
Alangkah bertuahnya jika
wang sebanyak itu berjaya dikutip untuk tabung kesihatan
ataupun tabung pendidikan negara yang sebagaimana kita semua
tahu betapa sengsaranya mereka yang dihimpit dengan masalah
seperti ini.
Namun apa yang berlaku sejak
dulu hingga sekarang penderitaan rakyat yang menanggung
pelbagai kisah kehidupan jarang sekali mendapat pembelaan,
malah jauh panggang dari api untuk berjaya mengumpul jumlah
wang sebanyak yang diperolehi rancangan AF.
Tentunya kisah menyayat hati
anak-anak kecil yang mengidap penyakit bengkak hati (Biliary
Atresia) yang kronik seperti Safiah Khadijah Iskandar, Nur
Atikah Najwa Sharif, Nurnesa Uzma Mohd Ezani, masih segar
dalam ingatan kerana peritnya ibu bapa mereka ke hulu ke
hilir memohon simpati rakyat Malaysia untuk mengubati penyakit
anak kesayangan mereka.
Malah ada lagi yang sedang
bertarung nyawa kerana mengidap penyakit sama antaranya,
Ash Amier Andyka serta Aliff Hambali pun memerlukan bantuan
orang ramai.
Berbanding dengan AF, mereka
ini telah lama mendapat liputan pihak media tetapi berapa
kerat sangat yang prihatin terhadap nasib mereka.
Tidak masuk akal
Begitu juga dalam bidang
pendidikan, kerajaan dilaporkan membelanjakan RM200 juta
untuk membantu pelajar kurang mampu melalui Skim Baucer
Tuisyen (SBT).
Wujudnya skim ini membuktikan
masih ramai penduduk miskin yang memerlukan bantuan bagi
meneruskan pembelajaran.
Kegagalannya yang diuar-uarkan
oleh pemimpin sendiri membuktikan ada yang tidak kena dengan
sistem nilai hidup kita.
Sungguh kurang dimengerti
bagaimana pada suatu ketika kita mahu anak-anak kita berjaya
dalam pelajaran (melalui persekolahan dan tuisyen) dan pada
suatu ketika yang lain kita menyogokkan mereka dengan ‘hiburan
terlampau’.
Adalah amat tidak masuk akal,
jika pada malam Isnin, anak-anak kita yang sepatutnya menyiapkan
kerja rumah dan menyiapkan peralatan untuk ke sekolah, dibawa
ke pentas konsert ‘Sure Heboh’ sehingga larut
malam, sedangkan kita mahu dia berjaya dalam pelajaran.
Demikian juga pada masa anak
kita sepatutnya mengulangi pelajaran, mereka asyik terkinja-kinja
di depan TV, melihat ‘Akademi Fantasia’ malah
ibu bapa pun turut 'tumpang semangkok'. Di sekolah, perbualan
anak-anak murid bukan berkisar kepada pelajaran, sebaliknya
cerita peserta Akademi Fantasi.
Guru-guru di sekolah pun
bercerita ‘benda yang sama’. Tak habis-habis
dengan kisah Akademi Fantasi. Di kedai kopi, lagilah teruk
– bapa-bapa sanggup menghabiskan masa berjam-jam depan
TV sedangkan sepatutnya mereka menggunakan masa yang ada
untuk mendidik anak masing-masing ataupun bekerja lebih
keras menambah pendapatan.
Demikian, bertapa ‘berfantasinya'
masyarakat kita. Sekarang artis (peserta AF) sudah setaraf
pemimpin besar. Di Sabah, khabarnya kepulangan seorang peserta,
Linda, disambut 10,000 orang!
Akibat perubahan sikap (minda)
orang ini, usah hairan suatu ketika nanti jika ditanya anak-anak,
cita-cita mereka hendak memasuki universiti mana, jawapannya
ialah: "Cita-citaku nak melanjutkan pelajaran ke Akademi
Fantasia!"