Berita-bil. 25/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 

 

Bahasa tidak dinamis akan pupus

12 Ogos 2004 (Utusan Online)

Oleh Datuk Johan Jaaffar, Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam dilaporkan oleh media sebagai ``tidak bersetuju'' dengan pihak RTM yang menggunakan perkataan ``infotainmen'' dalam slogan barunya. DBP mencadangkan perkataan ``Infohiburan'' atau ``Inforia.''

Saya berpendapat bahawa infotainment dalam bahasa Inggeris tidak tepat sekiranya diterjemahkan sebagai ``infohiburan'' atau ``inforia.'' Infotainment seperti juga infomercial membawa makna yang khusus dan hukum semantik semata-mata tidak boleh digunapakai. Ini samalah halnya dengan ``koperasi'' yang tidak boleh diterjemahkan sebagai ``syarikat kerjasama'' dalam bahasa Melayu. Ada perbezaan makna kebudayaan dalam konsep dan pemakaiannya.

Secara positifnya, teguran DBP itu mencerminkan betapa sulitnya masalah yang dihadapi oleh pengamal media dalam menangani sekian banyak perkataan, frasa, istilah, konsep, slanga dan lingo yang menguasai bahasa moden hari ini.

Ini bukan masalah yang dihadapi oleh bahasa Melayu sahaja. Bahasa Inggeris sebagai bahasa global berdepan dengan dilema yang jauh lebih hebat. SMS dan e-mel telah menulis semula hukum hakam kebahasaan. Seorang pengkaji bahasa menganggap ``bahasa SMS'' sebagai an aberrant world of abbreviations, numeral and pictorial icons sementara ``bahasa e-mel'' menggambarkan apa yang dianggap sebagai pervasive lawlessness dalam dunia siber.

Penggunaan frasa dunia siber itu sendiri boleh dipertikaikan kerana ada yang mahu menggunakan ``dunia maya.'' Kamus Dewan Edisi Ketiga memberikan lima makna pada perkataan itu. Agaknya yang paling dekat dengan ``maya'' yang kita maksudkan ialah takrifan ``(sesuatu) yang kelihatan tidak ada tetapi sebenarnya ada, bayangan, khayalan.'' Sedangkan kita tahu dunia siber bukan dunia ``tiada, bayangan atau khayalan.'' Kenapa tidak kekalkan dunia siber?

Ada yang menganggap telah muncul satu ``makhluk'' baru dalam bahasa - linguistic centaur - yakni bahasa separuh percakapan separuh tulisan, yang mencorakkan bahasa SMS dan e-mel. Kedua-dua medium ini telah mencipta gaya pengucapan dan komunikasi baru yang selama ini tidak dimimpikan oleh ahli bahasa totok atau language purists.

Satu hakikat yang harus diterima ialah bahasa harus dinamis. Bahasa yang tidak dinamis akan pupus. Oleh sebab itulah bahasa Inggeris mampu berkembang sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu secara meluas kerana kesediaan bahasa itu untuk meminjam, mengubahsuai, mencedok, malah merompak dan membuat pengubahsuaian dari bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu juga berkembang sebagai bahasa komunikasi (kenapa tidak perhubungan?) dan bahasa ilmu kerana sifat keterbukaannya selama ini.

Kita semua tahu bahawa bahasa tulisan mempunyai konvensi, sintaksis dan struktur penggunaannya yang tersendiri. Bahasa bertulis sifat berstruktur, formal (kenapa tidak ``rasmi''?) dan expository (kenapa tidak ``menerang?'', juga membawakan ciri yang abstrak dan ``meninggi'' berbeza dengan sifat mudah, informal dan bersahaja dalam bahasa pertuturan.

Saya dapat memahami kekhuatiran DBP mengenai masalah pembentukan istilah hari ini. Tetapi DBP juga harus sedar bahawa pengamal media sentiasa berada di barisan hadapan untuk mamaham, menanggap, menterjemah, mengguna dan menyebarluaskan pelbagai perkataan, istilah dan konsep yang datang saban hari.

Mereka tidak punya masa untuk membuat rujukan pada mana-mana pihak dalam menjalankan tugas hari-hari. DBP atau ahli-ahli bahasa tidak akan dapat memberikan panduan dan pedoman segera bagi pengamal media ini. Maka itu konsep ethnic cleansing, collateral damage dan unlawful combatant tidak dengan mudah dapat dicari terjemahan bahasa Melayunya.

Kita bukan sahaja melihat penggunaan istilah baru tetapi konsep dan fahaman yang sejajar dengan keperluan semasa. Ini bukan sekadar ungkapan baru tetapi dicipta dengan maksud dan matlamat tertentu. Maka itu banyak dari ungkapan-ungkapan baru ini merupakan pembinaan istilah yang terancang yang mempunyai latar, motif dan pengertian kebudayaannya yang khusus dari sekadar makna atau semantiknya.

Bagi saya, DBP sendiri harus secara jujur melihat beberapa perkara:

1. DBP tidak harus berdiri sebagai kubu mempertahankan ``ketulenan'' bahasa Melayu. Tidak ada ketulenan dalam mana-mana bahasa. Bahasa ialah proses penciptaan, peminjaman dan pengubahsuaian. DBP harus menjadi perakam, pencatat dan penggalak pada penggunaan bahasa semasa - serta menyedari bahawa ada slanga dan lingo yang digunakan oleh anak-anak muda hari ini. DBP tidak boleh menjadi pulau di tengah arus perubahan kebahasaan.

2. Bahasa Inggeris tidak ada sebuah DBP untuk ``membina dan mengembangkan bahasa.'' John Dryden mencadangkan penubuhan sebuah ``akademi'' mengawal perjalanan bahasa Inggeris sejak tahun 1660 lagi. Tetapi Joseph Priestley, seorang ahli nahu, pada tahun 1761 berpendapat bahawa sebuah ``akademi'' untuk mengawal bahasa Inggeris unsuitable to the genius of a free nation. Tetapi bahasa Inggeris tetap berkembang begitu pesat dan menjadi bahasa ilmu dan komunikasi penting dunia. Apakah sebabnya tidak ada ``fatwa'' yang mengganggu gugat pertumbuhannya seperti Academie Francaise bagi bahasa Perancis dan DBP bagi bahasa Melayu?

3. DBP harus menyedari perlunya menerbitkan kamus-kamus seperti The Dictionary of the New Words and Phrases, Dictionary of Foreign Words and Phrases, Dictionary of Modern Slang atau mungkin The Endangered English Dictionary. Bahagian Leksikografi DBP harus berkerja lebih keras mencontohi bagaimana organisasi lain menerbitkan kamus dengan pantas, cepat dan semasa.

4. DBP boleh menyalahkan RTM kerana menggunakan perkataan ``infotainmen.'' Kalau salahpun RTM ialah kerana kaedah pembentukan dua perkataan itu ``info'' dan entertainment yang digabungkan menjadi ``infotainmen.'' DBP harus juga melihat amalan atau prosedur pembentukan istilahnya sendiri seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga.

Cuba lihat perkataan-perkataan gabungan ini yang disenaraikan dalam kamus berkenaan:

Biocerakin

Biofizik

Biogenesis

Biogeografi

Radioaktif

Radiografi

Radiologi

Radioterapi

Lihat juga perkataan-perkataan di bawah:

Induksi

Indusemen

Induktor

Proaktif

Prognosis

Sayugia diingat, kamus berkenaan juga memasukkan perkataan sentralisasi dan sentrum sebagai kata dasar.

Saya tidak nampak hujahnya untuk menolak ``infotainmen'' sedangkan Kamus Dewan menyenaraikan ``informasi'' dan ``informatif'' sebagai kata dasar selain membenarkan ``prognosis'' (yang jelas Inggeris) dan biogeografi yang sepatutnya ``bioilmu alam.''

5. Saya juga ingin menarik perhatian pada buku kecil yang dikeluarkan oleh DBP - Ungkapan Umum Media Penyiaran dan Tajuk Karyawan.

Apa yang jelas, infotainment, infomercial dan advertorial tidak termuat dalam buku itu. Sedangkan semua ini sudah menjadi perkataan dan konsep yang mencorakkan landskap penyiaran, pengiklanan dan media.

Saya melihat juga beberapa perkataan dan istilah yang digunakan yang jelas membayangkan kekeliruan pengguna bahasa Melayu.

Ambil contoh visual mentah untuk rushes. Kenapa tidak gunakan rushes sahaja, mungkin dengan sedikit penyesuaian ejaan? Kalau kru boleh diterima untuk crew kenapa bersusah payah menterjemah perkataan dan frasa-frasa di bawah?

Syot paras pinggang - medium shot

Syot tautan - bridging shot

Visual lompat - jump shot

Penyegerakan - synchronization

Pewarna telesin - telecine colourist

Skor - score

Pada akhirnya, dalam apa bahasapun, pengguna selalu betul. Saya berpegang pada faham sosiolinguistik. Pengguna bahasalah yang akan mementukan sama ada perkataan, frasa, istilah itu akan diguna pakai atau tenggelam dalam fail pembina korpus bahasa.

Oleh sebab itulah perkataan layan diri, pangsapuri dan hi-fi menjadi sebahagian daripada perkataan bahasa Melayu. Pengguna menggunakannya.

Saya khuatir kita akan terhegeh-hegeh mencari istilah, perkataan dan ungkapan yang betul untuk perkataan-perkataan seperti blogging, WAP, Wi-Fi, Botox, clone, New York minute, axis of evil dan macam-macam lagi, hingga korbannya ialah pengguna bahasa Melayu sendiri.

Mereka pada akhirnya akan menganggap bahawa bahasa Melayu tidak berupaya berlari sama pantas dengan kemajuan dan perkembangan semasa. Mereka akan mempersalahkan bahasa Melayu akhirnya.

Bagi saya, sama ada infotainmen akan diterima atau tidak, samalah halnya sama ada komuniti karyawan filem dan media akan menggunakan penyegerakan atau visual lompat yang dicadangkan oleh DBP sebagai istilah filem dan penyiaran.