
Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas |
-PENAFIAN-
PANDANGAN
DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI
WEB.
Paparan
terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan
resolusi
1024 X 768 px
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat
didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com
|
|
Tragedi
Pemikiran Melayu
Sumber: idealis
mahasiswa
Oleh: PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ
KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya
rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad,
tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan
mendalam.
Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat
Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan
bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah
untuk berdepan dengan Majapahit.
Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita
dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi
yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua
kerana tiga pengaruh besar.
Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah
British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk
pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan
oleh Melayu sebagai second class.
Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan
dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori
penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada
perspektif jati diri yang salah.
Itu pengaruh penjajah.
Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin
Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu
pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.
Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari
kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam.
Mereka sentiasa bertanya.
Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan
budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita
tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?
Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru
pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya
inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap
saintifik.
Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita
orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan
universiti pun kena tipu dengan bomoh.
Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu
bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak
pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk
lihat apa manifestasi hantu.
Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan
tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia
dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak
berani menghadapi cabaran.
Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh
penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.
Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut
para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu
banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka
akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi
dan hendakkan kebebasan.
Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini
sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi
ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu
buat bakul.
Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers
Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan
Jepun.
Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek
bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong
minda Melayu.
Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang
Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya
gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.
Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah.
Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.
Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa,
dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam
penjajah British.
Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan
mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun
1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada
tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya
budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir
ini.
Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.
Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi
saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan,
mereka akan lebih bebas dan berubah.
Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik
banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.
Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus
ribu orang terutamanya untuk wanita.
Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar
gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina
wanita Melayu yang bekerja kilang.
Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan
rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi
bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?
Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat
sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah
menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak
ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak
perempuan Melayu.
Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi
bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun
1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak
kahwin?
Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia
muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan,
tetapi akhirnya bercerai juga.
Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier
baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin
cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan
duit.
Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau
lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat
anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan
rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka,
kalau dapat anak susahlah.
Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua
tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.
Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan
minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran
konservatif.
Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai
65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam
sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.
Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat,
sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun
1970-an.
Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak
dirancang tapi terjadi.
Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang
kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang
itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita
Melayu.
Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak
terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak
jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti
pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia,
peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada
seseorang dapat pergi syurga atau tidak.
Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu
dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup
duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di
Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka
akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja
yang betul.
Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei
1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi,
pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar
sikap orang Melayu.
Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh
Barat, peranan media massa, politik serta agama.
Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya
tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang
lebih baik.
Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British,
Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar
sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun
Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.
Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers.
Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.
Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi
usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya
rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan
wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.
Tetapi itulah minda Melayu sekarang.
Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen
terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa
aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu,
untuk membangunkan orang Melayu.
---------
PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti
Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan
masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.
|
|