Jawatan guru berijazah - Sikap berlengah JPA dibidas
12/11/2003
[Portal Pendidikan Utusan]
Oleh: ZALINA YAHAYA
JABATAN Perkhidmatan
Awam (JPA) diminta mempercepatkan permohonan Kementerian
Pendidikan untuk meluluskan 10,000 jawatan guru berijazah
berpangkat DG3 di negara ini.
Ini bagi
merealisasikan hasrat negara untuk memenuhkan semua sekolah
rendah dan menengah dengan guru ijazah.
Menurut sumber
Kementerian Pendidikan, pihaknya tidak mempunyai masalah
untuk melatih lebih ramai guru sehingga ke peringkat ijazah.
Malah kini
ramai guru yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah
melalui pendidikan jarak jauh (PJJ).
"Malangnya
JPA tidak meluluskan jawatan guru ijazah seperti mana yang
dipohon oleh Kementerian Pendidikan. Alasannya adalah kerana
Kementerian Pendidikan mempunyai terlalu banyak jawatan
berijazah.
"Ini bukan
soal banyak atau tidak, tetapi soal melahirkan guru-guru
berkualiti untuk mendidik anak bangsa," kata sumber itu
ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sumber itu
menjelaskan permohonan 10,000 jawatan guru berijazah DG3
daripada JPA sejak tahun lalu.
Walau bagaimanapun
kata sumber itu, sehingga kini, jawatan guru berijazah itu
masih belum diluluskan oleh JPA.
"Daripada
jumlah itu, kami difahamkan JPA hanya meluluskan lebih kurang
3,000 jawatan guru berijazah tahun ini.
"Jumlah ini
termasuklah untuk lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah
(KPLI) untuk sekolah rendah yang akan mengajar pada tahun
hadapan," katanya.
Dalam usaha
meningkatkan mutu pendidikan negara, Kementerian Pendidikan
antara lain meletakkan sasaran untuk mengijazahkan semua
guru sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.
Kementerian
Pendidikan mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada
guru sekolah rendah memiliki ijazah menjelang 2010.
Manakala
di sekolah menengah, kini hampir semua guru memiliki ijazah.
Antara isu
penting perjawatan guru yang memiliki ijazah kini ialah
mereka tidak dinaikkan ke jawatan guru DG3 (gred guru berijazah)
walaupun telah memiliki ijazah.
Nasib kebanyakan
guru-guru berijazah ini masih kabur walaupun telah menjalani
temu duga kenaikan pangkat sejak beberapa tahun lepas.
Lebih mengecewakan
lagi terutamanya bagi guru-guru senior yang belajar dengan
tanggungan sendiri terpaksa berputih mata melihat guru-guru
yang baru tamat pengajian terus dilantik ke jawatan guru
DG3.
Faktor ini
dikatakan mengurangkan semangat guru yang tidak mempunyai
ijazah untuk membaiki kelulusan mereka.
Sementara
itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Tengku Habsah Tengku Petra berkata, JPA tidak seharusnya
melengah-lengahkan usaha meluluskan jawatan guru ijazah.
"Saya kesal
dengan sikap JPA yang tidak mempercepatkan permohonan meluluskan
jawatan guru ijazah yang dipohon.
"Sikap JPA
seolah-olah seperti menganaktirikan profesion perguruan,
sedangkan kita tahu hasrat kementerian ialah untuk melengkapkan
semua sekolah dengan guru berijazah," katanya.
Kata Tengku
Habsah lagi, JPA dan juga Kementerian Pendidikan seharusnya
mengubah sistem pengurusan penyediaan guru berijazah terutamanya
dalam konteks meluluskan program-program pengajian peringkat
ijazah yang dipohon oleh guru.
"Kementerian
Pendidikan dan juga JPA sendiri perlu membuat `homework'
program-program pengajian mana yang sudah lapuk dan tidak
diperlukan lagi atau sudah berlebihan.
"Kalau ada
guru yang memohon program-program berkenaan, jangan luluskan.
Jangan biarkan guru-guru ini bersusah payah belajar dan
kemudiannya tidak `mengiktiraf' kelulusan mereka dan mengenepikan
hak untuk dilantik ke jawatan guru ijazah," katanya.
Permohonan
guru untuk melanjutkan pelajaran perlu mendapat kelulusan
daripada Kementerian Pendidikan dan kemudiannya akan diluluskan
oleh JPA.
Mengikut
statistik terkini Kementerian Pendidikan sehingga 31 Januari
lalu, terdapat 300,733 orang guru di seluruh negara.