Berita-bil. 27/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 

Reaksi: ‘Memperkasakan kuasa DBP tingkat martabat bahasa kita’

7 Jun 2004 (Berita Harian)


ISU bahasa rojak membimbangkan ramai pihak, terutama pejuang dan peneliti bahasa Melayu sehingga ada cadangan sesetengah pihak agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), berbanding Kementerian Pelajaran. Kerajaan juga diminta memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP bagi membolehkannya mengenakan tindakan kepada pihak tidak mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963. Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, HASSAN OMAR, dengan beberapa pihak mengenai perkara ini.

TIMBALAN Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Datuk Baharudin Zainal, berkata DBP perlu diberi kuasa penguatkuasaan terhadap pihak yang menggunakan bahasa Melayu tanpa mengambil berat kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

“Tanpa kuasa berkenaan, DBP tidak mampu mengawal tindakan pihak tidak menggunakan bahasa Melayu secara betul dengan tanggapan kononnya bahasa Melayu tidak memiliki nilai komersial, sekali gus tidak perlu dihormati.

“Letaklah DBP di mana-mana kementerian sekali pun tetapi jika tiada kuasa penguatkuasaan, sukar untuk DBP mengawal penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul.

“Amat wajar DBP diberikan kuasa itu kerana semakin ramai orang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka yang tidak menghormati bahasa Melayu wajar dianggap sebagai penjenayah bangsa.

“Kita sudah lama menggunakan pendekatan memujuk tetapi nampaknya ia tidak dipedulikan ramai pihak dan sudah sampai masanya DBP diberi kuasa mengikut lunas undang-undang.

“Undang-undang sedia ada, penggunaan bahasa pada papan iklan diletakkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang rata-ratanya tidak mengambil berat aspek penggunaan bahasa Melayu yang betul, menyebabkan ia menjadi cacamerba.

“Pemimpin negara juga perlu mempamerkan teladan yang baik dengan menggunakan bahasa Melayu secara betul agar sifat sayang akan bahasa kebangsaan di kalangan anggota masyarakat berkembang,” katanya.

Tokoh bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata cadangan DBP diletakkan di bawah JPM dan diberikan kuasa penguatkuasaan sememangnya baik bagi menyekat pencemaran bahasa Melayu daripada berleluasa.

“Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, ia belum mampu menjamin kecintaan setiap anggota masyarakat negara ini terhadap bahasa Melayu dan sebenarnya penguatkuasaan sukar dilaksanakan.

“Rasa sayang perlu ditanam dalam jiwa setiap anggota masyarakat kerana jika ada undang-undang sekalipun sekiranya masyarakat kita tidak prihatin, ia tidak akan berkesan juga.

“Jika DBP diberikan kuasa tambahan, memang elok kerana sekarang masyarakat kita lebih mementingkan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Tidak salah kita menggunakan bahasa rojak tetapi ia harus sesuai dengan keadaan.

“Apa salahnya kita berbual dengan rakan atau anggota keluarga tanpa menggunakan bahasa rojak. Yang menjadi masalahnya ialah bahasa rojak digunakan pada majlis rasmi seperti mesyuarat.

“Keprihatinan anggota masyarakat terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sesuai dengan keadaan sewajarnya dimulakan dengan teladan yang baik oleh pemimpin negara.

“Jika pemimpin negara mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik, ia bakal menambat hati anggota masyarakat untuk mencontohinya. Hal ini akan membawa kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang menghormati dan berbangga menggunakan bahasa Melayu,” katanya yang menerima Anugerah Pejuang Bahasa, baru-baru ini.

Pensyarah di Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Abdullah Hassan, berkata DBP tidak perlu diletakkan di bawah JPM kerana ia memelihara banyak perkara berkaitan pendidikan.

“Bahasa berkait rapat dengan pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). DBP perlu kekal di bawah Kementerian Pelajaran. Tidak perlu beban tugas JPM diberatkan lagi dengan meletakkan DBP di bawahnya.

“Fungsi DBP bukan setakat berkaitan bahasa Melayu, malah kebudayaan dan kesusasteraan. Jika ia diletakkan di bawah JPM, agak sukar untuknya melaksanakan tugas berkaitan pendidikan.

“Isu bahasa rojak bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di Singapura dan negara lain. Ini kerana berdasarkan sifatnya yang sentiasa berkembang, akan ada pelbagai perubahan yang dialami oleh bahasa itu sendiri, termasuk bahasa rojak.

“Dalam perbualan tidak rasmi, bahasa rojak seharusnya dibiarkan kerana ia tidak akan menjadi wahana bahasa yang tinggi. Bagaimanapun, apabila bahasa rojak digunakan pada majlis rasmi, ia mencemari kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

“Media juga, terutama elektronik harus menggunakan bahasa Melayu secara betul kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap anggota masyarakat dan pemimpin negara perlu memberi teladan yang baik kepada masyarakat,” katanya yang turut menerima Anugerah Pejuang Bahasa.