Pengalaman sosial- Menpengaruhi sikap dan tingkah laku pelajar
22/10/2003
[Portal Pendidikan Utusan]
PAKAR psikologi
terkemuka, Albert Bandura pernah mengemukakan teori pembelajaran
sosial, iaitu tabiat dan tingkah-laku kita adalah kita tiru
dan kita pelajari daripada interaksi kita dengan masyarakat.
Apabila kita menganggap sikap atau tabiat
kita tidak disukai, malah kita mungkin dihukum oleh orang
di sekeliling kita, maka kita akan memilih sama ada mahu
meneruskan atau mengubah sikap dan tabiat kita itu.
Kita meneruskan atau mengubah sikap dan
tabiat kita kerana adanya faktor pengukuh yang mempengaruhi
perilaku kita.
Menurut teori Bandura, ada dua jenis faktor
pengukuh. Yang pertama ialah faktor di luar diri kita, iaitu
perkara yang kita alami secara langsung akibat perilaku
kita, sebagai contoh ialah pujian atau kutukan yang kita
terima selepas kita melakukan sesuatu.
Faktor pengukuh yang kedua ialah faktor
yang datang daripada sistem yang ada dalam diri kita sendiri.
Sistem seperti konsep-diri dan estim-diri
ada dalam jiwa tiap-tiap manusia. Sistem itu mempengaruhi
sikap, tabiat dan perilaku kita.
Orang di sekeliling kita menjadi sumber
pelajaran kepada kita melalui proses berikut:
1. Mereka memberi kita ganjaran atau hukuman
ke atas sikap, tabiat dan perilaku kita. Sebagai contoh,
apabila kita menunjukkan sikap yang mereka anggap betul,
mereka akan memuji kita. Mereka tidak mengutuk dan tidak
menghukum kita.
Daripada pujian dan kutukan mereka itu,
kita belajar apa yang disebut sebagai peraturan masyarakat.
Pujian dan kutukan mereka dapat mempengaruhi kita supaya
meneruskan atau mengubah sikap dan perilaku kita.
2. Daripada orang di sekeliling kita, kita
belajar apa yang disebut role-playing atau main-peranan.
Tiap-tiap hari kita melakukan main-peranan kerana kita selalu
membayangkan diri kita berfikir, berbuat dan berasa seperti
orang lain. Kita bayangkan apa-apa orang lain akan buat
dan apa mereka akan kata terhadap kita. Kita juga bayangkan
kalau kita berada dalam keadaan mereka, apa yang akan kita
buat atau apa yang akan kita katakan.
3. Orang lain juga menjadi sumber sikap,
tabiat dan perilaku kita. Ini terjadi melalui apa yang disebut
role-model atau model-peranan. Kita belajar dan mengamalkan
sikap, tabiat dan perilaku dengan cara memerhatikan sikap,
tabiat dan perilaku orang lain di sekeliling kita. Orang
itu disebut model-peranan kita.
Selain itu terdapat pelajar yang boleh dipengaruhi
dengan mengenakan teknik psikologi songsang atau reverse
psychology.
Sebagai contoh, teori ini cuba menerangkan
mengapa kanak-kanak yang yang tidak dibenarkan bermain dengan
mercun, mengapa remaja tidak yang tidak digalakkan pergi
menonton konsert rock,semakin mahu pergi ke konsert tersebut
dan lain-lain tingkah-laku seperti itu.
Menurut teori ini, keadaan psikologi songsang
hanya berlaku dalam keadaan yang orang itu ingin melakukan
sesuatu yang dia yakin dia bebas untuk melakukannya, tetapi
kemudian dia tidak dibenarkan melakukannya. Apabila seseorang
itu percaya dia akan kehilangan hak melakukan sesuatu yang
dia yakin bahawa dia berhak melakukannya, dia akan melakukan
reaksi berikut:
1. Dia akan menganggap perkara yang ditegah
itu adalah lebih tinggi nilainya.
2. Dia semakin ingin melakukan yang ditegah
itu.
3. Dia akan menganggap alternatif yang ada
padanya sekarang turun nilainya. Apabila seorang yang ditegah
minum kopi dan hanya dibenarkan minum teh, maka nilai teh
itu akan turun.
4. Dia akan membenci pihak yang menyekat
hak-hak dan kebebasannya.
Manusia sentiasa mempengaruhi pemikiran
kita dan keputusan yang kita buat. Orang di sekeliling kita,
sama ada mereka sedar atau tidak, menggunakan pelbagai strategik
untuk mempengaruhi pemikiran kita dan oleh itu mempengaruhi
keputusan kita.
Sebagai kaunselor atau guru pembimbing,
kita mestilah ikhlas ketika melakukan tugas membimbing para
pelajar.
Di tangan guru yang mahir menggunakan teknik
mempengaruhi fikiran pelajar, atau pelajar yang sudah dilatih
supaya berfikir dengan objektif, logikal dan kritikal sekali
pun, masih boleh dipengaruhi tanpa disedari.
Kaunselor di sekolah mungkin boleh menggunakan
pendekatan seperti berikut ketika melakukan sesi kaunseling
individu atau berkumpulan.
1. Dua sisi
Kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi
mendapati, hanya dengan mengatakan bahawa sesuatu perkara
itu mempunyai dua sisi, sudah cukup untuk meninggikan kredibiliti
kita ke atas orang yang cuba kita pengaruhi pemikirannya.
Apabila perkara itu perlu dilihat daripada dua sudut pandangan,
sebagai contoh baik dan buruknya, orang akan melihat diri
kita sebagai seorang pemikir yang seimbang dan objektif.
Menurut pakar-pakar psikologi, hujah yang melihat sesuatu
itu dari satu sudut sahaja hanya dapat mempengaruhi individu
yang tidak tahu banyak berkenaan perkara tersebut, ataupun
memang dari awal-awal lagi bersetuju dengan pendapat kita.
2. Menimbulkan rasa takut
Apabila orang dapat menimbulkan rasa takut
di hati kita, kita akan lebih mudah terpengaruh. Rasa takut
dapat ditimbulkan dengan mengemukakan kesan buruk dan bahaya
yang akan berlaku sekiranya kita tidak menukar pemikiran
kita sekarang.
3. Menimbulkan rasa positif.Individu yang
cuba mempengaruhi kita menggunakan pelbagai cara untuk menimbulkan
perasaan positif seerti memberi hadiah percuma, menjamu,
bersiar-siar dan sebagainya.