
Bahasa
kebangsaan mula terancam, dipinggirkan
KUALA LUMPUR,
17 Sept (Hrkh) - Usaha memartabatkan bahasa Melayu mutakhir
ini terancam dan masa depannya dilihat sebagai tidak menentu
dari pelbagai sudut akibat penggunaannya yang bercelaru
dan dipinggirkan.
Dato' Mohammad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, walaupun bahasa
Melayu dirakamkan dalam Perlembagaan Persekutuan perkara
152 sebagai bahasa rasmi, bagaimanapun prospek menjadi bahasa
utama itu dilihat tidak menentu.
"Bahasa
Melayu ada dalam perlembagaan tetapi kita tidak hayati dan
amalkan sebagai usaha memartabatkannya," tegas beliau lagi.
"Segala
kerja memartabatkan bahasa Melayu hampir berjaya,bagaimanapun
mutakhir ini kejayaan itu mula punah," ujar beliau ketika
membahaskan Belanjawan 2005 di Parlimen semalam.
Ujar Mohammad,
peminggiran bahasa Melayu mutakhir ini dari segenap aspek
pengurusan dan pentadbiran sehinggalah kepada komunikasi
dibiarkan berterusan.
"Apakah
kerajaan hanya nak berpeluk tubuh sahaja membiarkan bahasa
Melayu terus terpinggir sedemikian rupa,"soalnya lagi.
Beliau turut
kesal dengan tindakan meminggirkan bahasa Melayu yang dilihat
seolah-olah tidak ada nilai atau keuntungan kepada ekonomi
negara.
Tambahnya,
slogan 'cintailah bahasa kebangsaan'hanyalah menjadi slogan
yang tidak lagi bermakna apabila ada di antara agensi kerajaan
sendiri tidak mengambil ikhtibar kepada usaha merealisasikan
slogan itu.
"Rasa hormat
kepada bahasa Kebangsaan sudah hilang.Masyarakat, media
dan banyak pihak hanya menggunakan bahasa rojak, bahasa
campuraduk, bahasa deejay dan segala jenis kerosakan bahasa,"
ujarnya lagi dengan nada yang marah.
Kata beliau,
usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan tidak akan berjaya
selagi elemen merosakkan bahasa wujud di segenap lapisan
masyarakat tanpa ada pihak yang mempertahankannya.
Justeru
beliau mengulangi gesaan kepada kerajaan agar peka terhadap
permasalahan yang akan merencatkan budaya dan identiti bangsa
Melayu itu sendiri.
"soal bahasa
bukan perkara yang kedua tetapi ianya perkara pokok yang
sepatutnya diutamakan,"tegas beliau lagi.
Laporan
akhbar 11 Ogos lalu menyebut ramai pakar bahasa menolak
penggunaan istilah `Infotainmen' yang digunakan di dalam
slogan baru Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana ia jelas
merupakan satu istilah rojak.
Mereka berpendapat,
slogan `Saluran Infotainmen Anda' melalui penjenamaan semula
rancangan-rancangan televisyen di stesen itu bermula 1 Ogos
lalu tidak membawa apa-apa erti kerana ia jelas campuran
perkataan antara bahasa Melayu dan Inggeris.
Jelas mereka,
penggunaan slogan itu juga dikhuatiri akan mempengaruhi
berjuta rakyat Malaysia untuk lebih cenderung melakukan
kesilapan yang sama dan berpotensi untuk mencipta istilah
rojak mereka sendiri sebagai satu budaya baru.
Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia, Dr Awang Sariyan berkata,
beliau sendiri tidak jelas dengan slogan `Saluran Infotainmen
Anda' kerana maksudnya kabur dan bercanggah dengan tatacara
bahasa Melayu.
Beliau memberitahu,
sebelum membentuk sebarang istilah, media tempatan terutamanya
stesen televisyen juga perlu peka dan membuat kajian terlebih
dahulu sebelum mencetuskan kontroversi yang sebenarnya akan
memalukan diri mereka sendiri.
"Mereka
boleh rujuk kepada pakar-pakar bahasa sama ada di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pun pensyarah-pensyarah bahasa
berhubung perkara ini.
"Tradisi
orang yang berilmu adalah merujuk kepada pihak yang mengetahui.
"Malah,
sebelum ini RTM sebenarnya kerap merujuk kepada DBP mengenai
penggunaan istilah, tetapi dalam hal baru-baru ini, ia amat
mengecewakan," katanya. - WN/mks.