
Budaya
membaca menjana kecemerlangan umat
Segala pujian-pujian
kepada Allah. “Bacalah (wahai Muhammad s.aw.) dengan
nama Tuhan yang menciptakan (sekelian makhluk)(I). Ia menciptakan
manusia dari sebuku darah beku(2). Bacalah dan Tuhanmu Yang
Maha Pemurah)3). Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan(4). Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5).
Dan firman allah Taala di dalam Kitabnya (Al-Quran) “katakan
(wahai Muhammad s.a.w.). Adakah sama orang memperolehi ilmu
dengan orang yang tidak berilmu”.
Aku telah naik saksi sesungguhnya
tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa dan aku tidak akan
menyekutukan dengan sesuatu yang lain. Dan aku telah menjadi
saksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan pesuruhNya. Aku berselawat
dan salam ke atas Junjungan Besar Saidina Muhammad dan ke
atas ahli keluarganya dan para sahabatnya.
Wahai hamba Allah, bertakwalah
kepada Allah sebenar-benar takwa dan janglah kalian mati
kecuali berada dalam golongan Islam.
Kaum muslimin yang diberkati
Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan sekelian dan untuk diri saya
sendiri, marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada
Allah Subhanahu Wa Taala dengan sentiasa mengerjakan segala
perintahNya dan menjauhi segala tegahannya. Sesungguhnya
orang-orang yang bertakwa itu pasti mendapat kejayaan di
dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang berbahagia
sekelian,
Sejarah perkembangan tamadun Islam bermula dengan “cetusan”
yang begitu unik. Kalimah “Iqra” yang bererti
“Bacalah” itulah cetusan awal, wahyu pertama
yang diperintahkan oleh Allah Taala kepada Rasullah s.a.w.
agar disuburkan di kalangan umatnya budaya membaca. Ketika
bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan Baginda rata-rata
masih teraba-raba untuk mengenal huruf dan tulisan, Allah
Taala telah memperkenalkan kepada umat Islam budaya membaca
melalui wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah Taala kepada
Rasullah s.a.w. Di kala pena dan tinda hanya berlegar kepada
umat Islam menggunakan “qalam” (pena). Lebih
jauh lagi, dikala dunia masih buta tentang sains dan perubatan,
Allah Taala telah memperkenalkan pada kita sekelian selaku
hambanya dengan ilmu Biologi iaitu tentang proses kejadian
manusia. Gagasan ini terkandung di dalam yang pertama sebagaimana
firman Allah dalam Surah Al-Alaq, ayat 1 hingga 5:
Maksudnya: “Bacalah
(wahai Muhamad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekelian
makhluk, ). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku(2).
Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah)3). Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan(4). Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya(5). Dan firman allah Taala di
dalam Kitabnya (Al-Quran) “katakan (wahai Muhammad
s.a.w.). Adakah sama orang memperolehi ilmu dengan orang
yang tidak berilmu”.
Para Jemaah yang dihormati
sekelian,
Sejak peristiwa agung di Gua Hira’, Baginda Rasullah
(s.a.w.) mula giat memperkembangkan budaya “Iqra”
di kalangan umatnya. Di peringkat awalnya, Baginda membaca
Al-Quran, manakala para sahabat mempelajari dan menghafaznya
di dalam dada. Ada juga dicatit untuk keperluan yang terhad.
Begitu juga yang mereka lakukan terhadap Hadis Rasullah
s.a.w. di awal perkembangan Islam di Madinah, mereka sibuk
mempelajari hal-hal kenegaraan seperti perundangan dan kemasyarakatan,
di samping perkara-perkara yang berkaitan dengan muamalat
(ekonomi) seharian seperti perdagangan, pertanian dan sebagainya.
Semua itu dicatit dan dibukukan untuk rujukan masyarakat
setempat di samping ada juga yang dihantar kepada negara-negara
jiran yang terdekat. Semua itu menjadi bukti bahawa budaya
membaca dan menulis begitu mendominasi kehidupan seharian
masyarakat Islam ketika itu.
Kemuncak tamadun “Iqra”
ini ialah di zaman Khalifah Abbasia yang berpusat di Baghdad,
Iraq. Ketika itu, pusat pengajian bercambah dengan pesatnya
di kota-kota seperti Baghdad, Basrah, Mosil dan beberapa
kota lainnya. Mereka mengkaji khazanah peninggalan Rasullah
yang berupa Al-Quran dan Hadis. Mereka menganalisa ayat-ayat
(tanda-tanda) yang berkaitan dengan cekrawala gunung ganang,
manusia, haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Hasil daripada
pengembangan ini, lahirlah cabang-cabang disiplin ilmu seperti
astronomi, geogologi, geografi, fizik, kimia, biologi, zaologi,
botani dan berbagai lagi. Mereka juga mengkaji, menterjemah
dan membuat penambahbaikan ilmu-ilmu dari luar seperti ilmu
falsafah dari Yunani, ilmu falak dan hisab dari Hindi, Parsi
dan sebagainya. Natijah dari budaya “Iqra” ini,
perbendaharaan ilmu-ilmu Islam bertambah bernas, kemas dan
luas.
Dari sini lahirnya tokoh-tokoh
cendiakawan Islam yang agung seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd,
Al-Farabi, Al-Bairuni dan ramai lagi. Kebanyakan mereka
bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang tertentu, malah
juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Contohnya seperti
Ibnu Sina yang terkenal sebagai pakar ilmu perubatan. Dalam
masa yang sama, beliau juga mahir dalam bidang astronomi,
fizik dan matematik malah beliau hafiz Al-Quran.
Begitu juga Al-Bairuni, beliau
bukan sahaja seorang pakar astronomi, bahkan juga berkemahiran
dalam bidang fizik, matematik, perubatan, geogologi, sejarah
dan juga bahasa. Begitulah dengan tokoh-tokoh yang lain.
Itulah kecemerlangan peradaban tamadun ilmu kesan langsung
dari budaya "Iqra" tersebut. Benarlah janji Allah
bahawa orang yang berilmu tetap istimewa dan berbeza daripada
orang yang kurang berilmu sebagaimana firman Allah dalam
Surah Al-Mujadalah, Ayat 11 yang bermaksud :
"Allah Taala meninggikan
darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)
beberapa darjat".
Kaum Muslimin yang dirahmati
Allah sekelian,
Kita perlulah sentiasa suburkan budaya membaca di semua
peringkat terutama di peringkat rumahtangga. Ibu bapa mestilah
menjadi contoh supaya senang diikuti oleh ahli keluarga.
Tunjukkan bahawa amalan membaca itu adalah satu riadah atau
rekreasi supaya anak-anak mencontohi mereka dalam suasana
ceria. Jangan zahirkan bahawa membaca itu suatu yang membosankan
kerana anak-anak akan beranggapan bahawa budaya membaca
adalah satu proses yang membebankan. Selalulah bertanya
tentang masalah pelajaran mereka atau berbincang mengenai
apa yang dibaca, sebagai tanda kita mengambil berat terhadap
anak-anak serta pelajaran mereka.
Wujudkan perpustakaan mini
di rumah dan belikanlah buku- buku yang bermutu untuk bacaan
dan rujukan. Bahan-bahan yang siap tersedia menjadi dorongan
dan penggalak suasana. Jangan merasa rugi atau teragak-agak
membeli bahan-bahan bacaan dengan alasan mahal. Jika kita
kurang mampu membeli buku, bawalah keluarga ke perpustakaan
awam, ekspo buku dan pameran yang seumpamanya supaya suasana
begini dapat mendorong dan menyuntik semangat gemar membaca.
Inilah yang dipesankan oleh Rasullah s.a.w. kepada kita
sepanjang zaman sejak perintah yang pertama baginda terima
supaya menguburkan budaya ilmu dan budaya membaca sebagaimana
sabda baginda:
Maksudnya: “Menuntut
ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim”
(riwayat Ibnu Majah).
Muslimin yang dimuliakan
Allah sekelian,
Membaca sebenarnya adalah proses memperkayakan maklumat,
memantapkan fikiran dan mendewasakan tindakan. Orang yang
banyak maklumat, ideanya selalu bernas dan tindakannya selalu
betul serta kemas. Membaca boleh membebaskan minda, membina
sikap positif, terbuka dan lapang dada, boleh menerima teguran,
mudah diajak berbincang ke arah kebaikan dan terlepas daripada
kongkongan keegoan sendiri. Kualiti begini perlu ada pada
diri seseorang Mukmin yang berjiwa besar yang menyumbang
ke arah kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.
Sebaliknya orang yang kurang membaca selalunya terkurung
dalam “tempurung” sendiri, terbelenggu dalam
kejahilan, terperangkap dalam salah faham. Mereka yang begini
selalu bertindak terburu-buru, mengikut perasaan yang boleh
mengganggu ketenteraman dan mengancam keselamatan, bahkan
merosakkan pembangunan dan kemajuan yang dibina dalam sesebuah
negara. Kita hendaklah sedar bahawa negara kita sedang dalam
proses membina kemajuan untuk kepentingan bersama. Negara
yang maju memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan dan
bijak pandai, bahkan mampu menguasai pelbagai bidang keilmuan.
Hanya dengan demikian, barulah rakyat benar-benar dapat
menikmati manfaat dari pembangunan dan kemajuan.
Sidang Jemaah yang diberkati
Allah,
Akhirnya, marilah sama-sama kita kembali kepada seruan Allah
dengan memperteguhkan iman dan memperkukuhkan jati diri
sebagai muslim sejati. Satu-satunya cara untuk membina diri
dan membentuk identiti ialah dengan memperbanyakkan ilmu.
Orang yang dengan ilmu, mampu menangkis unsur-unsur negatif.
Satu-satunya jalan mendapatkan ilmu yang berguna dan membina
ialah dengan banyak membaca daripada sumber yang benar dan
sahih. Oleh itu, marilah kita menghidupkan kembali tamadun
"Iqra" iaitu budaya membaca yang telah diajarkan
oleh Rasullah s.a.w. Mudah-mudahan dengan kekuatan pengetahuan,
kita dapat mencipta kecemerlangan dan memartabatkan umat
ke mercu kejayaan. Di samping itu, kita mampu bersaing di
era globalisasi ini, dan menjadi umat dan bangsa yang terbilang.
Firman Allah dalam Al-Quran
(surah Al-Kahfi, ayat 109) Maksudnya: “Katakalah (wahai
Muhammad) Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk
menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis
kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku,
walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding
dengannya, sebagai bantuan”.
Disediakan oleh:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)