
Cadangan
dalam menangani penyakit masyarakat
22
Oktober 2004 (Harakahdaily)
Oleh
Rozmal bin Malakan
Berikut adalah beberapa cadangan berkenaan
dengan kempen menangani penyakit masyarakat atau pun dipanggil
gejala sosial.
Satu usaha bersepadu tanpa mengira batasan perkauman dan
fahaman politik haruslah digerakkan dalam menangani gejala
sosial ini. Ini adalah kerana penyakit atau ‘wabak’ ini
melanda masyarakat tanpa mengenal latar belakang kaum serta
fahaman politik mereka.
Memandangkan penyakit gejala sosial ini dihidapi kebanyakannya
oleh bangsa Melayu yang beragama Islam , maka cadangan yang
disampaikan ini , lebih menjurus kepada penyelesaian yang
lebih tertumpu kepada komuniti Islam. Sekiranya penyakit
masyarakat ini dapat diubati dikalangan komuniti Islam maka
secara tidak langsung akan menarik minat komuniti bukan
Islam untuk menangani gejala sosial di komuniti mereka dengan
berpandukan kepada kaedah yang dibentangkan di sini.
Di sini digunakan terminologi penyakit masyarakat kerana
gejala sosial ini bukan hanya memberi kesan negatif terhadap
fizikal, jiwa dan minda mereka yang terjebak ke dalamnya,
malah ianya memberi kesan negatif terhadap pembentukan masyarakat
dan peradaban manusia. Adalah tidak adil jika sekiranya
penyakit masyarakat atau gejala sosial ini hanya dikaitkan
dengan golongan para remaja semata-mata. Penyakit ini dihidapi
oleh pelbagai lapisan umur dan jantina, apa yang menyedihkan
ianya melibatkan mereka yang belum baligh atau kanak-kanak
lagi hinggalah mereka yang sudah menjangkau usia emas.
Antara penyakit masyarakat yang merebak sekarang ini ialah
sumbang mahram, budaya gangsterisma dan vandelisma, penagihan
dadah, keganasan rumah tangga, pembuangan bayi, tekanan
jiwa dan banyak lagi penyakit lain yang kita sendiri merasa
terkedu lidah untuk menyebutnya.
Diatas kesedaran dan keinsafan tentang bahayanya gejala
sosial kepada masa hadapan bangsa dan negara, adalah disarankan
Kerajaan Negeri membentuk satu Jawatankuasa dan Pelan Tindakan
Bersepadu yang menyeluruh yang melibatkan pelbagai lapisan
masyarakat dari pelbagai latar belakang fahaman politik,
jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani
dan seterusnya membendung gejala sosial daripada terus berakar
umbi di dalam masyarakat. Pelan Tindakan Bersepadu ini perlu
mengenal pasti punca sebenar berlakunya gejala sosial dan
juga mengenal pasti kaedah penyelesaian yang berkesan. Antara
perkara-perkara penting yang perlu diambil kira bagi mempastikan
kejayaan dan keberkesanan Pelan Tindakan Bersepadu tersebut
adalah seperti berikut :
1.
MENGGERAKKAN KOMUNITI
Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat
tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah
itu berlaku tidak turut sama menggembeling tenaga. Untuk
menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat
yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah
di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah
masyarakat berkumpul pada setiap hari , setidak-tidak pada
waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya.
Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan
mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini,
sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan
negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan
akan menjadi lebih mudah.
Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau
menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh
kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah
rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya.
Apabila
mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya
komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah
pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi
masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan
antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.
Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman
yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan
atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk
manafaat masyarakat keseluruhannya.
Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah
saw dimana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala
permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling
dan seterusnya.
2.
KEMPEN SOLAT
Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat
bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama
itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup.
Dalam Al Quran disebutkan "Solat itu mencegah daripada pekerjaan
keji dan mungkar". Penyakit masyarakat dan gejala sosial
yang disebutkan tadi adalah merupakan perkara keji dan mungkar.
Ini menunjukkan di sini betapa solat bukan hanya membentuk
peribadi Islam malah ianya membentuk masyarakat serta komuniti
Islam. Betapa beratnya suruhan mengerjakan solat ini hinggakan
ianya wajib dilakukan dalam apa jua keadaan sekali pun,
selagi hati boleh berdetik, selagi mata boleh berkelip,
selagi akal kita masih waras samada dalam keadaan berdiri,
duduk ataupun terbaring.
Rasulullah saw mengajar kita agar menyuruh anak-anak kita
mendirikan solat sejak dari usia 7 tahun lagi.
Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan
Tindakan Bersepadu. Kempen solat dalam apa jua keadaan dan
masa, kempen solat di masjid dan surau, kempen solat di
gedung-gedung perniagaan, kempen solat di tempat kerja malah
kempen solat di pusat-pusat peranginan dan rekreasi serta
di stadium-stadium. Tidak ketinggalan juga kempen solat
semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam
keretapi ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri.
Sekali lagi untuk melancarkan kempen ini, institusi masjid
memainkan peranan yang begitu besar untuk menyedarkan orang
ramai.
3.
KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SUKARELA
Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telah pun dibentuk
sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat. Antaranya
ialah Agensi Dadah Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Polis Di Raja Malaysia,
Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya.
Institusi
masjid dan surau haruslah dari masa ke semasa mengadakan
kerjasama dengan pihak yang disebutkan tadi dalam menangani
penyakit masyarakat.
Dalam menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya
jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan
dengan pihak PDRM.
Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak
dan sebagainya , kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak
Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat
hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa,
penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit
dan seterusnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh memberi
penerangan kepada masyarakat setempat mengenai peraturan-peraturan
yang perlu dipatuhi oleh pusat-pusat hiburan, kedai menjual
arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan
kedai-kedai menjual arak serta kedai-kedai judi di kawasan
yang majoritinya Islam.
Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama
antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi
Dadah Kebangsaan.
Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat
penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya
dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang
disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendakki
oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.
4.
KEMPEN MEMUDAHKAN PERKAHWINAN
Jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya
melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah lagi. Islam
menyuruh ibu bapa apabila sudah sampai masanya anak-anak
mereka berkeinginan untuk berkahwin maka hendaklah ianya
disegerakan. Ini adalah untuk menghindari mereka daripada
terjebak ke lembah yang hina.
Kemajuan sains dan teknologi dengan dunia tanpa sempadannya
menyebabkan anak-anak muda sekarang ini begitu mudah untuk
mendapatkan bahan-bahan yang memberahikan nafsu. Apabila
pegangan agama semakin luntur dan nafsu dari hari ke sehari
semakin memuncak , maka syaitan akan menguasai jiwa mereka.
Apabila syaitan sudah menguasai jiwa mereka , dosa-dosa
besar sudah menjadi perkara biasa, mulanya hanya naik motor
bersama, kemudian tinggal bersama , apabila terlanjur berlakulah
pula kes bunuh apabila bayi yang dilahirkan dibuang begitu
sahaja tanpa perasaan belas kasihan. Yang demikian itu sifat
mereka lebih teruk daripada haiwan.
Oleh yang demikian masyarakat haruslah diberi pemahaman,
bahawa perkahwinan adalah salah satu cara yang disyorkan
oleh Islam untuk menangani penyakit masyarakat sekiranya
mereka tidak mampu menahan nafsu mereka dengan berpuasa.
Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan
suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan.
Sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah
mudah.
Sebagai
menarik usaha golongan muda-mudi untuk berkahwin beberapa
insentif boleh dikemukakan antaranya ialah kemudahan untuk
mendapat pekerjaan, kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah,
saguhati perkahwinan dan sebagainya.
Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang
sekiranya perlu untuk menganjurkan majls perkahwinan beramai-ramai
untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya dapatlah kita ambil di sini, iaitu
semua pihak bertanggung jawab untuk menangani penyakit masyarakat
ini. Dari pemimpin negeri ke rakyat jelata, dari pegawai
atasan hingga ke pekerja biasa, dari guru besar ke anak
murid dan seterusnya. Tiada siapa patut menuding jari pada
pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan
ahli masyarakat. Karenah birokrasi dan perbedaan fahaman
politik dan puak haruslah dielakkan dalam melancarkan Pelan
Tindakan Bersepadu ini.