31
Oktober 2004 (Utusan
Online)
Gejala
ponteng sekolah, terutamanya selepas peperiksaan dan menjelang
cuti panjang penghujung tahun, sudah menjadi `budaya'
dalam sistem persekolahan di negara ini.
Gejala
ini tidak boleh disandarkan kepada kurikulum sekolah atau
guru sekolah semata-mata.
Ibu
bapa juga mempunyai peranan yang penting menyebabkan `budaya'
tersebut kian utuh.
Menurut
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof.
Madya Dr. Mahzan Arshad, ramai dalam kalangan ibu bapa
yang merasakan anak-anak mereka tidak perlu bersekolah
kerana peperiksaan penting sudah selesai.
Pengalaman
lampau ibu bapa yang melihat anak-anak mereka lebih banyak
`bermain-main' di sekolah daripada belajar menyebabkan
mereka merasa tidak menjadi kesalahan jika anak-anak mereka
tidak ke sekolah.
Lebih-lebih
lagi bagi ibu bapa di kawasan luar bandar yang mempunyai
masalah kewangan.
``Daripada
anak-anak mereka membuang masa, mereka fikir adalah lebih
baik anak-anak ini membantu mereka mencari rezeki,'' katanya.
Menurut
beliau, sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi ibu bapa
menggunakan kesempatan penghujung penggal persekolahan
untuk menggunakan anak-anak membantu mereka mencari rezeki.
Oleh
itu, adalah lumrah di kawasan luar bandar pelajar sekolah
membantu ibu bapa mereka sama ada ke laut, berniaga, ke
kebun-kebun kelapa sawit dan getah.
``Ini
perkara biasa, lagipun jika mereka ke sekolah ibu bapa
terpaksa mengeluarkan belanja sekolah sedangkan mereka
tahu pada masa ini jika anak-anak mereka ke sekolah, tiada
perkara penting yang diajar oleh guru-guru,'' katanya.
Menurut
Dr. Mahzan, tanggapan ibu bapa terhadap sistem persekolahan
sekadar memenuhi tuntutan untuk peperiksaan menyebabkan
`budaya' berkenaan masih diamalkan.
``Sebaliknya
ibu bapa harus mempunyai pemikiran bahawa anak-anak mereka
ke sekolah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan bagi pembinaan
sahsiah diri mereka, bukan hanya kerana kurikulum sekolah
atau peperiksaan,'' katanya.
Tegas
beliau, guru-guru sekarang bukan tidak pandai atau bijak
jika didasarkan kepada kelayakan akademik, berbanding
guru-guru zaman sebelumnya.
``Cuma
mereka tidak menggunakan kurikulum yang tersembunyi pada
penghujung penggal persekolahan ini dengan sebaiknya,''
katanya.
Beliau
mencadangkan agar baki hari penghujung penggal persekolahan
diisi dengan aktiviti yang boleh membentuk keperibadian
generasi muda dan meningkatkan kecintaan kepada negara.