31
Oktober 2004 (Utusan
Online)
Wahid Hashim
PENGAMBILAN
bakal guru ke universiti sepatutnya melalui temuduga, kata
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Halimah
Harun.
Katanya,
ini kerana terdapat segelintir pelatih guru yang tidak
layak langsung menjadi guru, dalam erti kata, tidak menunjukkan
ciri-ciri sebagai seorang guru.
``Ada
pelatih guru yang berambut panjang, selekeh, loghat daerah
yang terlalu tebal, bermasalah komunikasi dan lemah pula
pencapaian akademiknya,'' katanya kepada Utusan Malaysia
di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dengan
berterus terang, Halimah mengakui, ada kalanya beliau
takut untuk melepaskan pelatih-pelatih ini untuk mengajar
di sekolah kerana mereka tidak boleh mengajar langsung.
``Slang
daerah pekat betul... kalau sekali sekala tak apalah,
itu untuk rencah-rencah humor.
``Tetapi
kalau minit pertama sehingga minit ke-40 kekal dengan
loghat daerah yang tebal, tak bolehlah,'' tegasnya.
Malah
yang lebih dikesalinya, masalah yang dibawa oleh guru-guru
pelatih ketika berada di sekolah turut menjejaskan nama
baik universiti.
Halimah
baru-baru ini baru sahaja menyelesaikan kajian bertajuk
Pendekatan Berforum Dalam Program Latihan Guru: Kajian
Tindakan Di Fakulti Pendidikan, UKM.
Penyelidikan
beliau dibentangkan pada Ekspo Penyelidikan dan Inovasi
UKM 2004 yang diterbitkan sebagai Abstrak oleh Pusat Pengurusan
Penyelidikan UKM.
Dalam
kajiannya itu, Halimah menyatakan bahawa kaedah pengajaran
secara tradisional seperti penggunaan kapur dan papan
hijau, kaedah kuliah dan perbincangan kumpulan besar merupakan
kaedah yang dipilih oleh guru-guru pelatih semasa latihan
mengajar.
Suasana
dalam bilik darjah lebih tertumpu kepada aspek guru sahaja
yang lebih mendominasikan percakapan semasa mengajar,
manakala pelajar kelihatan bosan, mengantuk, tidak berminat
dan kadang kala mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
Interaksi
Semua
ini disebabkan kurangnya interaksi guru dengan pelajar,
kerja berkumpulan dan perbincangan semasa proses pengajaran
dan pembelajaran.
Berdasarkan
kajian itu, didapati kebanyakan guru pelatih masih belum
mampu menunjukkan pengajaran yang berkesan kerana kurang
berkeyakinan, kurang kemahiran mengajar (pedagogi) dan
juga kurang mahir dalam komunikasi.
Setelah
terlatih di universiti selama empat tahun, masalah tersebut
masih timbul dalam kalangan mereka, dan inilah telah menjadi
fokus kepada kajian Halimah.
Kata
beliau, faktor guru merupakan salah satu sebab pelajar
berasa bosan dan akhirnya berkecenderungan untuk ponteng.
``Anak
buah saya sendiri kerap meluahkan kata boring kerana guru
asyik menggunakan bahan mengajar buku teks dan membuat
nota daripada buku teks atau buku-buku yang sekian banyak
di pasaran,'' katanya.
Katanya
terlampau disogok dengan latihan, soalan-soalan yang diambil
daripada bermacam-macam buku dan nota yang berada di pasaran
memang satu amalan yang lambat laun akan memberi kesan
kepada minat pelajar. Halimah menganggap kaedah itu sangat
bertentangan dengan amalan kontekstual.
Banyak
kaedah mengajar yang beliau cadangkan.
Antaranya,
Halimah menyarankan pendekatan berforum, iaitu menggalakkan
pelajar bercakap untuk mengelakkan rasa bosan dalam bilik
darjah, khususnya pada bulan Ramadan.
Katanya,
tajuk yang dipilih juga perlu kreatif seperti pada bulan
Ramadan ini, apa yang boleh dijual untuk mendapat duit
poket menjelang Hari Raya.
Katanya
guru lelaki adalah aktor dan perempuan adalah aktres ketika
berdepan dengan para pelajarnya.
Mereka
perlu melakukan sesuatu yang kreatif dan berbeza.
Katanya
guru tidak menjadikan seseorang pelajar itu pandai. Pelajar
itu sendirilah yang membuatkan dirinya pandai, atau sebaliknya.
Halimah
mendedahkan, ada pelatih guru yang tidak mengamalkan apa
yang diajar semasa di universiti semasa berada dalam situasi
sebenar sebagai guru.
Alasan
yang diberikan meliputi kekangan di sekolah, guru besar
tidak benarkan atau tiada sokongan daripada guru-guru
lama, ujar Halimah. Bagi beliau, tidak timbul kekangan
sukatan.
``Yang
menentukan pencapaian bukan sukatan tapi kebolehan mengajar,''
katanya.
Katanya
jika kaedah pengajaran yang digunakan betul, seseorang
guru boleh menghabiskan sukatan yang banyak dalam masa
yang singkat walaupun dalam suasana persekitaran yang
menekan.
Beliau
pernah mengajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil yang pelajarnya
menghabiskan masa lima pagi sehingga lima petang di padang.
``Mereka
keletihan dan mengantuk ketika berada dalam kelas, tetapi
menggunakan beberapa pendekatan yang kreatif saya boleh
menghabiskan silibus dua tahun dalam masa 14 minggu sahaja,''
katanya yang mengajar mata pelajaran Pengurusan Perniagaan
untuk tingkatan enam, ketika itu.
Ketika
itu pelbagai pendekatan digunakan seperti berforum dan
kontekstual.
``Saya
tanya mereka pernah tak menonton rancangan Forum Perdana?
Mereka kata pernah, dan saya minta mereka berbincang ikut
format Forum Perdana,'' ujarnya.
Amalan
itu diterapkan oleh Halimah dalam kalangan pelatih di
universiti supaya mereka boleh melakukan perkara yang
sama semasa di sekolah kelak.
``Kita
pilihlah tiga atau empat panel, dan pensyarah akan berikan
tajuk,'' katanya.
Motif
berforum adalah untuk mendorong keberanian kepada mereka
untuk berkomunikasi terlebih dahulu.
Topik
yang diberikan juga mestilah kreatif, termasuk topik yang
bersifat reverse.
``Sebagai
contoh, sejarah Melaka, tanya apa berlaku kepada Melaka
tanpa Portugis,'' katanya.
Selain
faktor pedagogi, beliau mengakui terdapat guru yang terlalu
kerap menghadiri kursus, guru tidak berada dalam kelas
atau tidak cukup guru.
Beliau
juga memberikan tip mengajar seperti peri pentingnya guru
mempunyai pengetahuan yang agak mendalam dalam satu topik
yang hendak diajarnya.
``Ilmu
tak cukuplah puncanya guru bergantung hidup mengajar dengan
buku teks sahaja,'' katanya.
Beliau
berkata, kalau guru hendak mengajar tentang sesebuah syarikat,
sebut nama syarikat itu dengan jelas dan betul, semak
dengan syarikat berkenaan, ubah suai sedikit data supaya
lebih jelas.
``Misalnya
kalau Proton, sebut Proton, jangan sebut syarikat x, y
atau z,'' tegasnya.
Tiada
salahnya kalau hendak menceritakan sebuah syarikat - yang
disebut namanya kerana popular - yang sebenarnya bermula
dengan menjual kacang putih, kata Halimah.
Beliau
turut menasihati guru jangan membawa buku teks ke dalam
kelas, terutamanya pada hari pertama mereka mengajar di
sesebuah sekolah.
Sebaliknya
beliau mencadangkan guru membawa buku rujukan yang berkulit
tebal supaya lebih kelihatan berilmu dan ada kelebihan
berbanding pelajar masing-masing.
``Kalau
hari pertama kita mengepit buku teks masuk dalam kelas,
kita nobody di mata pelajar... sama sahaja seperti mereka,''
kata Halimah.