Penulisan Buku Online
Penulisan Buku Online/ Book Writing Online
.

MASAALAH PENGANIAYAAN KANAK-KANAK;


Kaitannya Dengan Pendidikan
Selalunya setiap lapisan masyarakat menjadi gempar serta masaalah penganiayaan terhadap kanak-kanak mendapat perhatian semua pihak apabila kes mendera kanak-kanak berlaku secara keterlaluan dan zalim didedahkan dalam media massa. Ini jelas membuktikan yang mereka hanya mentakrifkan perbuatan mendera, mencederakan dan mengkhianati kanak-kanak sedemikian rupa sahaja sebagai kegiatan menganiaya dan penganiayaan bentuk lain tidak diberikan perhatian walaupun ianya adalah juga merupakan penganiayaan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang sering kelaparan tanpa makanan dan mereka yang memakai baju yang koyak rabak serta diam di bawah jambatan atau di gobok buruk merupakan perkara biasa yang tidak pernah diberikan perhatian dan pertimbangan yang wajar; seolah-olah kemiskinan adalah satu cara hidup. Hatta, kanak-kanak yang perlu berada di sekolah dibiarkan meronda kampung tanpa mendapat perhatian wajar daripada mana-mana pihak.

Oleh itu pemikiran kita harus juga ditumpukan kepada masaalah penganiayaan kanak-kanak dari perspektif yang lebih luas dan agak berbeza dan memberikan perhatian kepada sebarang bentuk penganiayaan kanak-kanak serta menganggapnya sebagai isu untuk menentukan strategi penyelesaiannya di Malaysia dan tidak hanya memfokuskan perkara ini kepada aspek mendera dan mencederakan kanak-kanak semata-mata sebagai isu terpenting.

Penderaan kanak-kanak sebenarnya bukan soal pokok. Ia mungkin hanya merupakan buah-buah daripada sepohon pokok yang tidak subur. Sebenarnya pokok itu sendiri perlu dipupuk dan dibaja agar buahnya juga turut subur dan mendatangkan hasil yang lumayan.Mengubati buahnya yang sakit hanya merupakan tindakan jangka pendek ; di mana buah yang bakal keluar pada masa hadapan akan tetap sakit.

Kegiatan mendera serta mencederakan kanak-kanak yang kadang-kadang membawa kepada kematian itu sebenarnya adalah berpunca daripada berbagai faktor lain yang lebih pokok dan faktor seumpama ini sering diabaikan. Tidak dapat dinafikan yang kemiskinan adalah merupakan salah satu daripada sebab berlakunya perbuatan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Tetapi, faktor pendidikan tidak boleh ditolak sebagai salah satu daripada sebab yang serius.

Kalangan berpendapatan rendahlah yang biasa dilaporkan melakukan perkara seumpama ini. Keadaan hidup yang tertekan serta tanpa makanan yang cukup; tanpa pakaian yang sempurna serta tidak mempunyai tempat berteduh yang sesuai menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada menjadi mangsa penganiyaan. Dan, biasanya kumpulan inilah yang selalunya tidak mencapai tahap pendidikan yang sepatutnya.

Kita tentu telah pernah mendengar kanak-kanak yang menangis dan batuk sepanjang malam kerana sakit atau lapar akibat terlalu miskin. Mungkin juga ada di antara mereka tidak mampu menjamah makanan selama beberapa hari.Oleh itu kita hendaklah memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh kepada usaha membasmi kemiskinan agar penganiayaan kanak-kanak yang berpunca daripada kemiskinan dapat dibasmi secara yang lebih berkesan.

Justeru itu, kita hendaklah juga menganggap bahawa membiarkan kemiskinan dalam masyarakat adalah suatu bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak dan kita sama-sama bertanggung-jawab sekiranya terdapat kanak-kanak teraniaya atas sebab kemiskinan.

Menentang kemiskinan untuk menghindar penganiayaan terhadap kanak-kanak merupakan jihad seluruh rakyat Malaysia .Menerusi pembasmian kemiskinan dalam masyarakat adalah diharapkan masaalah penganiayaan kanak-kanak akan turut terhapus dalam kadar peratusan yang agak boleh dibanggakan oleh kita semua.

Taraf hidup yang meningkat akan mengurangkan perbuatan penganiayaan terhadap kanak-kanak, manakala taraf pendidikan yang tinggi memainkan peranannya dalam perspektif yang berbeza, tetapi mempunyai objektif yang serupa.

Kita juga boleh dianggap menganiayai kanak-kanak sekiranya kita merampas hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna, menghadiri sekolah yang sempurna serta diajar oleh guru-guru yang terlatih. Sebuah sekolah yang tidak dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi dari segi fizikal, peralatan, bahan serta guru-guru yang terlatih adalah juga merupakan satu bentuk penganiayaan kanak-kanak.

Perkara ini, sama ada kurang diberikan perhatian yang wajar atau sememangnya tidak disedari adalah suatu isu yang masih boleh dibincangkan.

Seorang kanak-kanak yang dimasukkan ke sekolah dan belajar selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah sepatutnya mendapat keperluan persekolahan yang sewajarnya. Mereka berada dan belajar selama sebelas tahun di sekolah. Tidakkah hak mereka untuk membaca selama sebelas tahun di sekolah telah dirampas oleh kita semua sekiranya perpustakaan di sekolah mereka hanya mempunyai beberapa buah buku ? Sebelas tahun tanpa buku yang cukup dalam perpustakaan adalah suatu jangka masa yang panjang dan ia tentunya merupakan suatu penganiayaan.

Perkara ini juga membawa kepada kesan sampingan seperti lemah dalam pelajaran . Perkara ini akan menimbulkan masaalah kepada kita semua setelah mereka keluar daripada sekolah dalam keadaan separuh masak. Amalan sekarang ini di mana peruntukan membeli buku perpustakaan diberikan sebanyak dua atau tiga ribu ringgit setahun hendaklah diganti dengan peruntukan permulaan yang mencukupi apabila sesebuah sekolah baru dimulakan supaya sesebuah sekolah baru itu tidak perlu menunggu sepuluh atau dua puluh tahun untuk melengkapkan perpustakaan masing-masing secara berdikit-dikit agar murid-murid sepuluh tahun pertama tidak menjadi mangsa perpustakaan tidak berbuku.

Penganiayaan dalam bentuk ini mungkin tidak disedari, tetapi kesannya selepas kanak-kanak itu menjadi dewasa tentunya amat besar sekali.Mereka menjadi ahli masyarakat yang tidak gemar membaca. Masyarakat yang tidak gemar membaca adalah masyarakat yang beku dan perlahan dalam mengejar kemajuan. Skop pemikiran mereka sempit dan apabila diperlukan untuk membuat sesuatu pertimbangan selalunya fikiran mereka tidak bernas dan boleh menimbulkan keputusan yang tidak adil. Jika mereka ini diamanahkan untuk mengendalikan anak-anak, penganiayaan pasti akan berlaku.

Guru-guru yang sengaja tidak masuk ke kelas-kelas untuk mengajar juga sebenarnya melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Mereka mungkin terlepas daripada pandangan pihak pentadbiran sekolah, tetapi mereka tidak terlepas daripada dihantui oleh perasaan bersalah apabila mereka mengetahui yang perbuatan mereka ini merupakan suatu bentuk penganiayaan terhadap murid-murid mereka sendiri.

Kanak-kanak sangat memerlukan tempat untuk bermanja. Merampas hak mereka untuk bermanja juga merupakan suatu bentuk penganiayaan. Perpisahan ibubapa menjadikan mereka teraniaya serta kehilangan tempat bermanja. Peranan kita untuk membudayakan masyarakat agar perpisahan ibubapa dapat dikurangkan perlu dipertingkatkan dalam bentuk pendidikan seumur hidup serta bimbingan dan kaunseling.

Walau bagaimanapun, kadang-kadang kita mendengar mengenai seorang ibu dipenjarakan atas sesuatu kesalahan mengikut keputusan mahkamah dan undang-undang.Akibatnya anak wanita tersebut akan menjadi mangsa lantaran kehilangan tempat bermanja dan bergantung. Ini pun suatu bentuk penganiayaan kanak-kanak dan perkara ini memerlukan pemikiran yang mendalam agar hukuman mahkamah yang boleh membawa kepada masaalah penganiayaan kanak-kanak diberikan pertimbangan yang sewajarnya dalam menjatuhkan hukuman.

Orang yang bersalah sememangnya patut dihukum, tetapi bentuk hukuman hendaklah jangan mengenepikan kepentingan kanak-kanak apabila orang yang hendak dihukum adalah seorang ibu kepada seorang anak ; apalagi kalau anak itu masih terlalu kecil.

Memisahkan anak tersebut daripada mendapat kasih sayang dan belian seorang ibu adalah menganiayakan. Si ibu mungkin dapat menahan perasaannya kerana kedewasaannya, tetapi anaknya tentu akan dilanda penderitaan dan teraniaya sepanjang tempoh ibunya di dalam penjara.Bagaimana pula sekiranya ibu tersebut dijatuhkan hukuman mati di tali gantung?

Kita semua tentu melakukan sesuatu yang tidak wajar sekiranya pada suatu ketika kita bercakap mengenai pembasmian penganiayaan kanak-kanak, tetapi pada waktu yang lain pula kita sendiri memainkan peranan dalam kegiatan menganiayaai kanak-kanak. Kepakaran dan keprofesionalima kita dapat mengabui mata orang biasa.

Kasih sayang ibubapa atau penjaga sangat diperlukan oleh setiap orang kanak-kanak. Mereka yang kedekut dari segi memberikan kasih sayang terhadap anak-anak menyebabkan anak-anak mereka merasa rendah diri dan tidak dikasihi.

Kita harus memahami akan jiwa kanak-kanak supaya kita tidak melakukan penganiayaan secara tidak sedar. Kita mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk memberikan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak, tetapi janganlah kita menjadikannya alasan untuk tidak peduli langsung kepada mereka.Ini akan menyebabkan mereka akan merasakan mereka tidak dikasehi dan disayangi.

Kita mungkin tidak perlu menunjukkan kasih sayang secara berlebihan ketika berinteraksi sesama dewasa. Kanak-kanak tidak demikian. Mereka perlu dibelai dan dilayan selalu. Dengan cara itu mereka dapat membesar dalam suasana yang sihat secara fizikal dan mental serta mereka terhindar daripada teraniaya dalam bentuk kepupusan kasih sayang yang sentiasa diharapkan daripada kita.

Tidak dapat dinafikan yang kejahilan memainkan peranan yang amat penting serta membawa kepada timbulnya masaalah penganiayaan terhadap kanak-kanak. Tahap pencapaian pendidikan kita secara keseluruhan; sama ada dari sudut akademik, agama, moral atau nilai-nilai murni memainkan peranan dalam usaha menghindarkan diri daripada melakukankan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Pendidikan diri yang berterusan ;iaitu apa yang di namakan 'Pendidikan seumur hidup' samada melalui pembacaan atau secara formal juga meninggalkan kesan terhadap hasrat menghindarkan diri daripada melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Tegasnya, setiap ahli masyarakat hendaklah terdidik serta tidak buta huruf.

Kita harus bersyukur kerana Malaysia agak maju dalam bidang ini dan dengan reformasi pendidikan yang sedang berjalan sekarang kita tentu merasa amat positif akan masa depan masyarakat Malaysia dari segi pencapaian dalam pendidikan. Janganlah kita membiarkan kejahilan menghantui kita kerana ia akan menjemput kita untuk melakukan penganiayaan terhadap anak-anak kita.

Seseorang yang lengkap dan menyeluruh pendidikannya, tinggi moralnya serta faham dan dapat menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan tidak mudah mengambil tindakan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Apa lagi sekiranya beliau teguh dari segi kedudukan ekonominya.

Secara semulajadi kanak-kanak amat gemar berkawan dan bergaul sesama mereka tanpa mengira waktu. Dalam masa inilah mereka berkembang secara sosial di samping dapat merasakan kegembiraan ketika bersama kawan-kawan. Hak ini hendaknya janganlah dirampas daripada mereka. Kita tidak boleh mengurung anak-anak kerana terlalu mementingkan keselamatan kononnya, hinggakan kita mengabaikan tanggungjawab kita yang satu ini; iaitu membebaskan mereka untuk bergaul dan bermain.

Ada di antara kanak-kanak pernah kita dengar dilaporkan samada dirantai atau dikurung di dalam kurungan yang sempit.Secara tidak sedar perbuatan menahan mereka daripada keluar untuk bergaul boleh mengongkong jiwa mereka dan ini tentunya merupakan suatu bentuk penganiayaan yang dilakukan secara tidak disedari akibat kejahilan kita sendiri. Dalam hal ini kita sedikitpun tidak boleh mengatakan yang kita tidak sayangkan anak-anak, tetapi kejahilan kita telah memerangkap diri kita sendiri hinggakan kita sanggup mengurung anak-anak atas alasan menjaga keselamatan demi kasih sayang. Akibatnya anak kita juga yang teraniaya akibat darpada selalu dibelenggu.

Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak juga pandai dan mahu menikmati keindahan dan kecantikan. Perkara ini hendaklah jangan diabaikan. Sekali sekala mereka perlu diajak keluar bersiar-siar atau pergi melihat pameran-pameran atau perayaan dalam apa bentuk sekalipun. Keutamaan hendaklah diberikan kepada aspek menikmati keindahan.

Pendidikan agama dan moral merupakan keperluan rohani yang amat penting. Kecuaian kita dalam memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak amat buruk padahnya di kemudian hari.Di samping itu mereka juga perlu diberikan unsur-unsur nilai murni samada secara formal atau tidak formal. Semua ini akan menjadi bekal kepada mereka dalam menghadapi hari-hari muka yang kian hari kian mencabar.

Sekiranya keperluan ini diabaikan padahnya bukan sahaja akan diterima oleh mereka sendiri, tetapi kesannya akan turut sama dipikul oleh masyarakat dan kita semua.

Kini, kita sering mendengar tentang penyelewengan yang berlaku di berbagai peringkat tanpa mengira samada seseorang itu berpendidikan tinggi atau di sebaliknya. Wang koperasi dilesapkan dengan cara yang amat bijak serta wang kepunyaan bank dicuri dengan kaedah yang canggih. Ini semua membuktikan kegagalan kita dalam memberikan didikan agama, moral dan nilai-nilai murni dengan berkesan serta tanpa penghayatan.

Kita hanya pentingkan kelulusan akademik serta sijil pencapaian dalam peperiksaan .Oleh itu, wajarlah dikatakan bahawa pengabaian dalam perkara agama, moral dan nilai-nilai murni ketika mereka masih anak-anak juga boleh dikelaskan sebagai suatu bentuk penganiayaan dan akibatnya ditanggung oleh kita semua apabila terpaksa berhadapan dengan kumpulan terpelajar dan berkelulusan tinggi tetapi pakar dalam soal penyelewengan.

Pendidikan yang tidak menyeluruh serta tidak berpaksikan kepada unsur ketuhanan dan nilai-nilai murni akan hanya melahirkan lulusan yang bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat, tetapi juga tidak berguna kepada dirinya sendiri.

Ibubapa yang bekerja sering menghadapi masaalah penjagaan anak-anak. Mereka yang mampu boleh menggaji seorang pembantu untuk menjaga dan melayan keperluan anak-anak ketika keluar mencari nafkah. Bagi mereka yang tidak mampu mereka menumpangkan anak-anak di rumah kawan atau jiran serta ada juga majikan yang menyediakan tempat penjagaan kanak-kanak untuk pekerja mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai pilihan selain dari meninggalkan anak-anak di rumah tanpa penjagaan? Tentu ini pun dilihat sebagai penganiayaan. Tetapi apakah daya mereka? Lantaran kemiskinan dan kesempitan hidup mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Kita tidak boleh menghukum mereka sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada anak-anak mereka sewaktu ditinggalkan tersebut.Kemiskinan bukanlah suatu jenayah. Barangkali kitalah yang patut dihukum kerana membiarkan mereka miskin merupakan jenayah yang dilakukan oleh kita (masyarakat) secara kolektif.

Dalam banyak keadaan kanak-kanaklah yang menjadi mangsa dan teraniaya. Inilah di antara bentuk penganiayaan yang perlu diberikan perhatian secara bersungguh-sungguh oleh kita semua. Perancangan yang teliti perlu dibuat bukan sahaja oleh pihak kerajaan, tetapi juga perlu disertai oleh semua sektor dan kita semua agar kejayaan membenteras kemiskinan cepat mencapai matlamatnya.

Membebankan kepada Kementerian Kebajikan Masyarakat semata-mata untuk melaksanakan tugas yang berat ini adalah tidak adil serta tidak memadai. Semua kementerian harus digerakkan, diberikan fahaman dan kesedaran serta dilibatkan berhubung dengan perkara ini; tanpa kecuali, kerana setiap insan yang mempunyai anak pasti dapat memahami tentang keperluan kerjasama semua pihak yang dimaksudkan demi membenteras kemiskinan dalam usaha mengurangkan masaalah penganiayaan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang sakit memerlukan rawatan sempurna. Sekali lagi kita tidak boleh lari daripada membicarakan faktor kemiskinan kerana faktor ini jugalah yang menjadi garis pengukur sama ada seseorang kanak-kanak itu akan teraniaya kerana tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan sempurna ataupun tidak.

Pusat-pusat kesihatan kecil dan besar telah pun didirikan oleh kerajaan di merata ceruk tanah air, tetapi rawatan kepakaran masih perlu diberikan hanya di bandar-bandar. Kos berulang-alik tentu membebankan kumpulan miskin; walaupun rawatan yang diberikan mungkin percuma.

Inilah delemanya dan inilah masaalahnya. Kemiskinan merupakan isu pokok kepada masaalah penganiayaan kanak-kanak dari sudut mana pun kita melihatnya; kerana ia juga merupakan faktor untuk menghalang seseorang itu mendapatkan pendidikan.

Kanak-kanak miskin yang bersekolah sering menghadapi masaalah pengangkutan ke sekolah-sekolah. Mengabaikan aspek ini pun merupakan penganiayaan. Itulah sebabnya barangkali projek asrama desa begitu pesat dilaksanakan oleh kementerian pendidikan. Ia bukan sahaja akan memberikan peluang kepada kanak-kanak miskin tinggal dengan makan percuma, tetapi ia juga dapat mengatasi masaalah berulang alik ke sekolah.

Namun begitu jumlah yang dapat tinggal di asrama desa masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang benar-benar memerlukan tempat tinggal tersebut.

Selain dari itu terdapat juga kanak-kanak yang terpaksa bekerja untuk membantu menambah pendapatan ibubapa.Setengahnya bersekolah di sebelah pagi dan bekerja di sebelah petang. Ada juga yang terus diberhentikan persekolahan mereka dan terpaksa menjadi pekerja sepenuh masa.

Bibit-bibit penganiayaan begini juga kurang mendapat perhatian, seolah-olah ia telah menjadi budaya masyarakat kita dan tidak seorang pun daripada kita merasa bertanggungjawab memikir dan menyelesaikannya secara serius dan berkesan.

Masyarakat adalah tempat bagi kanak-kanak bergantung dan mereka sering terdedah kepada berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat sendiri.Seringkali pergolakan dalam masyarakat turut menseret kanak-kanak ke dalamnya dan dengan itu berlakulah penganiayaan.

Dalam hal ini kita semua harus berwaspada agar pergolakan sosial, politik dan ekonomi orang dewasa tidak melibatkan kanak-kanak. Sebarang masaalah orang dewasa yang secara langsung menimbulkan penganiayaan terhadap kanak-kanak hendaklah seboleh-bolehnya diselesaikan secepat mungkin agar ia tidak berpanjangan dan menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak.

Kita semua harus mengambil sikap bahawa kanak-kanak adalah bunga bangsa Malaysia dan kita tidak boleh menganggap masaalah yang dihadapi oleh anak orang lain adalah masaalah mereka sendiri; lantas kita menutup mata serta berpura-pura tidak nampak apa yang berlaku di sekeliling kita.

Rasa cintakan kanak-kanak harus dipupuk di kalangan masyarakat. Kita tentu biasa melihat wajah kanak-kanak yang masih belum mengenali kebencian dan berinteraksi sesama mereka dengan penuh rasa kasih sayang.

Kita telah begitu banyak menghabiskan masa dan wang ringgit memikirkan tentang masaalah sosial, politik dan ekonomi yang berkaitan dengan orang dewasa secara langsung; tetapi kita telah tidak memberikan perhatian yang sedemikian banyaknya terhadap masaalah yang dihadapi oleh kanak-kanak. Akhirnya kita juga yang akan menanggung bebannya akibat daripada kecuaian kita semua.

Sehubungan dengan itu kita mengetepikan aspek kanak-kanak bila kita berleluasa menyiarkan rancangan TV yang agak ganas atau lucah. Kita tidak merasa bersalah membeli aiskerim berharga mahal untuk dijilat oleh anak kita di hadapan mata seorang kanak-kanak miskin.Kita sering meletakkan kesalahan di atas bahu ibubapa yang mendera kanak-kanak secara keterlaluan tanpa memikirkan peranan kita sendiri sebagai komponan masyarakat.

Oleh yang demikian, masaalah penganiayaan kanak-kanak bukanlah masaalah sesuatu kelompok atau individu sahaja. Dalam pembicaraan perkara ini kita telah dapat melihat beberapa bentuk penganiayaan kanak-kanak yang dilihat dari sudut dan perspektif yang agak berbeza kerana kita tidak membincangkankan isu mendera dan mencederakan kanak-kanak sebagai isu pokok.

Kita juga tidak boleh membiarkan pihak kerajaan bersendirian dalam hal ini.Kita semua sedar tentang berbagai usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dengan mengadakan dan mengeluarkan berbagai bantuan kepada kumpulan miskin. Daripada berbagai bentuk subsidi membawalah kepada bantuan basikal dan cermin mata; daripada biasiswa dan dermasiswa membawalah kepada derma Hari Raya atau bantuan peperiksaan serta daripada kursus-kursus di universiti membawalah kepada kursus-kursus di peringkat JKKK.

Kita semua perlu bersikap positif walaupun kita tahu bahawa kejayaan tidak akan datang menggolek. Berkat kesabaran dan ketabahan kita akan memperolehi kejayaan juga akhirnya. Penyertaan semua lapisan masyarakat akan menjadikan tindakan kerajaan lebih berjaya dan berkesan.Kita tidak boleh menafikan bahawa kemiskinan merupakan punca kepada masaalah penganiayaan kanak-kanak. Oleh itu program pembasmian kemiskinan yang baru dilancarkan itu akan dapat mengatasi masaalah yang dibincangkan di atas walaupun memakan masa yang panjang.

Peranan kerajaan, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan dan masyarakat perlu digembelingkan untuk mencapai kejayaan.

Penganiayaan kanak-kanak adalah masaalah kita kerana ketidaksempurnaan kita dan ia tidak harus dipikul oleh mereka yang terlibat secara langsung semata-mata. Peranan pendidikan tetap memainkan peranannya. Falsafah Pendidikan Negara; Matlamat pendidikan Negara; Pendemokrasian Dalam Pendidikan dan berbagai pembaharuan menerusi reformasi pendidikan yang dimanifestasikan menerusi KBSR dan KBSM yang menuju ke arah pendidikan insan yang menyeluruh dan bersepadu akan membuahkan hasil, insya'Allah.



Tempat Bertugas
Penulis
Care To Join?