[MUKA DEPAN]     [GOSIP]      [HANTAR CADANGAN]   [EMAIL]

Kenapa Suara Hulu Kelang lahir?

Mungkin ada yang bertanya, khususnya ahli-ahli UMNO di Gombak - kenapa Suara Hulu Kelang lahir? Dan siapa di belakang takbirnya? Jawapannya mudah sahaja.

Pertama, ia dilahirkan untuk memberi input kepada ahli-ahli UMNO supaya peka mengenai isu-isu semasa yang kian berkocak dalam arus politik Gombak.

Lebih-lebih lagi dalam memulih dan memperbetulkan jentera UMNO Gombak. Dengan ini ahli-ahli parti boleh merujuk pada Suara Hulu Kelang supaya tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan golongan yang berkepentingan yang mengejar jawatan dalam Bahagian Gombak.

Menyedari gelombang dan pergolakan politik Gombak yang kebiasaannya tidak mendapat tempat dalam media arus perdana yang mana lebih menitikberatkan soal kepimpinan pusat maka kami sebagai ahli yang setia kepada UMNO berasa terpanggil untuk menerbitkan Suara Hulu Kelang.

Penerbitan ini khususnya kepada ahli-ahli yang berminat untuk mengikuti isu-isu menarik yang sebelum ini belum pernah dipaparkan dalam mana-mana media massa.

Dengan adanya Suara Hulu Kelang, kami berharap ia akan menjadi medium atau wadah kepada sebilangan ahli UMNO yang prihatin untuk melahirkan pandangan dan teguran serta berani mendedahkan sebarang penyelewengan demi kebaikan UMNO Bahagian Gombak.

Segala maklumat dan pendapat serta gambar-gambar 'eksklusif' bolehlah dikirimkan kepada Penghulu kami, Pak Abu Sayap melalui e-mel: abu_sayap@mailcityasia.com

Sebagai penghulu Suara Hulu Kelang, Pak Abu Sayap akan berterbangan di sekitar Gombak untuk meninjau dan mendengar gosip-gosip politik yang bahangnya sudah terasa untuk dipaparkan dalam Suara Hulu Kelang dari semasa ke semasa.

Perlu juga diingatkan, Suara Hulu Kelang tidak menyokong sesiapa atau mana-mana pihak terutama dalam pertandingan merebut jawatan UMNO Bahagian Gombak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Peranan Suara Hulu Kelang adalah untuk memantau dan memberi pandangan kepada ahli-ahli supaya Bahagian Gombak dapat menampilkan satu barisan pemimpin yang mantap.

Sebagai contoh, dalam edisi pertama Suara Hulu Kelang, kita cuba untuk menghuraikan kembali kekalahan DUN Hulu Kelang.

Adakah benar ia berpunca daripada isu nasional sepertimana yang dijelaskan oleh Datuk Fuad Hassan.

Kita tidak mahu pemimpin yang diberi amanah apabila gagal cuba mencari pelbagai alasan untuk menutup kelemahan sendiri.

Untuk keluaran yang akan datang, kami di Suara Hulu Kelang akan cuba untuk membongkarkan beberapa isu-isu menarik misalnya mengenali siapakah pemimpin yang harus dipilih.

Bagi pembaca yang berasa tidak puas hati mengenai isu-isu yang dipaparkan, bolehlah mengirimkan pendapat anda kepada Suara Hulu Kelang untuk disiarkan. - Pengarang
- Kembali ke muka utama