CA perangi ecstasy Umno?
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. LingLiong Sik yang pernah buat sandiwara, kononnya mahu meletakkan jawatan tidak berapa lama dahulu, kini mula memprojekkan dirinya sebagai pemimpin yang harus dihormati oleh rakyat negara ini.
Cuba kita lihat usaha MCA yang di bawah pimpinannya. Setakat ini beliau telah berjaya mencapai apa yang diingini oleh kaum Cina di negara ini.
Cuba kita perhalusi hasrat mereka dalam bidang pendidikan - peluang anak Cina mendapatkan pendidikan tinggi tercapai sudah dengan penubuhan beratus-ratus kolej swasta.
MCA juga menubuhkan dana untuk membantu pelajar Cina melalui Projek Langkawi. Dalam bidang ekonomi, walau apa pun usaha kerajaan BN/UMNO, kaum Cina tetap mendapat manfaatnya.
Kini kalangan anak muda Cina yang lupa diri sudah mula dilanda ‘penyakit’ moral khususnya penggunaan pil khayal (ecstasy).
Nampaknya MCA tidak duduk diam dalam hal ini. Parti itu sudah berada di barisan hadapan. Mereka bersedia untuk memerangi penggunaan pil tersebut di kalangan kaum Cina.
Mereka minta bantuan pihak berkuasa termasuk polis. Mereka keluarkan perbelanjaan untuk berkempen dan memberi kesedaran kepada golongan belia dan ibu bapa Cina tentang bahaya pil khayal itu kepada kesihatan.
Entah benar ataupun tidak, khabarnya tindakan berani itu tidak disenangi oleh pihak tertentu dan pemimpin MCA mula menerima ugutan. Tetapi MCA tetap tidak berundur.
Dalam konteks Melayu pula, apa yang pemimpin UMNO lakukan dan bertindak untuk membantu menye-lesaikan masalah orang Melayu.
Sehingga kini penagihan dadah di kalangan orang Melayu tidak pernah berkurangan.
Pemimpin kita asyik bertikam lidah dengan pemimpin Melayu dari parti pembangkang.
Kita sedar dalam survival politik itu amat penting tetapi kalau terlalu banyak masa tertumpu dalam perkara titik bengek seperti keluar masuk ahli Keadilan atau Pas ke dalam UMNO, isu aurat wanita dan masalah perpaduan dan ahli UMNO sahaja, tidakkah ini merugikan masa umat Melayu untuk bersaing dalam segala bidang?
Barangkali pemimpin UMNO Gombak boleh mengambil iktibar daripada usaha MCA itu dan memulakan langkah baru.
- Kembali ke muka utama |