Pemimpin UMNO Kaku
Apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon memohon maaf kepada masyarakat Melayu apabila sambutan alaf baru 2000 yang diadakan di negeri itu disambut dalam bahasa Cina menyingung perasaan orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO, beliau dengan mudah memberi alasan, pengacara majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri itu tidak fasih berbahasa Malaysia.
Sebilangan besar ahli-ahli UMNO menunggu reaksi dari pemimpin-pemimpin UMNO yang mungkin boleh memberi komen yang akan melegakan masyarakat Melayu.
Tetapi malangnya tidak? Kita sebenarnya, hairan di sebuah negara yang telah merdeka lebih 43 tahun masih ada pemimpin peringkat tertinggi mempertahankan kaumnya yang tidak boleh berbahasa Melayu.
Walaupun kita sedar, sebagai semangat setiakawan dalam Barisan Nasional, UMNO tidak boleh memberi sebarang komen yang mungkin akan menimbulkan pelbagai masalah.
Memang benar, tapi kalau kelemahan itu hendak disuarakan, pemimpin UMNO boleh menggunakan platform lain jika mahu. Gerakan Belia 4B, Majlis Belia Malaysia, Persatuan Guru-guru Melayu dan lain-lain persatuan boleh dijadikan medium untuk melahirkan rasa kesal orang Melayu.
Tetapi, apakah pemimpin UMNO buat dalam perkara ini, takkan isu sebegini pun berkehendakan Datuk Seri Dr. Mahathir yang suarakan.
Sudah terlalu banyak maruah bangsa Melayu telah diganggu gugat, bukan sekadar isu bahasa di Pulau Pinang malah papan-papan kenyataan perniagaan, tempat-tempat rekreasi yang tidak mencerminkan budaya Malaysia.
Kita sebenarnya sedang melalui proses 'merestui' usaha untuk menenggelamkan bahasa dan kebudayaan Melayu.
Kita lebih sibuk dengan masalah Istana Kampung Glam di Singapura. Tapi masalah maruah Melayu di negara sendiri terus diabaikan.
- Kembali ke muka utama |