Peduli Apa Zoo Negara ?
Suasana begini akan hilang
di Hulu Klang apabila Zoo Negara di pindahkan ke Sepang atau Kuala Langat.
Kepada masyarakat kawasan Gombak, berita Jemaah Kabinet mengarahkan Zoo Negara yang terletak di Hulu Klang dipindahkan ke kawasan baru dalam masa yang terdekat ini barangkali tidak membawa sebarang makna kepada diri mereka. Biarlah Zoo Negara dipindahkan.
Khabarnya Kabinet juga bersetuju bahawa lokasi yang ada sekarang sudah tidak lagi sesuai disebabkan keadaan persekitaran dan lalu lintas yang sibuk.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ch’ng Toh Eng berkata, Kerajaan Pusat mahu Zoo baru didirikan di kawasan yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan Putrajaya kerana dekat dengan penempatan penduduk dan mudah dilawati (Utusan Malaysia, 12 Jun 2000).
Tetapi bagi kebanyakan pengunjung zoo ini, terutama dari luar daerah Gombak pula rata-rata tidak bersetuju dengan rancangan itu dan meminta kerajaan meneliti semula rancangan tersebut dari semua aspek.
Sebahagian besar pengunjung telah mengenali tempat ini sejak ia mula dibuka. Mereka sudah sebati dengan nama Hulu Klang yang secara langsung menggambarkan Zoo Negara.
Di sini juga mereka mudah memperoleh pengangkutan awam kerana ia terletak berhampiran pusat bandar.
Jika perpindahan lokasi baru dijalankan juga, kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk membina infrastruktur baru. Kalau di tempat baru mestilah harga tiket masuk juga pada kadar baru.
Tindakan memindahkan Zoo Negara yang berusia 39 tahun dengan keluasan 63 ekar itu dibuat ekoran kedudukannya dikatakan sudah tidak lagi sesuai.
Zoo Negara diasas oleh Pengerusi Pertubuhan Zoological Malaysia, Tan Sri Datuk V. M. Hutson pada tahun 1961 dan dibuka secara rasmi pada tahun 1963 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Zoo Negara mempunyai nilai sentimental kepada sebahagian besar penduduk Hulu Klang . Dahulu ada pihak-pihak tertentu mempertahankan Zoo Negara dari dipindahkan.
Pada era Mat Taib sebagai Menteri Besar Selangor dahulu, beliau ada membawa usul supaya zoo ini dipindah ke Hulu Selangor. Tetapi hasratnya terhalang apabila Sultan Selangor campur tangan.
Apabila giliran Abu Hassan Omar pula menjadi MB dan Sultan Selangor menjadi Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Zoo Negara di Hulu Klang tidak siapa dapat pertahankan lagi.
Semua orang atasan yang menjadi sanjungan rakyat sudah membisu. Pemimpin-pemimpin UMNO di Hulu Klang juga tidak bersuara membuat kenyataan sama ada mereka bersetuju atau membantah.
Mungkin ini melibatkan isu nasional, jadi UMNO peringkat cawangan dan bahagian tidak perlu campur tangan? Biarlah penjaja haram, apatah lagi peniaga warga asing di sekitar Zoo Negara bertempiaran mencari lokasi baru bagi perniagaan mereka.
Biarlah identiti Hulu Klang yang namanya begitu sinonim dengan Zoo Negara lenyap sekelip mata. Tidak ada apa-apa yang merugikan.
Tetapi fikirkanlah, Studio Merdeka pernah menjadi kebanggaan orang Hulu Klang suatu ketika dulu dan sekarang ia tinggal nama sahaja, itu pun bila disebut orang tentang filem P. Ramlee.
Dan percayalah, lambat laun Kompleks Finas di Hulu Klang ini pun mungkin berkubur bila kompleks perfileman E-Village beroperasi berdekatan Cyberjaya tidak berapa lama lagi. Hilanglah kemegahan gelaran kawasan Hollywood Malaysia tidak lama lagi.
Apa yang tinggal untuk Hulu Klang. Apa idea cetusan pemimpin UMNO sekarang, kalau yang ada pun habis dimusnah dan dibawa pergi.
Orang Hulu Klang perlu sedar, perkara ini berlaku selepas pilihan raya umum lalu. Apakah ini balasan kerajaan kepada penduduk Hulu Klang yang tidak menyokong kemenangan BN? Apakah ini kerana ahli Parlimen Gombak tidak lagi bergelar menteri dan berada dalam mesyuarat kabinet?
Jika keputusan pemindahan Zoo Negara demi kebaikan negara, maka teruskan. Tetapi pemimpin UMNO juga perlu fikirkan, apa yang hendak dibina sebagai ganti di tapak tinggalan Zoo Negara nanti sebagai imej baru Hulu Klang.
Warga Prihatin,
Kampung. Kemesah.
- Kembali ke muka utama |