Masyarakat Maklumat


Masyarakat Teknologi Maklumat di Malaysia agak gembira tentang Belanjawan 1997 dan ada yang menghuraikannya sebagai satu belanjawan Teknologi Maklumat dengan pemberian insentif-insentif kelas dunia.

Saya di sini hendak memuji Menteri Kewangan yang membentangkan sebuah belanjawan paling bersifat Teknologi Maklumat sepanjang penjawatannya, yang selaras dengan hasrat kerajaan bahawa Malaysia harus mengolak langkah besar menuju ke masa depan di bawah MSC kita.

Dalam belanjawan ini, Menteri Kewangan telah menghapuskan cukai jualan dan duti untuk lebih banyak barangan komputer dan memperkenalkan insentif-insentif kepada kawasan MSC demi menggalakkan penggunaan multimedia, aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta industri-industri berteknologi tinggi, misalnya melalui status perintis ataupun pemberian 100% elaun cukai pelaburan; insentif khas kepada syarikat-syarikat yang keujudannya akan menarik lain-lain syarikat mendirikan operasi mereka di bandaraya Teknologi Maklumat; garis panduan khas untuk mengawal transaksi matawang asing dan pinjaman serta pemansuhan cukai-cukai atas peralatan multi-media dan pemansuhan cukai-cukai kelengkapan multimedia.

Kata-kata besar mengenai penekanan belanjawan ini ke atas Teknologi Maklumat telah memberikan satu tanggapan salah oleh sesetengah laporan akhbar bahawa ujud juga peningkatan besar dalam provisi untuk memupuk celik-komputer di dalam sekolah-sekolah, kerana sebanyak RM10 bilion telah khas diagihkan untuk tujuan program Komputer Dalam Pendidikan.

Tanggapan salah ini muncul dari perengan berikut dalam ucapan belanjawan Menteri Kewangan:

"23. Sebanyak RM13.2 bilion disediakan untuk sektor pendidikan dan latihan tenaga kerja. Dari jumlah tersebut, hampir RM10 bilion adalah untuk keperluan sekolah-sekolah, pelaksanaan Program Komputer Dalam Pendidikan; dan pembiayaan institusi pengajian tinggi.”

Satu semakan dengan provisi belanjawan menunjukkan bahawa jumlah agihan kepada Program Komputer Dalam Pendidikan ini tidak sampai 10% dari jumlah angka ini - iaitu hanya RM60 juta sahaja sungguhpun keperluan memperkenalkan celik komputer di sekolah-sekolah rendah dan menengah di negara ini perlu dipercepatkan dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.

Masa depan Malaysia, daya persaingan kita, kemajuan dan kedudukan kita di dunia akan ditentukan oleh keupayaan rakyat Malaysia untuk mengolak langkah besar maju ke Era Digital.

Di dalam ekonomi lama, sumber-sumber semulajadi dan infrastruktur-infrastruktur fizikal merupakan faktor penentuan daya persaingan sesebuah negara. Dalam ekonomi global yang baru kini, pengetahuanlah yang merupakan sumber utama, kualiti tenaga kerja sesebuah negara adalah kritikal dalam memastikan daya persaingannya.

Sekiranya Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang benar-benar maju dan bertaraf antarabangsa, maka kita perlu berada di baris depan Teknologi Maklumat dan Era Digital dengan mencapai dua objektif: Pertama, tidak ujud sebarang jurang ‘kaya maklumat’ dan ‘miskin maklumat’ di kalangan rakya Malaysia; kedua, Malaysia mesti menyertai barisan negara-negara ‘kaya maklumat’ di dunia.

Menteri Kewangan telah merujuk kepada lapan bidang spesifik yang akan digalak oleh MSC, antaranya telemedicine, smart schools, kelompok-kelompok penyelidikan dan pembangunan, kad-kad serba-guna dan kerajaan elektronik.

Negara ini tidak akan lupa bagaimana sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed pertama kali mengumumkan tentang butiran lapan aplikasi utama MSC seluas 15 km kali 50 km yang bernilai RM5 bilion ini, seluruh negara terjunam di dalam kegelapan selama 17 jam - membangkitkan pertanyaan samada pembangunan infrastruktur Malaysia berupaya menambung rancangan-rancangan Teknologi Maklumat ini.

Kedua, kerajaan mesti memastikan bahawa MSC tidak akan menjadi satu pulau terasing yang maju dari segi maklumat manakala lain-lain kawasan di negara ini ketinggalan di belakang dan secara perbandingan adalah lebih mundur dan miskin dari segi maklumat.

Malaysia tidak boleh mencipta satu masyarakat dua peringkat, yang dibahagikan kepada pemenang dan yang kalah dalam segi Teknologi Maklumat.

Di manakah dia Rancangan Tindakan Kebangsaan Teknologi Maklumat yang dijanjikan oleh Rancangan Malaysia Ketujuh

Dalam tahun lepas di Parlimen, saya telah membuat lima cadangan penting untuk menyediakan Malaysia, terutama sekali generasi baru Malaysia, melangkah satu quantum leap ke dalam Era Maklumat.

Pertama, semasa menyertai perbahasan ke atas belanjawan tahun lepas, saya menyeru supaya dibentuk satu Dasar Teknologi Maklumat Kebangsaan yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia pemimpin dalam Lebuhraya Maklumat.

Kedua, semasa menyertai perbahasan ke atas Rancangan Malaysia Ketujuh tahun ini, saya telah menyeru supaya kerajaan bertindak terhadap cabaran Revolusi Teknologi Maklumat dengan mengumumkan Masyarakat Berilmu sebagai wawasan kebangsaan dan pembentukan objektif strategik, dengan menggunakan Teknologi Maklumat untuk membekalkan persekitaran pembelajaran seumur hidup di mana semua rakyat Malaysia akan mendapat akses ke seluas-luasnya bidang peluang dan kelengkapan pembelajaran.

Ketiga, semasa menyertai perbahasan ke atas Rang Undang-undang Pendidikan 1996 Disember tahun lepas, saya telah memperkenalkan satu cadangan pindaan pada peringkat jawatankuasa untuk menjadikan ‘celik komputer’ satu matapelajaran teras dalam korikulum sekolah-sekolah rendah dan menengah.

Keempat, saya pernah mencadangakan bahawa sampai ke tahun 2000, kesemua 8500 sekolah di negara ini harus disambungkan ke Internet.

Kelima, saya pernah mencadangkan pada minggu lepas satu program kilat tiga rambang untuk memastikan 250,000 guru di sekolah-sekolah rendah dan menengah adalah celik komputer sekurang-kurangnya pada tahun 2000, termasuk diadakan satu skim pinjaman khas untuk menggalakkan dan membekalkan insentif kepada 250,000 guru-guru ini untuk membeli komputer peribadi dan mendapat diskaun khas supaya disambung ke Internet.

Lima cadangan ini belum lagi diterima atau dilaksanakan oleh Kerajaan. Adalah jelas bahawa sungguhpun belanjawan 1997 ini membekalkan lebih insentif untuk menggalakkan perkembagnan Teknologi Maklumat di Malaysia, negara ini masih kekurangan strategi koheren dan bersepadu untuk menyediakan rakyat Malaysia menghadapi cabaran Masyarakat Maklumat.

Rakyat dan ahli-ahli Parlimen Malaysia janganlah menjadi mangsa kepada cakap-cakap besar mengenai Teknologi Maklumat di Malaysia, bagaikan Malaysia kini telah sampai ke baris depan Lebuhraya Maklumat. Di Amerika Syarikat, Presiden Clinton kini sedang membangkitkan soal Internet II, satu Lebuhraya Maklumat yang lebih cergas dan cepat untuk universiti-universiti bagi membolehkan penyelidik, doktor dan ‘pelajar jarak jauh’ mendapat satu saluran bagi penyampaian lebih banyak maklumat dalam masa yang lebih cepat, yang mana tidak dapat dikendalikan oleh Internet lama kini.

Adalah juga berguna untuk mengkaji apakah yang dirancangkan oleh Singapura dalam persiapannya untuk maju ke arah Masyarakat Maklumat. Negara itu kini adanya program pemasangan kabel di seluruh-pulau yang dismbungkan ke hampir setiap rumah supaya pada tahun depan, sambungan rakyat Singapura ke Web pages akan menjadi 1,000 kali lebih cepat dari kalajuan hari ini.

Dalam proses menyediakan rakyatnya menghadapi Masyarakat Maklumat, National Computer Board yang disokong oleh Kerajaan Singapura telah mengumumkan rancangannya untuk memastikan bahawa:

Sebagai model pengguna/pelanggan Lebuhraya Maklumat, kesemua Jabatan Kerajaan Singapura telah mula melancarkan website mereka supaya rakyat Singapura dapat menjalankan transaksi urusan rasmi tanpa perlu tinggalkan rumah atau pejabat mereka.

Sementara Kementerian Pendidikan Malaysia tidak bersedia memberikan komitmen untuk menyambungkan setiap sekolah di Malaysia ke Internet pada tahun 2,000, di mana nisbahnya adalah sekurang-kurangnya satu modem untuk setiap sekolah, negara-negara maju kini sedang merancang untuk mencapai nisbah 5-10 pelajar sebuah komputer terkini dari nisbah sekarang di mana nisbahnya adalah 40 pelajar sebuah komputer terkini.

Jelas sekali Malaysia masih ketinggalan di belakang, terutama dari segi menyediakan rakyat kita maju ke arah Masyarakat Maklumat.

Rancangan Malaysia Ketujun, yang dibentangkan di Parlimen bulan Mei ini, menjanjikan satu Rancangan Tindakan Kebangsanaan Teknologi Maklumat yang akan dirumus oleh National Information Technology Council (NITC) untuk ‘mencartakan langkah-langkah yang perlu untuk memupuk pembangunan Malaysia ke dalam hab Teknologi Maklumat’.

Kini enam bulan telah berlalu - dan enam bulan adalah satu jangka masa yang panjang dalam Era Digital - tetapi kita tidak mendapat sebarang khabar mengenai apa jenis Rancangan Tindakan Kebangsaan Teknologi Maklumat yang telah digubal.

Kerajaan harus melancarkan satu “Rancangan Masyarakat Maklumat Malaysia 2000” yang koheren dan bersepadu selewat-lewatnya pada April tahun depan dengan membentangkan kenyataan dasar Teknologi Maklumat tahunan kepada Parlimen, menggariskan rancangan tindakan dasar Teknologi Maklumat untuk tahun yang akan datang, serta membentangkan laporan mengenai hasil rancangan tindakan dasar Teknologi Maklumat untuk tahun yang berlalu.

Rancangan Malaysia Masyarakat Teknologi Maklumat ini harus melibatkan kerajaan-kerajaan kebangsaan, negeri dan tempatan serta semua sektor yang terlibat dalam kerja-kerja penyediaan rakyat jelata ke arah Masyarakat Teknologi Maklumat - pekerja upah, majikan, usahawan individu, kakitangan awam, pemuda yang sedang belajar, warga tua - dan paling penting sekali - individu.

Sehubungan ini, kesatuan pekerja harus memainkan peranan yang penting dalam memupuk kefahaman tentang Masyarakat Teknologi Maklumat ini dan membekalkan peluang untuk pendidikan dan peningkatan diri para pekerja - inilah sebab mengapa ketidakhadiran perwakilan kesatuan pekerja di National Information Technologu Council harus diperbetulkan.

Parlimen harus menubuhkan satu Jawatankuasa Khas mengenai Teknologi Maklumat yang mengadakan pembicaraan awam, mengkaji semula laporan-laporan tahunan Teknologi Maklumat Kerajaan dan kemukakan cadangan-cadangannya ke Parlimen untuk dibahaskan.

Jawatankuasa khas mengenai Teknologi Maklumat ini harus mengambil alih tanggungjawab homepage Parlimen, yang sepatutnya menjadi model website interaktif di satu kerajaan elektronik di mana orang awam akan mendapat maklumat, memberikan pandangan serta mendapat akses perkhimatan.