BIDANG TUGAS GURU DALAM
PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Tugas-tugas yang dijalankan adalah berdasarkan
kepada 10 jenis khidmat utama program bimbingan yang dijalankan di sekolah.
Penerangan tugas yang disenaraikan seperti yang berikut ini bukan mengikut
keutamaan. Keutamaan tugas bergantung kepada keadaan dan keperluan
pelajar, sekolah dan komuniti di mana program bimbingan itu diadakan.
KETUA
BIMBINGAN DAN KAUNSELING
(Guru yang terlatih dalam bidang bimbingan dan kaunseling secara
khusus. Dalam konteks ini bermaksud guru-guru yang sudah mendapat latihan
secara khusus dalam bidang bimbingan dan kaunseling dari Maktab Perguruan
Ilmu Khas, Institut Perguruan Sultan Idris, Institut Perguruan Darul Aman,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, dan
universiti-universiti di luar dan di dalam negeri yang lain).
Tugas Ketua
Bimbingan dan Kaunseling
1. Inventori Individu Dan Rekod
- Mengendalikan fail bimbingan untuk setiap orang pelajar
- Bertanggung jawab mengumpul dan merekodkan butiran-butiran berkait
dengan penilaian dan pentafsiran minat pelajar.
- Mengawas perangkaan dan corak kehadiran pelajar yang dirujuk untuk
tujuan kaunseling.
- Menyelaras, menjaga dan mengemaskini rekod pelajar.
- Memberi maklumat objektif mengenai pencapaian, kemajuan dan prestasi
pembelajaran pelajar bermasalah untuk tujuan pemulihan.
- Menjalankan dan memberi pentafsiran atau kaji selidik yang difikirkan
perlu atau berguna untuk membantu perkembangan diri pelajar.
2. Perkhidmatan Pengumpulan dan Memberi
Maklumat.
- Mengumpul, menyedia dan menyebar maklumat kerjaya, vokasional,
latihan dan pelajaran kepada pelajar, misalnya, melalui risalah-risalah,
buku-buku kecil, poster, hari kerjaya, pameran kerjaya dan buletin
sekolah.
- Menambah dan mengemaskinikan fail-fail maklumat kerjaya, peluang
latihan, pelajaran, sosial dan peribadi.
- Memberi maklumat dan penerangan tentang pentingnya mengisi borang
permohonan dengan tepat.
- Mengelola lawatan terancang kerjaya atau pelajaran ke kilang
perusahaan atau tempat pekerjaan lain.
- Memberi maklumat mengenai kerjaya dan lain-lain pertolongan yang
diperlukan oleh guru-guru dan anggota masyarakat.
- Menyebar maklumat mengenai pendidikan pencegahan dadah, AIDS, bahaya
merokok dan inhalen.
3. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
Kelompok
- Mengelola dan melaksanakan aktiviti bimbingan dan kaunseling
kelompok dan tunjuk ajar (instructional) yang boleh menggalakkan
perkembangan konsep kendiri, vokasional, kognitif-afektif, psikososial,
fizikal-seksual dan moral agama pelajar.
- Mengadakan bimbingan dan kaunseling kelompok atau bimbingan dan
kaunseling tunjuk ajar mengenai sesuatu topik yang sesuai dengan sesuatu
kelompok tertentu, misalnya masalah disiplin, masalah peribadi, masalah
sosial dan lain-lain topik seperti yang dicadangkan oleh pelajar-pelajar
dari semasa ke semasa.
- Membantu pelajar memilih mata pelajaran elektif untuk peperiksaan, SPM,
SPMV dan STPM.
- Menubuh dan melatih pasukan Pembimbing Rakan Sebaya dan menyelia
aktiviti mereka.
4. Perkhidmatan Kaunseling
- Kaunseling dengan pelajar secara individu atau kelompok
mengenai:
- Pencapaian akademik yang tidak memuaskan.
- Rujukan yang dilakukan oleh guru-guru dan ibu bapa atau orang
lain.
- Kerjaya, pelajaran dan peribadi.
- Tidak turut serta dalam aktiviti ko-kurikulum.
- Masalah disiplin seperti ponteng, budaya peleseran, mrokok,
bertumbuk dan menggunakan dadah dan bahan inhalen.
- Kaunseling keluarga. Ini boleh diadakan jika perlu dan jika guru
kaunseling boleh mengendalikannya.
- Kaunseling tunjuk ajar -- Guru bimbingan dan kaunseling mengadakan
kelas untuk mengajar perkara-perkara berkait dengan penilaian kendiri,
penjelasan nilai, kemahiran-kemahiran berkomunikasi, menghadapi masalah,
membuat keputusan dan menghindar diri dari tercebur dalam penggunaan
dadah dan inhalen.
5. Perkhidmatan Penempatan
- Membantu pelajar memilih aktiviti ko-kurikulum berdasarkan
kebolehan, minat kerjaya pilihan dan kemampuan.
- Penempatan pekerjaan:
- Menjadi penyelaras menempatkan pelajar mengikuti program
pengalaman bekerja (jika program seumpama ini diadakan).
- Membantu Bahagian Pendidikan Vokasional dan Teknik dalam
mengadakan sistem memperoleh data atau butiran yang perlu bagi
laporan susulan mengenai pelajar lepasan sekolah vokasional dan
teknik (khusus untuk sekolah menengah vokasional dan teknik).
- Membantu menempatkan pelajar sekolah menengah untuk memasuki
institusi-institusi pekerjaan.
6. Perkhidmatan Mencegah Penggunaan Dadah dan
Inhalen
- Mengadakan bimbingan dan kaunseling individu atau kelompok
atau kaunseling tunjuk ajar dalam menanam dan memupuk sikap dan memberi
nilai membenci dadah dan inhalen.
- Memberi bantuan atau pertolongan kepada pelajar untuk mendapatkan
bantuan pemulihan dan rawatan.
- Membuat penilaian dan memberi maklum balas atau laporan kepada
kementerian atau jabatan Pendidikan Negeri tentang program pencegahan
dadah diperingkat sekolah.
7. Perkhidmatan Konsultasi dan Rujukan
- Membantu bekas pelajar sekolah berkenaan dalam hal berkait
dengan soal peribadi, kerjaya, pelajaran dan sebagainya apabila diminta.
- Membantu pihak pentadbir dan staf sekolah dalam memahami dengan
mendalam mengenai program bimbingan di sekolah.
- Membantu ibu bapa atau penjaga dalam hal berkait dengan kebajikan
pelajar.
- Berunding dan berbincang dengan staf sekolah tentang cara-cara untuk
meningkatkan prestasi perkhidmatan bimbingan di sekolah.
- Merancang bersama dengan guru-guru tentang cara yang paling berkesan
sekali untuk mengawasi kemajuan pelajar.
- Mengadakan prosedur-prosedur yang tertentu dalam merujuk kes-kes
seperti penagihan dadah kepada agensi-agensi atau pakar-pakar seperti
doktor, pakar kanak-kanak, pakar jiwa, pegawai kebajikan dan sebagainya.
8. Perkhidmatan Penyelarasan Resos
- Penyelaras bagi aktiviti-aktiviti berhubung dengan kebajikan
pelajar di antara sekolah dengan agensi lain.
- Menjadi punca rujukan dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum.
- Penyelaras bagi penglibatan majikan, agensi kebajikan dan orang-orang
kenamaan tempatan dalam program bimbingan di sekolah.
- Merancang dan menjadi penyelaras dalam usaha untuk memperkenalkan lagi
aktiviti-aktiviti bimbingan kepada agensi-agensi dan komuniti setempat.
9. Perkhidmatan Konferens Dengan Ibu Bapa
- Mengadakan hubungan dengan penjaga pelajar untuk bersama
mengawasi kemajuan pelajar terutamanya dalam pelajaran.
- Mengubungi ibu bapa atau penjaga apabila kemajuan pelajar tidak
memuaskan.
- Menjadi penyelaras program orientasi untuk pelajar dan ibu bapa
pelajar baru.
- Bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga dalam mewujudkan disiplin di
kalangan pelajar.
- Mengadakan kaunseling keluarga jika dikenal pasti bahawa masalah yang
dihadapi pelajar berpunca daripada keluarga.
10. Perkhidmatan Penilaian
- Membuat penilaian aktiviti bimbingan di sekolah dengan
tujuan untuk membaikinya seperti Pembimbing Rakan Sebaya, Pembimbing
Rakan Dinamik, Kem Jaya Diri, Skim Lencana Anti Dadah dan motivasi
pelajar.
- Menilai modul atau model bimbingan sebelum dilaksanakan di peringkat
sekolah.
11. Sistem Fail, Rekod dan Dokumentasi
- Sebagai urusetia kepada jawatankuasa penyelaras aktiviti
bimbingan dan kaunseling, seorang guru bimbingan dan kaunseling juga
hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran di bilik bimbingan dan
kaunseling, mengadakan sistem fail, menyimpan rekod, perhubungan awam,
surat menyurat, pengelolaan unit bimbingan, pengendalian bahan bercetak,
penyediaan laporan aktiviti dan tugas lain yang diarah oleh jawatankuasa
Penyelaras Aktiviti, Pengetua, Pegawai Pendidikan Daerah, Negeri dan
Kementerian.
GURU
PENOLONG BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Dalam konteks ini bermaksud guru-guru yang membantu secara khusus
perlaksanaan program atau aktiviti bimbingan di sekolah. Mereka ini sebagai
staf yang menjadi pembantu kepada guru kanan bimbingan dan kaunseling.
Tugas Guru Penolong Bimbingan dan
Kaunseling
- Membantu dalam mengendalikan inventori, individu dan rekod.
- Membantu dalam perkhidmatan memberi maklumat.
- Membantu dalam perkhidmatan bimbingan kelompok.
- Membantu dalam perkhidmatan kaunseling.
- Membantu dalam perkhidmatan penempatan.
- Membantu dalam perkhidmatan mencegah penggunaan dadah dan inhalen.
- Membantu dalam perkhidmatan konsultasi dan rujukan.
- Membantu dalam perkhidmatan penyelarasan resos.
- Membantu dalam perkhidmatan penilaian.
- Membuat pesanan dan membuat stok bahan-bahan bimbingan.
- Membantu menghasilkan dan mengurus bahan cetak dan bukan cetak
bimbingan seperti poster, risalah, dokumen, berita, slaid dan pita
video.
GURU-GURU
LAIN (MATA PELAJARAN & KELAS)
Tugas Guru-guru lain dalam perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling :
- Membantu mengenal pasti pelajar-pelajar berisiko
untuk intervensi kaunseling.
- Membantu mengumpul data mengenai profil pelajar.
- Membantu memberi bimbingan 'tunjuk ajar'.
- Membantu memberi maklumat kerjaya, pendidikan
pencegahan dadah, latihan dan maklumat semasa.
- Membantu melaksanakan program dan aktiviti
pelajar.
- Membantu pelajar bermasalah melalui konsultasi
dengan guru bimbingan dan kaunseling.
PERANAN
PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (PRS)
Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) boleh membantu untuk
meningkatkan lagi keberkesanan program bimbingan di sekolah. Pembimbing
Rakan Sebaya merupakan satu tenaga positif untuk membolehkan program
bimbingan mencakupi kelompok pelajar-pelajar yang mungkin sukar didampingi
oleh guru bimbingan dan kaunseling atau guru-guru lain. PRS ini merupakan
khidmat sokongan kepada Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
Golongan remaja boleh berkomunikasi dengan rakan
sebaya mengenai masalah atau hal yang mengganggu mereka, dengan lebih mudah
dan lebih berkesan lagi. Di tiap-tiap sekolah memang wujud sekumpulan kecil
pelajar yang tidak boleh menerima dan membina perhubungan dengan orang
dewasa dan pihak berkuasa sekolah. Pengaruh rakan sebaya dapat mempengaruhi
golongan remaja ini. Oleh itu, dengan latihan dan asuhan yang sesuai,
Pembimbing Rakan Sebaya hendaklah diwujudkan di sekolah. Nama-nama lain yang
mempunyai sama konsep dengan PRS ialah Kaunselor Sebaya, Tutor Sebaya,
Mentor Sebaya, Buddy, Kakak/Abang Angkat atau Kelompok Sebaya Sokongan.
Tugas Pembimbing Rakan
Sebaya (PRS)
- Merapati rakan sebaya dan mengenal pasti mereka
yang bermasalah dan merujuk mereka kepada guru bimbingan dan kaunseling.
- Menjadi pendengar yang peka kepada curahan
perasaan rakan sebaya dan memberi sokongan emosi dalam keadaan krisis.
- Memberi penjelasan mengenai bahaya penggunaan
dadah, arak, merokok, hubungan jantina, dan pencabulan kehormatan.
Mrujuk, jika perlu, kepada guru bimbingan dan kaunseling dengan
persetujuan mereka.
- Membantu pelajar yang menghadapi masalah
akademik melalui sistem mentor atau tutor sebaya.
- Membantu guru bimbingan dan kaunseling dalam
aktiviti bimbingan dan kaunseling kelompok.
- Membantu dalam memberi latihan kemahiran seperti
kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan dan kemahiran kaunseling
kepada rakan sebaya.
- Membantu dalam melatih kumpulan sebaya untuk
persediaan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya yang baru.
- Membantu dalam aktiviti orientasi pelajar baru,
mengelolakan unit bimbingan sekolah, perpustakaan bimbingan, papan
kenyataan bimbingan dan aktiviti lain yang ada kaitan dengan bimbingan
kerjaya, sosial dan isu-isu remaja.
- Menjadi penggerak kepada ahli-ahli unit untuk
melaksanakan aktiviti sekolah.
TUGAS
DAN TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR
Peringkat : Bimbingan dan Kaunseling Sekolah
Menengah/Rendah
Jawatan : Pegawai Bimbingan dan Kaunseling
Sekolah (DG3/DG6)
- Menyediakan rancangan tahunan program dan
aktiviti perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
- Mengenalpasti keperluan perkhidmatan Bimbingan
dan Kaunseling sekolah melalui kajian keperluan, soal selidik, temu bual
dan perbincangan dengan pelajar, guru, pentadbir, kakitangan sekolah,
ibu bapa dan bekas pelajar.
- Merancang, mengawalselia dan mengemaskini rekod
dan inventori pelajar.
- Mengumpul, menyedia, menyebar maklumat Bimbingan
dan Kaunseling kepada semua pelajar melalui sebarang media yang sesuai.
- Mengelola dan melaksanakan aktiviti Bimbingan
dan Kaunseling kelompok dan tunjuk ajar (instructional) yang merangsang
perkembangan pelajar secara optimum.
- Merancang, melaksana dan mengawalselia
perkhidmatan kaunseling individu secara profesional dan beretika.
- Merancang, melaksana, mengawalselia aktiviti
kemahiran belajar untuk semua pelajar.
- Merancang, melaksana, mengawalselia serta
menilai program dan aktiviti pemilihan matapelajaran elektif untuk
peperiksaan seperti PMR, SPM, SPVM dan STPM.
- Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai
program dan aktiviti pendidikan pencegahan dadah, inhalan, rokok dan
alkohol.
- Merancang, menyediakan dan mendedahkan pelajar
kepada peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dalam
dan luar negara.
- Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai
program dan aktiviti perkhidmatan konsultasi dan rujukan, berhubung
Bimbingan dan Kaunseling, kerjaya dan Pendidikan Pencegahan Dadah.
- Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai
program dan aktiviti konferens dengan ibu bapa, guru, kakitangan bukan
guru, dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam
proses pendidikan dan perkembangan pelajar.
- Membuat penilaian aktiviti, modul, model,
instrumen, pendekatan dan sebagainya secara menyeluruh bagi meningkatkan
mutu dan profesionalisme perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
- Merancang, menyelaras dan menilai sumber dan
bahan resos perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
- Menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Penyelaras
Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
- Menjadi penggerak utama dalam program latihan
dalaman bagi menyebarkan kefahaman dan peningkatan profesionalisme
perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
- Memberi khidmat kaunseling krisis kepada
pelajar, guru, kakitangan dan siapa sahaja yang memerlukannya.
- Menjadi personel perhubungan/seranta sekolah
dengan agensi-agensi luar yang berkaitan.
- Menjadi ahli jawatankuasa ex-oficio dalam
jawatankuasa kurikulum sekolah.
- Menjadi ahli jawatankuasa dalam Majlis Perancang
Sekolah.
- Menjadi penyelaras dalam program mentor-mentee
sekolah
- Menjadi penyelaras dalam program-program
pengembangan pelajar seperti kolokium, motivasi, kem jaya diri, kursus
ketatanegaraan dan sebagainya.
|