Anjing

© Uthaya Sankar SB 1998

Sejak awal lagi dia sudah mensyaratkan bahawa di rumahnya tidak boleh ada anjing. Anak boleh, tetapi anjing tidak boleh. Dan isterinya bersetuju tanpa menunjukkan sebarang tanda bantahan.

Namun, selepas mempunyai lima anak, syarat itu terpaksa diabaikan. Atau sekurang-kurangnya dirombak dan dipinda. Seperti kata isterinya: “Lima anak boleh dijaga; masakan seekor anjing tak boleh.”

Anak-anaknyalah yang mendesak dan berdegil mahu memelihara anjing. Anak bongsu yang berumur tujuh tahun terus sahaja membawa seekor anak anjing jalanan yang ditemuinya di tepi longkang.

Dia memang tidak sukakan anjing. Isterinya sedar benar akan hal itu. Sebab itulah sejak awal perkahwinan mereka, si isteri tidak pernah melahirkan keinginan untuk memelihara anjing mahu pun kucing. Cuma beberapa ekor ayam. Itupun untuk disembelih dan dimakan bila perlu.

Si suami @ ayah memang tegas dan garang pula. Jika dia sudah mengambil suatu keputusan, itulah keputusan muktamad yang wajib diterima oleh seluruh keluarga. Malah anak sulung yang berumur lapan belas tahun juga masih akur sepenuhnya pada segala arahan yang dikeluarkan oleh si ayah.

Ini berbeza pula dengan si anak bongsu. Dia semacam sedar bahawa di sebalik kebengisan wajah ayahnya, tetap ada kelembutan. Kalau tidak, masakan dia berani bermanja dengan si ayah.

Memang si ibu serta anak-anak lain hampir tidak percaya bahawa si anak bongsu berani bermanja dengan si ayah yang terkenal bengis itu. Tapi anehnya si ayah tidak pula memarahi dan mengusir anak bongsu yang datang bermanja.

Cuma si ayah memastikan bahawa tindakannya bermanja dengan si anak bongsu tidak diperhatikan oleh anak-anak lain, serta isterinya sendiri. Dia bimbang kalau-kalau anak-anak yang lain akan turut mahu dimanjai. Itu sekaligus akan membuatkan mereka tidak lagi takut padanya.

Apabila si anak bongsu membawa pulang seekor anak anjing jalanan, si ibu terus bimbang. Dia segera teringatkan syarat yang dikenakan si suami di awal perkahwinan mereka. Namun, dia dapat merasakan bahawa mungkin suaminya akan berlembut sedikit memandangkan yang membawa anak anjing adalah si anak bongsu.

“Ah! Lagi pun, waktu mula-mula berkahwin dulu, dia berkata dua anak sudah memadai. Bukankah dia juga sudah melanggar arahannya sendiri?” fikirnya sambil membelai bulu anak anjing berkenaan.

Sebagai lelaki yang tidak pernah mahu mengaku kalah, lelaki berkenaan pada mulanya langsung tidak membenarkan anak anjing itu dipelihara.

“Tidak mungkin di dalam rumah ini!” bentaknya.

“Kalau di luar rumah, macam mana ayah?” tanya si anak bongsu dengan suara ikhlas.

Kecut juga perut anak-anak yang empat lagi mendengar adik bongsu mereka berkata begitu. Pada fikiran mereka, dia pasti ditangani oleh ayah mereka.

Namun ternyata tanggapan mereka meleset terlalu jauh. Si ayah hanya diam sambil mengetap bibir. Sejurus selepas itu, dia bingkas keluar.

“Buatlah sesuka hati! Semua orang sudah tidak mendengar kata-kata saya lagi. Semuanya sudah bersekolah dan menganggap diri mereka sudah pandai dan tak perlu mendengar cakap si pemandu lori ini!”

Sambil marah-marah, dia meninggalkan rumah. Si ibu dan anak-anak terus terdiam seketika sambil berpandangan. Kemudian apabila anak anjing yang sedang tidur tiba-tiba terjaga dan mula mundar-mandir di ruang tamu, si ibu segera mengarahkan si anak bongsu membawanya keluar kerana ia mungkin mahu buang air.

Sejak hari itulah rumah si lelaki garang itu mula beranjing. Lelaki berkenaan terpaksa menerima sahaja kehadiran anak anjing itu. Namun, anak anjing tersebut nampaknya sedar bahawa kehadirannya tidak disenangi oleh ketua rumah. Apatah lagi apabila ia sering sahaja menjadi mangsa tendangan, pukulan, cemuhan dan makian ketua rumah berkenaan.

        Namun, di tengah-tengah segala kejadian itu, si isteri @ ibu terasa puas. Dia sedar bahawa suaminya semakin lemah. Lelaki yang suatu masa dahulu pernah menguasai sepenuhnya hidup segala isi rumah berkenaan kini ternyata sudah tidak berkuasa mutlak.

 

Petikan cerpen "Anjing" yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, 26 April 1998

Baca komen/ulasan cerpen "Anjing" di SINI