(Ulasan Cerpen "Cat" dan "Anjing")
“A dog doesn’t want much and is happy to get it. A cat doesn’t know what it wants and wants more of it.” – Reader’s Digest, October 1998
Vanakam.
Terima kasih kepada sesiapa yang telah sudi mengemukakan reaksi terhadap karya-karya saya selama ini.
Tidak lama dulu saya menerima satu salinan “ulasan” bagi cerpen “Cat” (Mingguan Malaysia, 21 Disember 1997) dan “Anjing” (Mingguan Malaysia, 26 April 1998). Ia ditulis oleh seorang rakan karib saya untuk dikirim kepada kawannya yang turut menerima salinan manuskrip cerpen-cerpen saya melalui e-mel. Saya telah menerima satu salinan “ulasan” tersebut melalui e-mel.
Berikut saya perturunkan sepenuhnya “ulasan” tersebut; dengan izin daripada ‘pengulas’ terbabit yang mahu dikenali sebagai ‘Chris”.
* * * * *
Saya dapati cerpen “Cat” menggunakan sudut pencerita orang pertama jamak (“Kami”). Yang bercerita adalah salah seorang daripada adik-beradik dalam keluarga itu; tetapi tidak disebutkan individu yang mana satu. Malah tidak diketahui jantinanya. Pencerita tidak mahu identiti dirinya menonjol. Sebaliknya dia mahu bercerita mewakili seluruh adik-beradiknya. Demikian pemahaman saya.
Malah, penulis tidak mahu bersikap bias dengan menyebut jantina watak pencerita; apatah lagi apabila cerpen ini menampilkan sifat gender dalam masyarakat. Saya kira, tidak penting untuk mengetahui jantina watak yang bercerita. Cukuplah kita tahu bahawa watak itu bercakap mewakili adik-beradiknya.
Sifat-sifat jantina yang dikemukakan dalam cerpen “Cat” ternyata bukan rekaan pengarang semata-mata. Memang perbezaan sifat secara tradisional boleh ditemui dalam buku-buku psikologi serta buku-buku kajian lain. Malah dalam cerpen itu sendiri disebutkan nama pengkaji yang benar-benar wujud seperti dua ahli feminisme barat bernama Jane Bardwick dan Elizabeth Douvan, serta seorang ahli neuropsikologi bernama Dr James Prescott.
Watak ayah dan ibu cuba menerapkan sifat kewanitaan dan kelelakian kepada “Kami” (adik-beradik dalam keluarga itu) tetapi kucing peliharaan mereka pula yang mula memiliki sifat kelelakian seperti yang dikemukakan oleh ayah dan ibu. Misalnya perhatikan bahawa “Cat pun berpidato dalam bahasa Itali, Jerman, Perancis, Jepun dan Hindi. Cat bercakap tentang konsep Kinder, Kuche, Kirche iaitu idea yang dipraktikkan di Jerman semasa pemerintahan Hitler.”
Seingat saya, Hitler mengemukakan konsep itu dengan mengatakan bahawa tempat wanita – seingat saya – hanya di dapur, gereja dan katil.
Cat yang dimaksudkan membawa dua makna; iaitu ‘paint’ dan juga kucing. Ternyata Cat yang berpidato, dimasukkan dalam balang serta menjadi ketua jabatan adalah kucing. Pembacaan kita menjadi agak bercelaru kerana pengarang mengemukakan “cat” dengan dua makna: iaitu kucing dan juga paint.
Misalnya: “Lalu kami tuangkan cat itu ke dalam balang kaca berisi Cat. Kami biarkan Cat berendam dalam cat selama hampir sejam. Kemudian kami keluarkan. Tentulah Cat sudah berubah warna mengikut warna cat yang digunakan.”
Kita sebagai pembaca terpaksa sangat teliti untuk mengetahui di mana “cat” merujuk kepada kucing dan di mana ia merujuk kepada ‘paint’. Tetapi kita tak boleh pula marah kepada pengarang dan bertanya kenapa dia tak beri nama lain kepada kucing dalam cerpen ini.
Kalau kita tanya, pengarang mungkin akan menjawab begini: “Orang lain tidak boleh mempertikaikan mengapa kucing itu kami namakan Cat. Kalau seekor kucing kami namakan Dog atau Snake, orang dibolehkan mempersoalkan rasional di sebalik pemilihan nama seumpama itu. Tetapi, bukankah ada orang menamakan anjingnya Tiger? Lalu, apa salahnya seekor kucing dinamakan Cat?”
Uthaya Sankar SB memberitahu saya bahawa cerpen ini pernah dibincangkan oleh mahasiswa sarjana di sebuah universiti tempatan tidak lama dahulu. Salah seorang telah mengemukakan hujahan bahawa “Kami” sebenarnya melambangkan “masyarakat India di Malaysia”. Watak ayah/suami pula adalah lambang “Dr Mahathir” manakala “Cat” pula lambang “Samy Vellu”! “Rumah” itu pula adalah lambang “parti MIC” yang sebelum ini menjadi tempat “kami” berlindung. Dan “rumah” itulah yang dibakar oleh “masyarakat India di Malaysia”!
Menarik juga pendapat itu. Mungkin boleh kita baca semula cerpen ini dengan berpegang kepada andaian sedemikian. Namun, tidak ada keputusan yang mutlak dalam cerpen ini. Pelbagai huraian boleh dibuat.
Malah, kita boleh juga membaca cerpen ini dengan menganggap “Cat” hanyalah seekor kucing dan “Kami” hanya manusia biasa. Atau boleh dikaji makna tersirat. Jangan lupa bahawa cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB selalunya membawa makna berlapis; terpulang kepada pembaca untuk membuat tafsiran. Saya tahu benar ‘gaya’ penulisan member kita tu.
Dan anda perasan tak bahawa perenggan pertama berbunyi begini:
“Ayah tiba-tiba pulang pada suatu malam dan mengejutkan kami daripada tidur. Kami pun bergegas keluar rumah. Kemudian kami mengeluarkan mancis dan membakar rumah. Kami sekeluarga berdiri di sekeliling melihat api memusnahkan rumah kami sampai hangus.”
Manakala perenggan terakhir pula begini:
“Ayah tiba-tiba pulang pada suatu malam dan mengejutkan kami daripada tidur. Kami pun bergegas keluar rumah. Kemudian kami mengeluarkan mancis dan membakar rumah. Kami sekeluarga berdiri di sekeliling melihat api membakar Cat sampai hangus.”
Sedar tak bahawa ada banyak persamaan antara kedua-duanya? Lalu saya telah mula berfikir: mungkin cerita tentang kucing itu merupakan “flashback” (imbas kembali). Maksudnya, ayah telah membakar rumah berserta kucing mereka. Kemudian mereka berjalan ke sana-sini tanpa ada rumah. Pada masa itulah salah seorang daripada adik-beradik itu mengimbas kembali apa yang telah berlaku di masa lalu. Dia bercerita tentang kucing itu sejak mula sehinggalah ia akhirnya dibakar bersama rumah oleh ayah.
Namun, ini hanyalah pendapat saya setelah membaca cerpen “Cat”. Mungkin saya salah. Dan saya tak akan kata “penulis lebih tahu” sebab “Aku percaya bahawa sebagai seorang pembaca, aku berhak menentukan apa yang aku mahu dalam sesebuah karya. Penulis tidak semestinya betul.” [dikutip daripada cerpen “Mengubah Teks” dalam kumpulan cerpen Siru Kambam.]
* * * * *
Sementara itu, cerpen “Anjing” pula saya dapati menggunakan teknik yang lebih konvensional berbanding cerpen “Cat”. Namun, “Anjing” masih juga membawa tema gender: misalnya sifat seorang bapa yang perlu begini-begini-begini. Tetapi didapati bahawa si bapa @ suami sebenarnya masih ada perasaan lembut yang tidak ditunjukkannya. Mungkin kerana dia fikir, sebagai seorang lelaki @ bapa, dia tidak boleh menunjukkan kasih-sayang.
Bagaimanapun keadaan berubah dengan kehadiran anjing. Anjing itu, pada pendapat saya, menjadi medium untuk menunjukkan bahawa di sebalik sifat tegas dan kelelakian, sebenarnya terdapat sifat lemah-lembut (kewanitaan??) dalam diri setiap lelaki.
Dengan itu, bagi saya, walaupun judul cerpen ini adalah “Anjing” dan ada watak anjing dalam cerpen ini, tetapi anjing hanyalah semacam medium untuk pengarang mengemukakan idea dan hujahannya berhubung isu gender. Bagaimanapun, ini hanyalah pendapat saya setelah membaca cerpen. Lupakan bahawa saya amat mengenali Uthaya Sankar SB secara peribadi.
Sebagaimana yang anda sendiri katakan, cerpen ini menampilkan ‘kisah’ yang berlaku dalam sebuah keluarga (ibu, bapa, anak-anak). Digunakan juga realiti sifat anjing. Misalnya ia setia serta mampu memahami perasaan tuannya. Ini adalah fakta sebenar dan bukan rekaan semata-mata.
Mengenai bahagian ending yang mungkin kelihatan agak tergantung, saya rasa sebenarnya ending adalah jelas. Begini pemahaman saya: … pada sebelah pagi, setelah membawa anjingnya berjalan-jalan, si lelaki datang semula ke rumah dan mengikat rantai anjing pada bahagian belakang lori.
Setelah mandi dan bersarapan, dia memandu lori. Tetapi dia terlupa bahawa anjing diikat di belakang lori! Dia fikir dia ikat di pagar seperti selalu. Jadi, apabila di bahagian akhir cerpen disebutkan bahawa lelaki itu meraung sambil merentap-rentap rantai yang ada cebisan daging, apa yang secara spontan dapat saya bayangkan adalah:
“Semasa lelaki itu memandu lori, tentu anjing itu terpaksa berlari di belakang lori kerana rantai terikat pada lori. Tapi berapa jauh dan berapa laju anjing itu boleh berlari?? Tentu akhirnya ia letih. Tapi lori tetap bergerak. Dan cuba bayangkan keadaan anjing itu! Tentu diheret oleh lori. Dan akhirnya mati dan badannya berkecai!”
Mengerikan, bukan? Dan betapa kasihan! Itulah perasan yang timbul di hati saya pada setiap kali saya membaca bahagian akhir cerpen “Anjing”.
Namun, bagi saya, ‘anjing’ tetap hanya simbol atau pengikat kepada kisah keluarga (bapa, ibu dan anak-anak) dan gender (perbezaan sifat lelaki dan wanita).
Ada beberapa rakan mengatakan bahawa ending cerita itu tidak jelas. Tidak disebutkan lebih awal bahawa anjing itu diikat di bahagian belakang lori. Bagi saya, kalau sejak awal lagi pengarang sudah mengatakan bahawa anjing diikat di belakang lori, timbul unsur ironi; iaitu pembaca tahu anjing terpaksa berlari di belakang lori tetapi watak bapa tidak tahu.
Sebaliknya apabila pembaca dan watak bapa sama-sama tidak tahu, bagi saya, kesan akhir menjadi lebih menarik. Pembaca dapat sama-sama merasai perasaan si bapa pada saat dia pergi ke belakang lori dan melihat rantai yang masih ada cebisan daging! At that very moment we as readers will automatically recall how terrible it must have been for that poor dog to run all the way, get tired, die and its body go into pieces! Faham maksud saya? Namun ini hanya pendapat saya setelah membaca cerpen itu. Lain pembaca, lain pula pendapat mereka. Setiap pembaca bebas membuat kesimpulan dan bebas memberi reaksi …
Cukuplah setakat ini ulasan saya setelah membaca cerpen “Cat” dan “Anjing”. Ini adalah pendapat peribadi saya sebagai pembaca. Mungkin di lain kali, kita boleh berkongsi pendapat mengenai cerpen-cerpen lain pula.
Sementara itu, anda bolehlah menyebarkan “ulasan” ini kepada rakan-rakan yang anda katakan merungut tidak memahami cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB. Saya akan hantar satu salinan ulasan ini kepadanya [Uthaya Sankar SB] untuk dia sebarkan kepada rakan-rakannya juga!
* * * * *
Demikianlah adanya. Terima kasih kerana sudi membaca. Semoga “ulasan” tadi sekurang-kurangnya membantu anda lebih memahami cerpen “Cat” dan “Anjing”. Bagaimanapun, sentiasalah ingat bahawa setiap pembaca berhak membuat andaian masing-masing. Kemukakanlah reaksi anda; jika ada. … Untuk mengirim komen anda melalui e-mel, cuma gunakan tetikus (mouse) dan klik (click) di sini: mailto:uthayasb@tm.net.my sebelum menaip komentar.
Sekian. Nandri.