Hikayat
Anoman
Hanuman
versi Melayu-Islam
“Teks berubah-ubah,
karya adalah sama.”
- ahli retorik
Maka dibuatlah orang cerita kononnya pernah
hidup seekor lotong di tengah hutan. Ada pun lotong itu bukan lotong biasa
melainkan lotong sakti jua. Bak kata si empunya cerita, ditikam tak tembus,
dipukul tak kena.
Dibawa cerita oleh orang yang arif, lotong itu
bukan sebarang lotong. Lotong jelmaan Dewata adanya. Dari mana asal lotong, dari
Dewata Mulia Raya. Dari mana asal Dewata, dari sebelum asal bumi.
Maka ada pun menurut si empunya cerita yang
telah mendengarnya daripada moyongnya lalu diperturunkanlah dari moyang kepada
datuk, dari datuk kepada bapa, dari bapa kepada anak, dari anak kepada cucu,
dari cucu kepada cicit; lotong itu lahir daripada keturunan dewa angin.
Ada sebuah negeri di tengah hutan bernama
Kishikanda. Penduduk negeri itu terdiri daripada kaum lotong. Mereka menggelar
diri mereka kaum Vanara. Kaum Vanara hidup aman damai sambil saling bantu
membantu antara satu sama lain. Yang tua menunjuk ajar yang muda, yang muda
membimbing yang kecil, yang kecil menurut apa yang benar.
Raja negeri Kishikanda bernama Surgewa. Dia
seekor lotong yng tua dan banyak pengalaman. Asal Surgewa beragama Hindu tapi
dengan kudrat Illahi memeluk agama Islam jua. Maka mendengar khabar raja mereka
memeluk Islam, maka semua penduduk di bawah kuasa Surgewa memeluk Islam jua.
Maka bertambah kuat iman dan semangat kaum Vanara di bawah pemerintahan Surgewa
yang adil, saksama dan memperjuangkan Islam.
Ada pun, di negeri Kishikanda itulah hidup
seekor lotong betina bernama Anjana. Cantiknya tidak terperi. Kau dipandang
bulan, rasa cemburu jua bulan itu. Kalau dipandang matahari, rasa berahi jua
matahari itu.
Demikianlah pada suatu hari, Dewa Angin sedang
berburu dalam hutan. Setelah lama berburu, Dewa Angin duduk berehat di bawah
pokok. Waktu itu ditakdirkan dia terpandang Anjana yang sedang mandi di kolam.
Rasa berahi Dewa Angin tidak tertahan lagi.
Maka pergilah Dewa Angin mendapatkan Anjana.
Maka berkasihlah mereka berdua-duaan. Lalu selepas puas keduanya, pulanglah Dewa
Angin ke kayangan.
Sembilan bulan kemudian, Anjana melahirkan
anak sulung. Maka turunlah Dewa Angin untuk menamakan anak lotong itu.
“Dewata mengarahkan anak ini dinamakan
Anoman. Ia jelmaan Dewata sendiri. Anoman bakal menanggung tugas Dewata
menghapuskan kejahatan,” kata Dewa Angin.
Lotong biasanya berwarna perang tetapi anak
lotong kelahiran Anjana dan Dewa Angin putih warnanya. Matanya hijau.
“Mengapa anak kita berwarna putih?” tanya
Anjana kepada Dewa Angin.
“Anoman bukan lotong biasa. Bulunya yang
putih melambangkan hatinya yang bersih,” Dewa Angin menjelaskan.
“Bagaimana pula dengan matanya yang hijau?”
tanya Anjana lagi.
“Mata yang hijau ini bermakna bahawa Anoman
memandang semua orang dengan penuh kasih. Anoman akan menganggap semua orang
sebagai adik-beradiknya,” jawab Dewa Angin lagi.
Anjana tersenyum gembira. Dipeluknya Anoman
dengan mesra dan penuh kasih.
“Bukan itu sahaja,” Dewa Angin berkata
lagi. “Anoman juga mempunyai kuasa untuk menjadikan badannya sangat besar. Dia
juga boleh menjadi kecil seperti kuman. Oleh kerana dia adalah anak Dewa Angin,
maka dia juga boleh terbang seperti burung.”
Anjana bertambah kasih terhadap anaknya,
Anoman. Lalu dijaga dan dipeliharanya anak lotong itu dengan penuh kasih.
Apabila Anoman sudah besar sedikit, Anjana menghantarnya berguru dengan Mahaguru
Sri Bala. Mahaguru Sri Bala mengajar Anoman segala ilmu.
Anoman tekun belajar. Dia sentiasa mendengar
nasihat gurunya. Akhirnya Anoman menjadi sangat pandai. Walaupun dia pandai, dia
tidak sombong dan bermegah diri.
Anoman mempunyai ramai kawan. Mereka selalu
bermain bersama-sama. Semua anak lotong di kampung itu menyukai Anoman. Mereka
tidak suka bergaduh. Mereka semua bergaul seperti adik-beradik.
Anoman dan rakan-rakannya memang nakal. Saban
hari, ada sahaja dusun orang yang diceroboh. Pisang, durian, nangka dan segala
yang ada pasti dicuri. Lotong-lotong betina juga teruk diusik. Kalau ada lotong
bermandi-manda di sungai atau kolam, Anoman dan rakan-akannya pasti menghendap
menonton.
Puas Anjana menasihati, Anoman tetap nakal.
Kenakalannya semakin menjadi-jadi hingga akhirnya Anjana terpaksa memohon kepada
Dewata sendiri agar menyucikan hati Anoman.
Pada suatu petang, Anoman dan rakan-rakannya
sedang duduk berehat di bawah pokok. Sambil berbual-bual, Anoman memandang
matahari di langit. Matahari pada waktu itu berwarna merah. Anoman hairan
bagaimana matahari berwarna jingga pada waktu pagi dan berwarna merah pada
sebelah senja.
Pada sangkaan Anoman, matahari ialah sebiji
buah yang sangat besar. Anoman membayangkan matahari sebagai buah oren dan buah
epal yang digantung di langit.
Tiba-tiba Anoman teringin hendak mendapatkan
buah di langit itu. Anoman menceritakan keinginannya kepada rakan-rakannya.
“Menurut Mahaguru Sri Bala, matahari sangat
besar. Jadi saya fikir tidak salah kalau saya mengambil sedikit untuk kita semua
makan,” kata Anoman dengan ceria.
Lalu Anoman pun terbanglah ke langit. Semakin
lama, semakin dia menghampiri matahari. Saiz matahari juga kelihatan semakin
besar. Anoman terasa sangat panas. Cahaya matahari mula menyilaukan mata.
Bahangnya membakar bulu di badan. Akhirnya Anoman menjadi lemah. Dia terjatuh
semula ke bumi.
Rakan-rakan Anoman segera membawakan air
untuknya. Selepas sedar daripada pengsan, Anoman sekali lagi mahu terbang ke
matahari. Rakan-rakannya cuba menghalang. Sebaliknya Anoman menjadikan tubuhnya
sepuluh kali lebih besar. Dia terbang semula menuju ke arah matahari.
Matahari masih panas seperti tadi. Namun
begitu, Anoman tidak mahu menyerah kalah. Dia terus juga terbang.
Tiba-tiba Anoman tidak lagi merasai bahang
yang panas. Dia melihat ke arah matahari. Di hadapan Anoman kini berdiri Dewa
Suria sambil tersenyum.
“Awak memang sangat berani,” Dewa Suria
memuji. “Tujuan saya membakar bulu awak tadi adalah untuk membunuh semangat
nakal dalam diri awak. Mulai sekarang, awak akan menjadi lotong yang baik. Mulai
sekarang, awak akan mula melaksanakan tugas-tugas sebagaimana diamanahkan oleh
Dewata sewaktu Dewata mengambil keputusan untuk menjelma dalam rupa seekor
lotong.”
Anoman tunduk penuh hormat dan memohon restu
Dewa Suria. Dewa itu kemudian menyuruh Anoman duduk di atas pangkuannya.
Kemudian dia menuding ke arah bumi. Anoman nampak bumi yang sangat kecil nun
jauh di sana. Anoman melambai-lambaikan tangan ke bumi walaupun dia tahu
rakan-rakannya tidak dapat melihatnya.
Selepas menghabiskan sedikit masa bersama Dewa
Suria, Anoman memohon diri untuk pulang.
“Awak sangat berani dan berbudi pekerti
mulia.Sebagai menghargai keberanian awak, saya berikan awak dua anugerah.
Pertama, awak akan memiliki kekuatan yang luar biasa. Kedua, awak tidak akan
dibakar api,” kata Dewa Suria sebelum mengucapkan selamat jalan kepada Anoman.
Dengan perasaan gembira, lotong putih itu pun
terbanglah pulang ke bumi. Maka rakan-rakannya terasa amatlah kagum mendengar
ceritera tentang pengalaman Anoman bertemu muka dengan Dewa Suria. Maka kemudian
Anoman pun pulanglah ke rumah dengan gembira jua.
Maka dia pun menceritakan pengalaman yang amat
luar biasa itu kepada ibunya, Anjana. Lotong Anjana amat bersyukur jua adanya
kerana anaknya, si Anoman, mendapat restu Dewa Suria yang maha hebat. Lalu
dinasihatkanlah oleh Anjana kepada Anoman agar janganlah sesekali
menyalahgunakan segala kuasa ajaib yang dimilikinya; yang diberi Dewata, yang
diberi Dewa Angin mahu pun yang diberi Dewa Suria.
“Usahlah emak bimbang. Saya berjanji akan
menggunakan kuasa-kuasa ini untuk tujuan yang baik sahaja,” Anoman berkata
bagi meyakinkan ibunya.
Sebagaimana janjinya, Anoman selalu
menggunakan kekuatan luar biasa yang dimilikinya hanyalah untuk tujuan kebajikan
dan kebaikan orang ramai. Tidak pernah jua digunakannya demi diri sendiri;
apatah lagi bagi menghendap anak-anak gadis yang mandi bogel di sungai.
Ada pun pada suatu hari, hutan di Kishikanda
terbakar angkara jin pokok. Maka lari lntang-pukanglah segala isi hutan cuba
menyelamatkan diri daripada menjadi makanan api. Banyak jugalah hidupan hutan
yang tersilap langkah mencari tempat selamat lalu terperangkap di tengah hutan
yang sedang terbakar.
Maka sampailah khabar itu ke pengetahuan
Anuman yang sedang berbaring-baring di tempat peraduan melepaskan lelah. Tanpa
melengahkan masa, Anoman si lotong sakti itu pun segera menjelmakan dirinya
dalam bentuk vivwarupa iaitu bentuk
tubuhnya yang paling besar dengan izin Dewata jua.
Maka terpegunlah segala isi hutan melihat rupa
Anoman yang mengagunkan itu. Terlopong mulut barang siapa yang melihatnya.
Anoman pun berjalan ke arah sungai. Sekali langkah sahaja, sudah sampailah
Anoman ke tebing sungai.
Adapun, tanpa berlengah, Anoman segera
mencedok air sungai menggunakan tapak tangannya yang lebar jua. Lalu
disiramkanlah air itu ke arah api; tumpah bagai hujan lebat; maka padamlah api.
Para penduduk hutan sangat terhutang budi
kepada Anoman. Dipuji-pujilah mereka lotong putih bermata hijau itu seada-adanya.
Sebaliknya Anoman pula merendah diri.
“Janganlah terlalu memuji saya. Bersyukurlah
kepada Dewata. Dewata telah memberi saya segala kuasa ajaib ini untuk digunakan
bagi kebaikan semua. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab saya,” kata Anoman
merendah diri.
Masa terus berlalu. Anoman sudah meningkat
dewasa. Cerita tentang Anoman tersebar luas ke serata tempat. Raja Surgewa juga
telah banyak mendengar cerita tentang Anoman.
Suatu hari, Surgewa sedang berjalan-jalan di
luar istananya. Tiba-tiba ribut taufan melanda. Ada pun ribut itu sebenarnya
adalah perbuatan raksasa bernama Trinavarta. Raksasa Trinavarta mahu menakluk
negeri Kishikanda. Lalu dia telah datang dalam bentuk putting beliung untuk
membunuh Surgewa.
Surgewa tidak dapat berbuat apa-apa.
Trinavarta menyambar reja lotong itu dan membawanya lari. Surgewa menjerit
meminta tolong. Para panglima cuba menyelamatkan Surgewa tetapi gagal.
Berita tentang raksasa Trinavarta yang
melarikan Surgewa sampai ke pengetahuan Anoman jua akhirnya. Dari jauh, Anoman
nampak Surgewa terperangkap di dalam putting beliung yang amat dashyat.
Maka tanpa melengahkan masa, segeralah Anoman
sekali lagi terus membesarkan tubuhnya. Cepat-cepat disambarnya Surgewa dari
tangan Trinavarta. Maka raksasa itu terkejut amatlah melihat Anoman sakti yang
menjelma dalam bentuk viswarupa di
hadapan matanya.
Anoman meletakkan Surgewa di atas tanah.
Trinavarta menerkam Anoman dengan marah. Anoman bertindak pantas. Dia segera
memegang ekor pada putting beliung itu. Anoman menghayun Trinavarta dengan laju
beberapa kali. Kemudian trinavarta dilontarkan ke udara. Maka raksasa itu pun
jatuhlah melayang di atas bukit lalu mati.
Anoman kemudian mengangkat Surgewa dan
membawanya pulang ke istana. Maka riuhlah orang ramai bersorak riang meraikan
kemenangan Anoman ke atas Trinavarta. Menarilah sekalian penduduk Kishikanda
sesuka hati. Dibakarlah orang segala macam mercun dan bunga api pelbagai warna.
Maka gamatlah suasana lebih gamat daripada bunyi puting beliung yang melanggar
negeri Kishikanda tadinya.
Raja Surgewa amat terhutang budi pada Anoman
yang menyelamatkan nyawanya daripada dicabut raksasa Trinavarta. Maka sebagai
tanda penghormatan, Anoman dijadikan ketua panglima tentera. Anoman menerima
tugas itu dengan gembira.
Maka diadakanlah sekali lagi bermacam-macam
acara bagi meraikan pemilihan Anoman sebagai ketua angkatan tentera kaum lotong
di bawah pemerintahan Raja Surgewa di negeri Kishikanda. Dibuatlah orang
bermacam-macam acara tari-menari, nyanyian dan permainan tidak tamat selama
tujuh hari tujuh malam.
Ada pun menurut si empunya cerita lagi,
Surgewa mempunyai sepasang anak kembar bernama Anbala dan Ankada. Maka kedua-dua
anak lotong itu sebaya Anoman jua. Cemburulah mereka melihat segala puji-pujian
Surgewa ke atas Anoman. Ditambah pula segala pangkat dan pingat, segala majlis
tarian dan jamuan serta tugas memimpin angkatan tentera yang diberikan kepada
Anoman.
Lalu seringlah kedua-dua lotong bernama Anbala
dan Ankada itu selalu berusaha berkasar bahasa terhadap lotong putih bermata
hijau yang bernama Anoman itu. Sebaliknya Anoman pula sentiasa tidak marah pada
segala tindakan buruk mereka. Jika dimaki oleh Anbala dan Ankada, dibalas Anoman
dengan senyuman jua. Jika disakiti oleh Anbala dan Ankada dengan sengaja
menjatuhkannya dari kerusi, dibalas Anoman dengan senyum jua. Dianggap Anoman
akan Anbala dan Ankada serupa saudara kandungnya jua. Demikian anugerah Dewata
kepada Anoman bilamana dilahirkan lotong itu bermata hijau. Demikian menurut si
empunya cerita.
Lama-kelamaan, Anbala dan Ankaa mula sedar
bahawa Anoman tidalah jahat seperti yang mereka sangkakan. Anoman tidak pernah
berniat merampas hak dan milik mereka berdua. Apa yang Anoman terima adalah apa
yang diberi kepadanya; sesekali bukan apa yang diambilnya secara paksa daripada
barang siapa pun.
“Saya rasa dia baik orangnya,” kata Anbala.
“Benar,” tanbah Ankada. “Walaupun kita
berkasar bahasa dengannya, dia tetap menyayangi kita bagaikan kita saudara
kandungnya. Anoman tidak sombong. Dia selalu menolong kita dengan ikhlas.”
“Betul. Saya rasa elok kita berbaik-baik
dengannya. Malah dari sehari ke sehari saya merasakan timbul rasa kasih saya
terhadap Anoman,” kata Anbala.
Maka bertemulah Anbala dan Ankada dengan
Anoman. Berbual-buallah mereka dengan penuh mesra. Anbala dan ankada meminta
maaf di atas segala sikap buruk mereka di masa lalu. Segera pula dimaafkan oleh
Anoman. Maka intimlah hubungan pasangan lotong kembar Anbala dan Ankada dengan
lotong sakti Anoman. Melihat keadaan itu, bertambah gembira hati Raja Surgewa.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan,
semakin berpengaruhlah Anoman di Kishikanda. Menurut empunya cerita, banyaklah
bakti dan budi Anoman kepada sekalian raja negeri Kishikanda dan penduduknya.
Jika dikhabarkan satu per satu, tidak cukup seratus malam seratus siang.
Lalu dipendekkanlah cerita oleh empunya cerita
yang telah mendengarnya daripada orang sebelumnya. Maka gahlah nama Anoman di
serata tanah yang diduduki manusia dan binatang.
Bila mangkat Raja Surgewa, diangkatlah orang
Anoman menjadi raja. Maka Anoman memerintahlah negeri Kishikanda dengan adil dan
saksama lebih baik daripada apa yang diperintah oleh Surgewa dan raja-raja
sebelumnya. Maka makin banyaklah rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan Raja
Anoman. Bertambah tersebarlah segala ajaran agama Islam sepanjang pemerintahan
Raja Anoman.
Sesudah berdekad lamanya memerintah, sampailah
masanya untuk Anoman kembali kepada Dewata. Maka sedihlah sekalian rakyat jelata.
Menangislah mereka seada-adanya. Namun tiada yang sampai meratap kerana akur
pada ajaran Islam jua.
Sampai waktunya, turunlah Dewa Suria, Dewa
Angin dan Dewata bersama-sama ke bumi diiringi ratusan malaikat. Ditaburkanlah
para malaikan bunga-bungaan dan direnjislah mereka wangi-wangian di sepnajng
jalan dari istana Anoman hingga ke pintu kayangan.
Maka berangkatlah Anoman kembali ke kayangan
kerana sudah selesai segala tugasnya di bumi selama ini. Lalu bersatu semulalah
Anoman dengan Dewata yang telah menjelma dalam rupa Anoman sebelum ini.
Berkilau-kilau segala ruang angkasa di saat Anoman bersatu dengan Dewata.
Bertaburan bunga penbagai warna yang ditaburkan para malaikat. Harum
wangi-wangian menguasai seluruh alam.
Maka kembalilah Anoman dari mana asalnya. Lalu
hingga ke hari ini masih dilagukan orang:
Dari mana asal Anoman?
Dari Dewata Mulia Raya.
Dari mana asal kawan?
Dari segala rasa percaya.
Teks versi Melayu-Islam ini diadaptasi
daripada teks “Hikayat Kera Kecil”
Oleh: Uthaya Sankar SB
15-16 Julai 1997
Berkenalanlah
dengan watak Hanuman
yang sangat istimewa ini. Ikutilah kisah pengembaraan Hanuman bersama-sama Rama.
Bacalah Nari! Nari! (DBP, Cetakan
Pertama 1995 & Cetakan Kedua 2000) dan Hanuman:
Potret Diri (DBP, 1996) untuk kisah sepenuhnya.