Hanuman: Potret Diri


Biarlah kera putih bermata hijau ini hadir menyerikan mimpi indah kalian. ...

 

Judul Buku: Hanuman: Potret Diri

Pengarang: Uthaya Sankar SB

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Cetakan Pertama: 1996

ISBN: 983-62-5070-0

Harga Pasaran: RM5.50

 

Seperti  yang disebutkan pada bahagian blurb  novel “Hanuman: Potret Diri” setebal 128 halaman ini , Ramayana adalah epik India yang tersebar luas ke seluruh dunia.

Dua versi terkenal di kalangan orang India  adalah versi asal Valmiki  (Bahasa Sanskrit)  dan  versi Kamban (Bahasa  Tamil).

Melalui adaptasi dan  interpretasi setempat, maka  lahir  pula “Hikayat Seri Rama” di Malaysia dan  “Ramakien”  di Thailand.

S.M. Zakir telah menghasilkan novel “Kembang Kanigara” (DBP: 1992)  yang mengkhusus pada watak Indrajit, anak Rawana.

Melalui Hanuman:  Potret  Diri (DBP: 1996)  pula,  kita  diberi peluang mendengar luahan hati Hanuman terhadap segala apa yang  terdapat di dalam dan di luar Ramayana, Hikayat Seri Rama dan Ramakien.

Sebagai  sebuah  novel retorik berunsur parodi, Hanuman: Potret Diri  hampir terpesong langsung daripada epik kudus Ramayana. Misalnya,  dalam  Ramayana, watak   Rama  berketurunan   Arya manakala Ravana berketurunan Dravida. Hal yang sebaliknya pula dikemukakan dalam Hanuman: Potret Diri.

Novel  lima belas bab ini mengambil latar masa tidak  sampai sehari;  dari subuh hingga senja. Kisahnya tentang Hanuman,  kera putih bermata hijau yang mengganti Rama sebagai maharaja Kerajaan  Indus di Lembah Sindhu.

 

HANUMAN. Akulah kera putih itu. Akulah yang mempunyai keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman. Akulah kera putih yang dianugerahkan Tuhan keupayaan menjelma dalam mimpi orang-orang yang aku sayang. Akulah Hanuman, kera putih bermata hijau yang boleh terbang membelah langit; bernafas di dalam air. Maha Agung Tuhan yang mengurniai kera kecil ini dengan sekian banyak keajaiban.

Akulah Hanuman yang keputihan bulunya melambangkan kesucian hati; kehijauan matanya menggambarkan pandangan kasih. Akulah yang diutuskan Brahma untuk membantu Rama membunuh Ravana. Akulah yang dikatakan pengikut setia Rama. Rama yang perkasa, yang wira, yang berketrampilan, yang membunuh Ravana. Itu, semua orang tahu. Tapi aku bukan sekadar pengikut setianya. Aku juga ... . Tidak! Aku tidak boleh memecahkan rahsia itu selagi Rama sendiri tidak mengakuinya.

 

Pada   malam  sebelumnya,  Hanuman  telah  bermimpi terdapat seorang  manusia duduk di takhta  kerajaan.  Sejak itu,  fikirannya mula melayang mengenangkan segala kejadian  masa  lalu.   Tambahan pula,  hari  itu  menandakan   genap setahun “pemergian” Rama dan Sita.

Hanuman mengunjungi makam Tamnat Gangga. Di situlah Hanuman yang  berumur tiga puluh tahun bercerita secara  langsung kepada para  pembaca tentang segala apa yang berlaku sejak  hampir  lima  puluh tahun terdahulu.

Untuk  membolehkan  kita  menghayati  sepenuhnya  novel  ini secara   kritikal,  kita wajar  terlebih  dahulu  membaca Ramayana.

Walau bagaimanapun, Hanuman: Potret Diri  masih  boleh dibaca  secara tekstual tanpa  mengaitkannya  dengan  epik-epik  terdahulu.

Kisah  dalam Hanuman: Potret Diri menyimpang  daripada  teks Ramayana. Misalnya, Hanuman menjadi Maharaja pada usia 29 tahun. Dia  menagih  kasih sayang ibu bapa kandungnya.  Rama  dan Sita dikatakan ibu bapa kandung Hanuman!

Benarkah  hipotesis ini? Mengapa pula Hanuman lahir  sebagai kera?  Mengapa dia tidak menerima  kasih  sayang  ibu  bapanya? Siapakah Tamnat Gangga? Malah, siapakah wira sebenar dalam  kisah perang Rama dan Ravana?

Itulah  antara persoalan pokok dalam novel ini.  Penyampaian cerita melalui penggunaan sudut pencerita orang pertama ("Aku"  @  Hanuman) benar-benar mampu memikat hati pembaca remaja mahu  pun dewasa. Begitu juga ilustrasi kulit yang menggambarkan  Maharaja Hanuman duduk termenung di singgahsana.

Di  akhir novel terdapat penerangan ringkas mengenai  setiap watak.  Ia  sangat berguna  bagi  mereka  yang  tidak pernah membaca Ramayana. Tetapi ada fakta yang sengaja diputar-belitkan bagi merangsang pemikiran kreatif dan kritikal di kalangan pembaca.

Watak-watak dalam novel ini bukan lagi sekadar hitam  dan putih.   Rama ditampilkan   sebagai   manusia   tiga dimensi berperwatakan  kelabu.  Begitu  juga dengan  Sita,   Letchumanen  (Laksamana), Surgiwa, Indrajit dan Ravana (Rawana).

Cerita  berjalan lancar secara dramatik. Imbas kembali  pula berlaku secara spontan; tanpa disedari.  Pembaca  perlu  teliti untuk membezakan antara "masa kini" dan "masa lalu".

Hanuman:  Potret  Diri mungkin mengingatkan  pembaca  kepada cerpen-cerpen parodi karya Uthaya Sankar SB yang  tersiar  di akhbar  Mingguan Malaysia sebelum ini.

Antaranya  "Bitara  Sita", "Sengketa  Pulau  Cinta"  dan  "Sasterawan  Pulau Cinta".Cerita "Hikayat Kera Kecil" pula termuat dalam Nari! Nari!

Unsur  parodi dan  penyimpangan daripada teks  Ramayana  terus  menjadi  "mainan" penulis muda ini dalam Hanuman: Potret Diri.

Novel ini bukannya bacaan ringan.  Pembaca diajak  untuk menafsir, menginterpretasi serta menghayati  potret diri Hanuman  dan  watak-watak lain dalam novel ini secara kritikal.

Yang  pasti,  Hanuman:  Potret  Diri  menjanjikan   "kejutan budaya"   kepada mana-mana   pembaca   yang   selama ini menyempitkan fikiran dan mengagung-agungkan keperwiraan Rama.

Bersediakah anda? Biarlah kera putih bermata hijau ini hadir menyerikan mimpi indah kalian.