Maklumat diri Retna Devi Balan; seperti yang dikemukakan sendiri oleh beliau melalui e-mel pada 30 Disember 2001.

      

    

Retna Devi Balan lahir di Segamat, Johor pada 25 November 1968. Beliau menamatkan pengajian menengah di Sekolah Tinggi Segamat sebelum mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1987-1989). Selepas mengajar selama empat tahun di SM (P) Jalan Ampang, beliau melanjutkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1997; lalu mula bertugas di SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur.

     

Minat menulis karya kreatif bermula semenjak di bangku sekolah menengah dan hasil tulisan beliau mendapat tempat dalam majalah sekolah. Minat berkenaan diteruskan semasa berada di maktab perguruan. Karya-karya beliau mendapat tempat dalam “Suara PGP” (surat berita terbitan persatuan guru pelatih) dan juga surat berita keluaran Persatuan Bahasa Inggeris. 

    

Pada tahun 1987, puisi beliau turut dimuatkan dalam antologi Kembang Lembah Kota terbitan Kumpulan Penulis Kreatif (KUMPETIF) Maktab Perguruan Lembah Pantai. Artikel beliau mengenai "Kolem" turut tersiar dalam Dewan Budaya.

   

Retna mula berkarya untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan kebosanan. Seterusnya penulisan menjadi satu media untuk menyuarakan pendapat mengenai pelbagai isu. Antara persoalan yang menjadi latar karya beliau adalah masyarakat sekolah, kaum India dan juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Pegangan beliau dalam bidang penulisan adalah untuk menaburkan benih kesedaran dan kematangan di khalayak pembaca.

     

Retna boleh dihubungi melalui e-mel aquilae@hotmail.com