Oleh:
Retna Devi Balan
Kebudayaan dan tradisi mencerminkan peribadi sesuatu
masyarakat. Kebudayaan dan tradisi tersebut mempunyai nilai-nilai serta maksud
tersembunyi yang tersendiri. Penghayatan dan pemahaman terhadap kebudayaan dan
tradisi itu akan membolehkan seseorang untuk lebih menghargai keunikannya.
Masyarakat India merupakan satu kelompok manusia yang amat kaya dengan
kebudayaan dan tradisi. Hampir kesemua amalan masyarakat India mempunyai
nilai-nilai serta maksud yang tersirat. Salah satu daripada tradisi orang India
adalah kolem iaitu lukisan di atas
lantai. Perkataan kolem dalam bahasa
Tamil membawa maksud indah atau cantik.
Mengapakah orang-orang India mengamalkan tradisi melukis kolem? Menurut ajaran agama Hindu, seseorang itu harus melakukan
kebajikan atau dharmam pada setiap
hari. Amalan melukis kolem merupakan
satu cara yang mudah untuk melakukan kebajikan. Ini adalah kerana kolem
biasanya dilukis dengan menggunakan beras atau serbuk beras. Beras atau serbuk
beras itu akan dimakan oleh semut atau burung. Ini akan menyempurnakan keperluan
melakukan kebajikan seperti yang dikehendaki oleh agama Hindu.
Kegiatan melukis kolem
dilakukan oleh golongan wanita. Cara-cara untuk melukis kolem
ini diturunkan dari generasi ke generasi daripada ibu kepada anak perempuannya.
Apabila seorang anak gadis sudah pandai berjalan, iaitu di antara umur empat dan
lima tahun, si ibu akan mula mengajarnya untuk melukis kolem. Pada mulanya diajar kolem
yang mudah dan semakin anak itu dewasa, akan diajar pula lukisan yang lebih
sukar.
Salah satu sebab mengapa amalan ini hanya dipraktikkan oleh golongan
wanita adalah kerana pada zaman dahulu mereka tidak dibenarkan keluar dari
kawasan rumah mereka. Oleh yang demikian mereka tidak mempunyai cara untuk
menyempurnakan keperluan agama, iaitu melakukan kebajikan. Dengan ini amalan
melukis kolem telah dimulakan sebagai
cara melakukan kebajikan tanpa melangkah keluar dari kawasan rumah.
Pada masa dahulu, kolem dilukis
di halaman rumah pada setiap hari. Tetapi pada zaman moden, sebab sebenar kolem
dilukis telah dilupakan. Ia lebih diamalkan sebagai satu bentuk perhiasan yang
dilukis semasa hari-hari perayaan seperti Tahun Baru dan Deepavali. Ia juga
dilukis semasa hari-hari yang dianggap istimewa dan suci seperti pada hari
Selasa dan Jumaat. Upacara-upacara kenduri dan perkahwinan juga dianggap tidak
sempurna jika tidak terdapat lukisan kolem.
Secara tradisi, kolem dilukis pada halaman rumah tetapi kemudiannya ia dilukis di
kuil-kuil dan di dewan-dewan semasa diadakan upacara-upacara keramaian. Apabila
diadakan upacara-upacara keagamaan, kolem
pasti akan dilukiskan. Kolem memainkan
peranan penting dalam tradisi India dan kini kesemua aktiviti yang melibatkan
orang India akan mempunyai kolem.
Menurut tradisi kepercayaan orang India, kolem
menambah seri kepada sesebuah rumah. Dengan itu juga ia akan membawa tuah dan
berkat kepada ahli keluarga tersebut. Terdapat juga kepercayaan bahawa kolem
bertindak sebagai satu kawalan dan menghalang unsur-unsur jahat daripada
memasuki rumah tersebut. Ini juga boleh dikatakan sebagai satu sebab mengapa
tradisi kolem ini tidak luput ditelan zaman.
Di India kolem mempunyai
berbagai nama dan berbagai bentuk. Orang Punjabi menamakannya Alpona yang diperbuat daripada tepung beras yang diwarnakan dengan
menggunakan tumbuh-tumbuhan berwarna. Rangoli
pula adalah nama yang digunakan oleh orang Marathi dan Kannada. Lukisan ini
diperbuat daripada serbuk yang berwarna-warni. Kolem yang dibuat oleh
orang Kerala adalah dengan menggunakan bunga-bungaan.
Penghijrahan masyarakat India dari Benua Kecil India ke Malaysia telah
membawa bersama kesenian yang indah dan kaya ini. Perkara yang istimewa mengenai
seni melukis kolem di Malaysia adalah
ia tidak diperbezakan mengikut kelompok dari negara asal mereka seperti Punjab,
Kerala atau Kannada. Masyarakat India di Malaysia mengamalkan cara dan bentuk kolem
yang mereka minati mengikut kesesuaiannya.
Masa
juga menjadi penentu kerana ada kolem
yang akan mengambil masa beberapa minit dan ada juga yang boleh mengambil masa
beberapa jam. Kepelbagaian dalam
mengamalkan tradisi ini lebih memperlihatkan keindahan seni tersebut.
Masyarakat India di Malaysia juga telah membawa perubahan kepada kesenian
ini. Pada asalnya tepung beras telah digunakan sama ada dalam bentuk tepung atau
dicampurkan dengan air. Kemudiannya warna-warna telah digunakan. Kini apa sahaja
yang difikirkan sebagai sesuai digunakan untuk membuat kolem.
Antara beberapa bahan yang digunakan dewasa ini
adalah bijirin seperti beras sagu, kacang hijau dan beras barli. Kerisik
kelapa yang diwarnakan juga digunakan. Kesemua ini membuat kolem kelihatan lebih cantik dan menarik.
Walaupun kolem secara amnya
hanya dilihat sebagai perhiasan, amalannya mempunyai beberapa sebab dan juga
maksud simbolik. Secara simboliknya, kolem
melambangkan kehidupan manusia. Apabila
seseorang melihat lukisan kolem,
anggapan yang terlintas di fikiran adalah bahawa ia adalah sesuatu yang sukar
kerana lukisan kolem mempunyai
garisan-garisan yang berliku-liku. Ini melambangkan bahawa kehidupan manusia
adalah penuh berliku dan tidak semestinya mudah.
Secara kebiasaan kolem
mempunyai titik-titik yang menjadi panduan kepada pelukisnya. Seperti mana
titik-titik tersebut menjadi panduan kepada lukisan kolem,
begitu juga dengan kehidupan manusia yang memerlukan panduan. Panduan utama
dalam kehidupan masyarakat India adalah kepercayan kepada Tuhan serta
upacara-upacara keagamaan.
Oleh
itu kolem membawa pengertian bahawa
walaupun kehidupan itu adalah sukar, seseorang boleh mencapai kesempurnaan dan
kebahgiaan sekiranya menuruti panduan-panduan yang ditetapkan. Kecantikan
lukisan kolem yang telah siap
melambangkan kebahagiaan dan kesempurnaan kehidupan seseorang.
Amalan melukis kolem juga
merupakan satu cara mendisiplin diri. Ini adalah kerana terdapat beberapa
peraturan yang berkaitan dengan tradisi ini. Seorang wanita yang ingin melukis kolem
perlu bangun pada awal pagi; seeloknya sebelum terbit matahari. Dia
seharusnya mandi dan membersihkan dirinya sendiri. Setelah itu dia akan
menyudahkan upacara sembahyang dan kemudian membersihkan pula kawasan di mana kolem
tersebut akan dilukis.
Peraturan-peraturan yang perlu diikuti itu kemudiannya menjadi amalan
harian. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai disiplin diri tetapi juga merupakan
amalan yang baik dari segi kesihatan dan kebersihan. Ini adalah kerana seorang
itu mengamalkan kebiasaan bangun pada awal pagi. Menurut sistem perubatan
tradisi India, amalan ini memberikan kesihatan yang baik dan juga umur yang
panjang. Kemungkinan ini adalah sebab mengapa generasi yang lebih tua mempunyai
kesihatan yang lebih baik dan umur yang panjang.
Kegiatan melukis kolem juga
merupakan satu bentuk senaman. Aktiviti ini melibatkan pergerakan tangan, kaki
dan badan yang selaras bagi menyempurnakan lukisan tersebut. Pada masa yang sama
ia juga memerlukan tumpuan yang agak mendalam. Penumpuan minda terhadap kegiatan
yang dilakukan merupakan suatu senaman rohaniah. Ini juga boleh dikatakan
sebagai suatu latihan disiplin minda.
Fakta yang menarik mengenai
kegiatan ini adalah ia dilakukan di bawah sedar. Kegiatan ini telah diamalkan
berkurun lamanya sehinggakan maksud dan kebaikan di sebaliknya tidak diketahui
dan disedari. Lukisan kolem yang sukar
boleh mengambil masa yang panjang, maka aktiviti ini juga mengajar seseorang itu
erti kesabaran dan melatih mereka supaya melakukan sesuatu tugas dengan tekun
dan penuh sabar sehingga siap.
Kebolehan melukis kolem dengan
baik dipandang tinggi dalam masyarakat India.
Kesukaran untuk mempelajari teknik melukis kolem dan kesabaran serta disiplin yang diperlukan menjadikannya
sebagai satu nilai pengukur terhadap keperibadian seseorang wanita. Pada masa
dahulu seseorang wanita yang cekap dalam seni melukis kolem dianggap sebagai seorang yang berkebolehan
mengendalikan rumah tangga.
Pada masa sekarang melukis kolem tidak lagi menjadi aktiviti harian. Ia lebih diberi keutamaan pada masa-masa yang dianggap sebagai keraian atau upacara-upacara khas. Walaupun ia tidak lagi menjadi aktiviti harian, ia sama sekali tidak akan diketepikan kerana ia sudah sebati dengan kehidupan masyarakat India. Seni melukis kolem telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat India di seluruh dunia.
Dewan
Budaya,
September 1997
Kavya, Sept/Okt 1999