Cat

© Uthaya Sankar SB 1997

     

Ayah tiba-tiba pulang pada suatu malam dan mengejutkan kami daripada tidur. Kami pun bergegas keluar rumah. Kemudian kami mengeluarkan mancis dan membakar rumah. Kami sekeluarga berdiri di sekeliling melihat api memusnahkan rumah kami sampai hangus.

Sejak itu kami merantau dari satu tempat ke tempat lain tanpa mempunyai rumah kediaman. Keadaan seperti ini lebih bagus, kata ayah. Kami tidak perlu memecahkan kepala memikirkan warna apa dinding rumah perlu dicat, cat jenama apa perlu digunakan, mahu mengupah orang mengecat rumah atau mengecat sendiri, berapa tin cat diperlukan dan sebagainya.

Itu baru soal cat. Ayah menyenaraikan puluhan – malah ratusan dan ribuan – masalah yang dapat kami elakkan kerana tidak mempunyai rumah.

“Tapi, ayah,” kata salah seorang daripada kami sambil kami semua duduk dalam kulit kacang tanah suatu hari. “Alamat mana perlu kita gunakan untuk urusan rasmi? Bagaimana dengan pendaftaran sekolah; mahu gunakan alamat mana? Bagaimana kalau ada orang mahu mengutus surat; peminat misalnya.”

“Gunakan sahaja alamat Parlimen atau alamat Perdana Menteri kita,” ayah menjawab spontan. “Sekurang-kurangnya junk mail tidak akan sampai kepada kita.”

“Dan kita tak ada peminat,” kata salah seorang daripada kami; tapi tentulah bukan yang bertanya tadi. “Apa kau ingat kita ni Penipu seperti di tangan Marsli N.O? No. Kita adalah nobody.”

Kami yang lain mengiakan sambil menggeleng. Waktu itu kami sudah pun meninggalkan kulit kacang tanah tempat kami berteduh sambil membelek-belek halaman kumpulan cerita pendek Penipu sementara menanti hujan reda.

“Bagaimana dengan pendaftaran sekolah; mahu gunakan alamat mana?” tanya seseorang di antara kami; entah orang yang sama seperti tadi atau orang lain.

“Mengapa perlu risau? Kamu semua kan tidak pernah bersekolah,” jawab ayah sambil terus berjalan.

“Oh, ya!” kata kami semua.

 

Petikan cerpen “Cat” yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, 21 Disember 1997 serta terkandung dalam antologi Vanakam (2002)

Baca ulasan/komen cerpen "Cat" di SINI

Baca "Cat2" dalam Kavya, Jun 2003