Warkah dari Chennai

Retna Devi Balan

                

Namaste para Kavyan.

Kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Chennai. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Chennai hanya mengambil masa selama 2˝  jam. Tiada banyak gangguan kerana cuaca yang baik.

Setibanya di sini, Ret turun dari kapal terbang dan memasuki kompleks lapangan terbang. Terkejut sungguh Ret. Rasanya seperti melangkah ke zaman silam tetapi zaman silam di Kuala Lumpur tidaklah sesilam di sini. Setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang serba canggih dan indah, kompleks ini seperti rumah lapuk! Terminal antarabangsa?!

Lantai yang diliputi linoleum seolah-olah tidak pernah bertemu penyapu dan kain lap. Dinding-dinding seperti terkena penyakit kulit; mengelupas di sana-sini. Suasana yang suram mengingatkan Ret pada rumah yang digunakan untuk penggambaran filem seram.

Hati Ret mula berdebar-debar. Sekiranya lapangan terbangnya begini, apa agaknya keadaan di negara ini? Ketidakpastian mula menular. Apakah ini tindakan yang terbaik? Namun begitu, Ret cekalkan hati kerana ini pilihan sendiri.

Dingin mula menusuk tubuh. Bukan, bukan kerana hawa dingin tetapi cuaca bulan Marghali. Sambil menggosok tangan, Ret melangkah ke tempat pemeriksaan imigresen. Tiada apa yang Ret ingat mengenai muka pegawai itu selain daripada misai tebal yang menutup hampir keseluruhan bahagian bawah dari paras hidung. Ret pernah dengar bahawa lelaki India beranggapan bahawa kalau tiada misai, maknanya bukan lelaki sejati. Apakah “kelelakian” mereka terletak pada misai?

Tanpa banyak soal jawab, pegawai tersebut mengecap pasport dan mengarahkan supaya Ret mengambil bagasi dan pergi untuk pemeriksaan kastam. Semua ini dilakukan dengan muka masam dan suara garang. Beginikah caranya menyambut tetamu ke negara mereka? Ret sangat terasa perbezaannya kerana di Malaysia, sambutan mesra diberikan pada sesiapa sahaja.

Pemeriksaan kastam juga tidak banyak bezanya. “Ada barang elektrik atau elektronik?” suara kasar bertanya dalam Bahasa Tamil. Ret sekadar menggeleng lalu dibenarkan pergi.

Kompleks ini kecil dan tidak memakan masa untuk beredar dari ruang ketibaan ke pintu masuk. Ya, Ret hampir lupa. Di sini tiada ruang menunggu mahupun untuk ketibaan atau pelepasan.

Ret seperti anak yang hilang di pasar - berjalan tanpa arah tuju kerana tidak tahu di mana suami Ret akan menunggu. Sambil sebelah tangan mengheret bagasi dan sebelah tangan menjinjing tas tangan, Ret sampai di pintu masuk. Nasib baik tidak pengsan! Keadaan di pintu masuk seperti tiruvila. Bagaimana nak cari suami Ret?

Ret terus melangkah dan tiba-tiba ternampak seseorang melambai.

Thank God! Itupun dia.”

Hampir saja Ret menerkam Sai kerana begitu gembira.

Kami mengambil auto (motorsikal beroda tiga yang boleh dilihat dalam filem Tamil, khususnya Baasha) dari sana ke rumah. Dalam kegelapan, Ret hanya dapat melihat bahawa jalan raya bukan sekadar milik kenderaan tetapi binatang seperti kerbau dan lembu. Keseluruhan tempat diselubungi kabus bulan Marghali. (Atau mungkin debu?) Pemandu kenderaan pula tidak tahu mematuhi peraturan lalu lintas dan juga tidak tahu memandu tanpa membunyikan hon.

Walau bagaimanapun, kami selamat tiba di Vigneshwara Nagar, kediaman sewa kami. Maka bermulalah kehidupan baru untuk Ret di rantau asing. Jauh dari tanah air, jauh dari sanak-saudara dan jauh dari sahabat handai.

Apa reaksi Ret terhadap kehidupan di Chennai? Bagaimana kehidupan seharian di sini? Nantikan dalam warkah yang akan datang.

Sekian. Salam rindu buat semua. Nandri.

      

Kavya, September 2002

Send your FEEDBACK