ISSN: 1675-4042 Keluaran 6 Julai 2002

    

        

     

Surat Berita Kavya muncul kembali setelah menyepi sejak keluaran terakhir Mei-September 2000. Punca utama adalah berikutan kekurangan bahan yang dikirim oleh para ahli Kavyan melalui e-mel; serta masalah kewangan bagi mencetak dan mengirim surat berita kepada para ahli melalui pos.

Bagaimanapun, masalah tersebut dapat diatasi mulai keluaran Julai 2002 kerana Kavya dimuatkan di ruang siber dan dapat diakses secara maya dari seluruh pelosok dunia.

Namun, masalah yang masih tidak dapat diatasi adalah berhubung permintaan agar para ahli mengirim bahan melalui e-mel untuk dimuatkan dalam surat berita ini. Bahan-bahan yang diterima sehingga 24 Jun 2002, dimuatkan dalam keluaran ini. Semoga akan ada lebih banyak kiriman bahan untuk keluaran akan datang: puisi, cerpen, ulasan buku, catatan pengalaman, laporan aktiviti dan sebagainya.

          

Biodata Penulis Kaum India Malaysia

       

Write or Record

If you think you are a better story teller than you are a writer, here’s some advice from Uthaya Sankar SB

       

      

“I often quote myself. It adds spice to my conversation,” George Bernard Shaw was quoted in Reader’s Digest, June 1943. And I would like to use the same quotation because I know for sure that I do the same thing.

I often quote my short stories when explaining certain things about creative writing to young writers who attend my workshops. I refer to my own experience and my books.

I might refer to “Nayagi” in Siru Kambam (DBP: 1996) and explain the whole process of producing the short story: the idea, additional information, setting, characters, historical information etc. It’s easier when I’m talking from my own experience in writing rather than trying to explain how A. Samad Said wrote his Salina or how K.S. Maniam wrote The Return.

> > > COMPLETE TEXT

        

   

      

     

Puisi

Asrar Kamar Hijau Sebuah

Raja Rajeswari

     

Bening pagi kutatap

buram durja bongsu

berbanjar-banjar

kekalutan kotak fikir

kekusutan kalbu yakin

jajahi jasad jahil

       

di sini kebermulaan

kisah keajaiban

titik kejayengan cambah

limpah muara gah

harung samudera arungan

berberita

kembara liku tidak selamanya liku!

      

Dibacakan di Rumah Pena pada 7 Jun 2002

Disiarkan dalam Berita Harian (13 Jun 2002)

      

    

     

     

Apa Khabar Mereka?

Kavya cuba mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti dan kehidupan beberapa individu yang sempat dihubungi.

     

      

Raja Rajeswari Seeta Raman semakin dikenali di kalangan peminat sastera tanah air, khususnya peminat puisi. Selepas membacakan dua puisi beliau pada Ratib Seribu Syair di Rumah Gapena November 2001 serta menyertai Bengkel Deklamasi Puisi Artistik di Port Dickson, beliau terus menerima jemputan untuk membaca puisi pada pelbagai acara. 

Antaranya rakaman baca puisi di RTM pada 12 Februari 2002; baca puisi di Rumah Pena pada 1 Mac 2002, 3 Mei 2002 dan 7 Jun 2002 serta di Menara Alor Setar pada 13 April 2002.

Raja Rajeswari boleh dihubungi melalui e-mel avg12345@tm.net.my

          

           

Uthaya Sankar SB yang menjadi Artis Berjadual sebagai Penyunting Berita Bahasa Malaysia di stesen televisyen RTM sejak Julai 1996 sudah menamatkan kontraknya pada Mei 2002.

“Saya memang suka bekerja di RTM … tambahan pula saya editor tunggal Bukan Melayu di meja Berita Bahasa Malaysia … tetapi saya terpaksa membuat keputusan ini supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga,” kata Uthaya kepada Kavya.

Walaupun sudah tidak bekerja di RTM, Uthaya ternyata sibuk sepanjang minggu dengan tugasnya sebagai pensyarah bebas di beberapa kolej swasta.

Alamat e-mel Uthaya adalah uthayasb@tm.net.my 

     

      

Vijayaletchumy menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 2000 lalu bekerja sebagai sub-editor di Business Times yang baru-baru ini digabungkan bersama akhbar New Straits Times.

“Ramai yang menyangka kerjaya dalam bidang kewartawanan (journalism) merujuk secara eksklusif pada kerja sebagai wartawan (reporter). Sebenarnya, terdapat satu lagi bahagian iaitu sub-editor,” beliau menjelaskan kepada Kavya.

Vijaya mengakui bahawa minatnya terhadap penulisan fiksyen semakin berkurangan. Malah, katanya, dunia ini sendiri merupakan fiksyen dan rekaan atau “maya” semata-mata.

E-mel vijyaletchumyv@yahoo.com

          

     

Vanakam

Antologi Cerpen Bahasa Malaysia

Penulis Kaum India Malaysia

Tahun terbit: 2002

Panchayat

Novel Bahasa Malaysia

Uthaya Sankar SB

Tahun terbit: 2002

       

     

Bahasa Jiwa Bangsa

       

Apakah istilah yang lebih sesuai digunakan apabila merujuk pada Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara ini: "Bahasa Melayu" atau "Bahasa Malaysia"? Mengapa?

      

Jai Shankar: Merujuk pada buku Malay, World Language: A Short History oleh James Collins, ternyata Bahasa Melayu merujuk kepada lingua franca Kepulauan Melayu secara umum. Manakala, saya percaya, ‘Bahasa Melayu’ yang digunakan di Malaysia merujuk kepada sejenis rumpun khusus yang hanya digunakan di Malaysia. Walaupun tidak ketara, memang jelas dan nyata bahawa perbendaharaan kata, sintaksis, cara pertuturan dan jati diri Bahasa Malaysia adalah berbeza berbanding rumpun Bahasa Melayu lain; misalnya dengan Bahasa Indonesia. Maka, lebih tepat jika versi ‘Bahasa Melayu’ yang digunakan di Malaysia dikenali sebagai ‘Bahasa Malaysia’.

     

Mohd Jusoh Majid: Bahasa selalunya merujuk kepada bangsa. Di Malaysia sekarang ini masih tidak ada ‘Bangsa Malaysia’. Yang ada ‘Melayu’, ‘Cina’, ‘India’ dan seterusnya. Jadi, kita tidak boleh sama sekali menamakan “Bahasa Malaysia”. Merujuk kepada Perlembagaan pula, ‘Bahasa Melayu’ merupakan ‘bahasa rasmi’ atau dikenali juga ‘bahasa kebangsaan’ dan hal ini telah pun diwartakan tanpa boleh dipertikaikan.

     

Sherine Ann Minjoot: Istilah yang paling sesuai digunakan semestinya “Bahasa Malaysia”. Majoriti rakyat Malaysia fasih menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Istilah “Bahasa Malaysia” pula memberi identiti dan keunikan tersendiri kepada bahasa kebangsaan yang digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” tidak ada kaitan langsung dengan unsur perkauman.

     

Warga Siber: Dari dulu lagi saya lebih suka kita semua menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” kerana istilah itu lebih akrab, serasi dan menjadi jati diri untuk semua rakyat Malaysia. Istilah “Bahasa Malaysia” juga adalah alat perpaduan rakyat Malaysia. Lihatlah bagaimana Indonesia berjaya menyatukan berbagai kaum dan puak dari ribuan pulau dan kita sendiri melihat mereka menyatakan dengan bangga, “Kami adalah anak Indonesia yang merdeka”.

       

Kemukakan pendapat saudara - sepanjang beberapa baris sahaja - untuk dimuatkan dalam surat berita Kavya keluaran akan datang. Sila hantar melalui e-mel sebelum 25 Julai 2002. Baca lebih banyak  PENDAPAT orang ramai.

       

       

Surat berita Kavya diterbitkan oleh Kavyan (Persatuan Penulis Kaum India Malaysia) mulai September 1999 untuk diedarkan kepada para ahli secara percuma. Mulai Julai 2002, surat berita ini mula dimuatkan di laman web. Kavya bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai karyawan, sasterawan dan seniman di kalangan kaum India di Malaysia; tanpa bernaung di bawah mana-mana parti politik atau pertubuhan lain. Orang ramai digalakkan mengirim bahan yang sesuai untuk dimuatkan dalam surat berita ini. Bahan yang dikirim perlulah dalam tulisan rumi. Panjang maksimum setiap bahan adalah satu halaman, langkau satu menggunakan program Microsoft Word. Kirimkan bahan kepada Uthaya Sankar SB melalui e-mel. Jangan kirim secara attachment! Pengesahan penerimaan akan dibuat bagi setiap bahan yang diterima melalui e-mel. Pihak editorial berhak menyunting bahan yang terpilih untuk disiarkan. ISSN: 1675-4042

            

Kembali ke Laman Utama Kavya