Seorang
penulis muda menelefon saya baru-baru ini. Katanya dia akan membeli
komputer. Dia yakin bahawa selepas itu, dia akan berupaya untuk berkarya dengan
lancar dan berterusan.
Beberapa
hari kemudian, dia menelefon saya semula. Katanya komputer sudah
dibeli. Seharian dia duduk menghadap PC.
Hasilnya? Tidak ada apa-apa!
Memang
ramai penulis muda yang mengandaikan bahawa komputer boleh membantu mereka
menulis. Memang benar. Saya sendiri sejak April 1994 berkarya menggunakan
komputer sahaja berikutan masalah pada tangan kiri. Saya biarkan
idea masak dalam kepala. Saya cari bahan bantu yang diperlukan. Saya buat
sedikit catatan supaya tidak terlupa.
Kemudian,
idea mengalir dari kepala melalui jari-jemari ke atas keyboard dan ke dalam komputer. Draf pertama itu dicetak dan diedit.
Ditokok-tambah jika perlu. Kemudian dibetulkan pada skrip
komputer sebelum dicetak semula. Disemak semula jika perlu. Maka
siaplah manuskrip sebuah cerpen.
Komputer
memang membantu melancarkan proses pengkaryaan. Akan tetapi,
komputer tetap sebuah alat; seperti mesin taip dan pena. Duduk merenung
sehelai kertas kajang yang kosong tidak menghasilkan cerpen. Duduk
menghadap sebuah mesin taip manual
mahupun elektrik tidak menjanjikan cerpen terhasil.
Begitu
juga dengan komputer. Duduk menghadap komputer dan melihat kursor
yang berkelip-kelip pada skrin kosong tidak akan membantu
menghasilkan karya.
Corak
aliran idea bolehlah digambarkan begini:
kepala
-->
jari -->
keyboard -->
komputer -->
manuskrip
Manuskrip
bercetak sama sahaja dengan manuskrip bertaip. Jari-jemari
digunakan sebagaimana menaip pada mesin taip. Kompter pula cuma sebuah mesin
ciptaan manusia.
Jadi,
yang tinggal hanya ‘kepala’ yang menjadi tempat di
mana terletaknya otak. Idea diperoleh melalui
penggunaan pancaindera
yang dikawal oleh otak.
Apabila
pancaindera sudah bertugas mengumpul idea dan bahan,
barulah idea itu boleh mengalir deras umpama jeram melalui jari-jemari.
Sekiranya kepala masih kosong, atau cuma ada idea yang masih mentah,
apa yang boleh lahir dalam bentuk manuskrip?
Penggunaan
komputer amat berguna kepada penulis yang
prolifik dan banyak idea. Lebih-lebih lagi bagi penulis yang
boleh merancang proses penciptaannya dalam kepala. Penulis
seperti ini tidak harus membazir masa membuat draf pertama yang
bertulis tangan. Kemudian ia ditaip, diedit dan ditaip semula
menggunakan mesin taip atau komputer.
Betapa
membazir masa! Mungkin mereka boleh mengupah jurutaip bagi menaip draf
kedua dan draf ketiga. Tetapi bukankah lebih baik jika komputer
digunakan sejak draf pertama? Walau bagaimanapun,
perlu diakui bahawa ada penulis – termasuk penulis mapan – yang tidak selesa
menggunakan komputer. Komputer masih
‘asing’ bagi mereka.
Bagaimana
pula dengan para Penulis Angkatan Baru yang
sudah biasa dengan komputer? Mereka harus membiasakan diri
menulis menggunakan komputer. Saranan ini adalah
demi kebaikan para penulis sendiri.
Malah
dengan adanya kemudahan komputer dan internet, para penulis berpeluang melayari
ruang siber untuk mengumpul bahan dan ilmu bantu. Saya pula secara peribadi
menggunakan laman web saya untuk membimbing golongan penulis remaja dalam
menulis karya kreatif.
Bagi
para peserta bengkel penulisan yang saya kendalikan,
saya mensyaratkan peserta menghantar karya kepada saya hanya melalui e-mel. Ia
antara lain bagi memastikan Penulis Angkatan Baru
biasa dengan teknologi internet, mel elektronik serta penggunaan komputer.
Penggunaan
komputer juga telah memudahkan usaha saya menerbitkan sendiri kumpulan cerpen Sasterawan
Pulau Cinta pada awal tahun 2001. Dan pada 2002, saya menyelenggarakan
pula sebuah antologi cerpen penulis kaum India.
Akan tetapi, sekali lagi perlu diingat bahawa penggunaan komputer sahaja tidak mencukupi. Penulis perlu lebih dahulu ada sesuatu untuk ditulis. Perlu ada bahan bagi karya. Perlu ada kreativiti. Kalau ada komputer tetapi tidak ada idea, maka tidak berguna juga. Lebih baik bermain computer games!
Uthaya Sankar SB