Cerpen Bahasa Malaysia dengan judul paling pendek - rujuk laman e-sastera untuk maklumat lanjut

        

O

         

Seingatnya, pada hari itulah isteri Tuan Kamal datang membisikkan sesuatu ke telinga lelaki yang miskin tetapi pemurah dan berjiwa rakyat itu. Ya, … pada hari itulah.

“Abang,” kata si isteri. “Beras tinggal sedikit sahaja.”

“Kalau beras sudah habis,” Tuan Kamal segera menjawab degan suara yang tenang, “kita jual sahaja tanah kita.”

Para pengemis terdiam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu.

“Akhirnya kita akan menjadi papa, bang!”

“Janganlah kau risau, wahai isteriku. Aku tahu apa yang aku lakukan. Aku akan terus memberi sedekah kepada para pengemis yang merempat ini selagi mereka terus datang ke pintu rumah kita … merayu-rayu dan meminta-minta.”

“Dan akhirnya menjadi papa?” Si isteri memintas.

“Tidak. Aku pasti bahawa sedekah yang kita berikan akan membawa berkat. Para pengemis ini sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup kita sekeluarga. Bukankah itu sudah memadai? Apa lagi yang kita perlukan? Malah, kalau aku bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya sekalipun, tidak mustahil aku boleh mendapat undi majoriti daripada golongan peminta sedekah ini.”

Para peminta sedekah terharu mendengar kata-kata tersebut.

“Tuan bagaikan watak Karna dalam epik Mahabharata!”

“Ya, tuan adalah dermawan yang unggul.”

       

Teks lengkap boleh dibaca dalam kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001)