Dia, Sebuah Pentas dan Drama Paul Lathic
Karya: Uthaya Sankar SB
Siapa
yang tidak kenal Paul Lathic. Zaman kanak-kanaknya, zaman remajanya, kisah
cintanya, hidup rumah tangganya, perjuangan politiknya, hidup peribadinya serta
apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya semuanya sudah dibukukan. Segenap
lapisan masyarakat sudah membacanya. Malah sebuah buku koleksi surat-suratnya
dijadikan bahan kajian oleh sejumlah sarjana bidang sastera dan kemanusiaan.
Siapa
yang tidak kenal Paul Lathic, negarawan unggul itu? Siapa yang tidak pernah
kagum dengan kepimpinan Paul Lathic. Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa
melaungkan kata-kata pujian terhadap pemimpin itu; walaupun hanya sebagai
mengulangi apa yang diajar oleh guru-guru sekolah.
Daripada
hidup sengsara di zaman kanak-kanak, Paul Lathic bekerja keras menuju zaman
kegemilangannya. Dilaluinya hidup remaja penuh pancaroba. Diredahnya alam
pekerjaan yang terlalu mementingkan pangkat dan wang. Akhirnya dia bangkit
melaungkan kata ‘merdeka’. Serta-merta selepas itu dia dilamar oleh seorang
tokoh politik. Tugasnya adalah untuk melaungkan kata ‘merdeka’ bagi pihak
parti XYZ pimpinan tokoh berkenaan.
Begitu
cepat sekali Paul Lathic berjaya menjadi anak emas tokoh berkenaan. Dalam masa
tidak sampai setahun sahaja dia masuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam
parti XYZ. Undian memihak 99% kepadanya memandangkan dia dicalonkan sendiri oleh
tokoh yang memegang jawatan tertinggi parti XYZ.
Kemudian,
baru lima tahun lalu Paul Lathic berjaya memegang jawatan tertinggi setelah
tokoh yang ‘melamar’nya dahulu meninggal dunia. Serta-merta Paul Lathic
diangkat menjadi ketua; sekaligus Presiden Pulau Cinta.
Tapi
tentu sahaja sepanjang terlibat dalam parti XYZ, dia terpaksa terlebih dahulu
memper-juangkan kemerdekaan Pulau Cinta daripada belenggu penjajah.
Perjuangannya yang bersungguh-sungguh itu tetap dikenang hingga hari ini.
Malah
apabila Paul Lathic meninggal dunia tahun lalu, pucuk pimpinan parti XYZ khasnya
dan rakyat Pulau Cinta amnya tertanya-tanya siapakah yang akan mengganti tempat
Paul Lathic sebagai pemimpin negara. Tiada tokoh yang difikirkan layak
selayak-layaknya. Tiada yang difikirkan akan dapat melaksanakan tugas pimpinan
sebaik Paul Lathic, pemimpin lagenda kebanggaan ramai itu.
“Wah!
Aku memegang peranan Paul Lathic,” katanya sendirian.
Kemudian
dia segera bangkit dari katil menuju ke cermin besar di sisi pintu bilik.
Dipasangnya lampu lalu memandang wajahnya di dalam cermin.
“Ya,
wajah aku memang iras wajah Paul Lathic!” Dia tersenyum. “Hidungku mancung
seperti hidungnya juga. Dan lihat. Oh! Bentuk fizikalku juga menyamai bentuk
tubuhnya.”
Ditenungnya
dirinya di dalam cermin. Dia tersenyum bangga. Diangkat-angkatnya kening sambil
merenung matanya sendiri. Kemudian ditariknya bibir ke kiri.
“Bukankah
ini stail Paul Lathic di zaman remajanya!”
Tapi
segera dia mengerutkan kening.
“Alamak!
Bukankah Paul Lathic ada gaya sendiri hampir setiap tahun?” fikirnya.
Semasa
di zaman remaja, dia suka menarik bibirnya ke sisi. Kemudian dia suka
mengangkat-angkat kening. Selepas itu ada pula dia memulakan trend
mengangguk-angguk semasa berucap di khalayak ramai. Kemudian macam-macam lagi
gaya yang terus sahaja menjadi ikutan ahli parti XYZ.
Dia
terdiam. Dia perlu tahu dahulu peringkat umur Paul Lathic yang akan dibawakannya
di dalam pementasan yang bakal diadakan. Kemudian barulah boleh dia melatih diri
secara intensif untuk menjiwai secara total watak dan perwatakan Paul Lathic yang dianggap lagenda oleh
penduduk Pulau Cinta.
“Mungkin
juga aku akan diminta membawakan peranan Paul Lathic sejak dia menjadi ahli
parti XYZ sehinggalah ke peringkat kejayaannya menjadi pemimpin parti XYZ.
“Wah! Itu tentu lebih mencabar kerana aku perlu menjiwai perwatakan Paul Lathic semasa dia mula-mula menjadi ‘kaki laung’ tanpa upah. Kemudian bagaimana sikap dan statusnya berubah apabila mula melibatkan diri dalam hal-hal politik. Kemudian bagaimana dia menjadi Presiden Pulau Cinta....”
____________________
Petikan teks di atas adalah daripada cerpen "Dia, Sebuah Pentas dan Drama Paul Lathic" yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia (8 Oktober 1995) serta termuat dalam kumpulan Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001). Petikan teks ini turut disiarkan dalam Risalah Online ArahKiri (Disember 2002).