Penulis Bukan “Penglipur Lara”
Oleh: Uthaya Sankar SB
SAYA suka
bercakap tentang karya-karya sendiri. I often quote myself. It adds spice to
my conversation, seperti kata George Bernard Shaw (Reader’s Digest,
Jun 1943). Ini terutamanya saya lakukan sewaktu berbincang dengan para Penulis
Angkatan Baru tentang bidang penulisan.
Setiap kali
menjelaskan sesuatu hal kepada para penulis yang meminta panduan dalam berkarya,
saya akan merujuk kepada proses penciptaan saya sendiri. Saya suka menarik
perhatian pembaca terhadap cerpen dalam Orang Dimensi
(DBP: 1994) atau
cerpen yang tersiar dalam Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera.
Saya jelaskan
bagaimana saya mendapat idea dan bahan bagi sesebuah cerpen. Bagaimana mengolah
cerita supaya menarik. Bagaimana untuk menangkap makna yang tersirat dalam karya.
Ini saya lakukan bagi membantu pemahaman mereka yang meminta panduan penulisan
dan proses kreatif.
Akan tetapi,
saya sentiasa tidak akan bercerita tentang cerpen yang belum saya hasilkan.
Maksudnya, cerpen yang masih dalam proses penciptaan. Mungkin cerita itu sudah
sarat dalam kepala saya. Segalanya bagaikan filem di layar yang menunggu masa
untuk ditulis pada kertas. Namun, saya tidak akan menceritakannya kepada sesiapa.
Ini bukan
bermakna bahawa saya bersikap kedekut ilmu. Jauh sekali takut idea saya diciplak
oleh penulis lain. Ada pendapat yang mengatakan bahawa seorang penulis hanya
menghasilkan sebuah karya sepanjang hayatnya. Saya tidak mahu membahaskan
pendapat itu di sini. Bagi saya, seorang penulis boleh menghasilkan sebuah karya
hanya sekali sepanjang hayatnya.
Dia mungkin
menulis draf awal dan kemudian menokok tambah. Tetapi cerita itu hanya berupaya
ditulis sekali sahaja. Jika dia berusaha menulis semula karya yang sama bagi
kali kedua, misalnya kerana kehilangan manuskrip, dia akan menemui kegagalan.
Mungkin karya kali kedua itu menjadi terlalu hambar dan hilang seninya.
Selain masalah
manuskrip hilang, masalah juga timbul daripada sikap penulis sendiri. Penulis
ketara bercerita secara lisan sebelum manuskrip cerpennya terhasil.
Saya sering
berhadapan dengan para penulis muda yang bersikap demikian. Mereka menceritakan
kepada saya apa yang mahu mereka tulis. Mereka beritahu saya plotnya. Ceritanya
begini, begini, begini. Watak itu berkonflik dengan watak itu berhubung hal
itu-ini. Watak itu memperjuangkan haknya dengan cara begini. Klimaks cerita
begini dan kisahnya berakhir begini.
Akan tetapi,
apabila si penulis tadi mahu mula menulis cerpen yang sudah pun diceritakannya
kepada saya, dia jadi terpinga-pinga. Katanya, dia tidak tahu apa yang mahu
ditulis. Fikirannya buntu. Akhirnya cerpen itu terbiar begitu sahaja.
Jika ditulis
sekalipun, ceritanya sudah tidak sama. Mutunya sudah kurang berbanding kisah
ayang diceritakannya kepada saya. Penceritaannya hambar dan kurang menarik.
Seninya tiada.
Sebenarnya,
secara psikologi, apabila ada sesuatu yang mengganggu fikiran dan perasaan kita,
maka kita akan berusaha untuk meluahkannya kepada seseorang.
Demikianlah,
apabila seorang penulis ada sesuatu yang mahu diluahkannya, dia akan menyalurkan
perasaan dan fikiran itu melalui karyanya. Segala protes, marah, sedih,
kebimbangan dan dilema dimanipulasikan dalam bentuk karya kreatif. Apabila dia
meluahkannya melalui penceritaan lisan kepada rakan-rakan, dia tetap mendapat
kepuasan.
Malangnya,
apabila dia sudah terasa puas, jiwa seninya akan hilang upaya untuk
mengungkapkan semula perasaan yang ada tadi. Maka akan gagallah dia menulis
cerita yang dirancangkannya.
Mungkin bagi
mengatasi masalah ini, penulis yang terlalu ingin bercerita perlu sentiasa
bersedia dengan perakam kaset. Setiap kali dia bercerita dengan penuh ghairah
kepada rakan-rakan, ceritanya harus dirakam. Kemudian didengar semula dan
ditulis dalam bentuk cerpen!
Atau secara
lebih praktikal, Penulis Angkatan Baru perlu meninggalkan sikap ayam yang riuh
sebelum bertelur. Jangan jadi tin kosong. Jangan juga sekadar menjadi penglipur
lara.
Mingguan Malaysia, 22 Oktober 1995