Mendekati Khalayak Remaja

Uthaya Sankar SB

    

Sebuah karya tidak bermakna sekiranya ia tidak sampai kepada khalayak. Khalayaklah yang merupakan pengguna kepada karya yang dihasilkan oleh penulis. Khalayak ini mungkin terdiri daripada golongan pelajar, pekerja bidang profesional, peminat sastera, pengkritik mahupun golongan penulis karya kreatif.

Golongan yang pelbagai jenis ini pula membaca sesebuah karya bagi tujuan yang pelbagai juga. Dua tujuan yang asas adalah bagi hiburan dan pendidikan. Selain daripada itu, ada beberapa lagi tujuan lain dan kita akan perhatikannya sebentar lagi.

Sebuah karya, apabila dibaca oleh khalayak, akan meninggalkan kesan di hati mereka. Hal ini lebih nyata apabila kita mengambil contoh filem. Golongan remaja sering terikut-ikut dengan gaya hidup dan perwatakan yang ditonjolkan di layar perak.

Dalam karya kreatif pula, kesan atau pengaruh yang wajar ditinggalkan di hati pembaca adalah kesan yang positif dan membina. Untuk itu, kita sebagai penulis harus memastikan bahawa karya yang dihasilkan adalah daripada jenis yang bermutu. Jika kita menyampaikan mesej yang kurang bermoral, maka mesej yang kurang bermorallah yang sampai kepada khalayak. Mesej yang kurang bermoral itulah yang meninggalkan kesan di hati khalayak remaja.

Telah saya nyatakan tadi bahawa tujuan asas pembacaan adalah bagi mencari hiburan. Sekarang ini memang terdapat banyak karya berupa cerpen, novel dan novel bersiri yang berupaya memenuhi citarasa sedemikian. Karya-karya seperti ini pada asasnya ditulis semata-mata bagi dijadikan bacaan ringan. Pembaca tidak diharapkan berfikir secara mendalam.

Novel Ika dan Maria yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Mingguan Malaysia berupaya memenuhi selera pembaca yang inginkan hiburan semata-mata. Demikian juga halnya dengan cerpen-cerpen yang disiarkan dalam kebanyakan majalah hiburan dan majalah untuk golongan remaja.

Khalayak yang inginkan hiburan ringan, sedikit unsur suspen pada plot cerita, sedikit sebanyak unsur picisan serta konflik yang remeh-temeh dan tidak mencabar minda akan terhibur membaca karya-karya seumpama ini. Akan tetapi, kita sebagai penulis muda – “Penulis Angkatan Baru” – yang berjiwa besar harus melepaskan diri daripada trend penulisan karya berselera rendah seperti ini.

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

Kita masih boleh menghasilkan karya yang berupaya menghiburkan pembaca. Malah, perlu diakui bahawa kebanyakan pembaca – terutama remaja – mahukan hiburan melalui karya yang mereka baca. Pada masa yang sama, kita sebagai penulis yang bertanggungjawab harus memastikan bahawa karya yang dihasilkan tidak berciri hiburan semata-mata.

Unsur didaktik dan moral adalah sesuatu yang dituntut dalam karya bagi bacaan remaja. Jadi, walaupun kita menulis kisah hiburan dengan mengangkat tema biasa seperti cinta dan alam persekolahan, biarlah karya yang dihasilkan itu punya unsur pendidikan yang membina.

Walau bagaimanapun, kita harus berwaspada agar tidak menyampaikan unsur moral, didaktik dan pendidikan itu secara melulu dan membosankan! Biarlah segala unsur yang disampaikan itu terjalin kemas dan indah dalam kisah itu sendiri; terpapar melalui perilaku watak, tindakan watak, dialog watak dan plot cerita itu sendiri.

Ada masanya pembaca mahukan hiburan semata-mata. Pembaca mahu menenangkan fikiran bagi melupakan masalah yang dihadapi. Dalam keadaan seperti ini, mereka akan memilih karya berupa fantasi dan imaginasi. Mereka mahu beralih ke dunia lain buat sementara waktu bagi menenangkan fikiran.

Cerpen-cerpen Nisah Hj Haron tentu dapat memenuhi selera pembaca kumpulan ini. Melalui cerpen “Annyss Sophillea” (Annyss Sophillea, 1993) misalnya, pembaca dibawa ke sebuah dunia fantasi yang menghiburkan. Pembaca dibawa ke sebuah alam fantasi yang amat berbeza dibandingkan dengan bumi.

Shamsinor Zaman Shamsuz Zaman pula membawa pembaca ke dunia fantasi sains melalui cerpen “Makmal ZNF” (Annyss Sophillea, 1993). Dengan itu, Shamsinor tidak sekadar menggunakan imaginasi bagi mencipta sebuah dunia fantasi. Sebaliknya dia juga menggunakan fakta dunia komputer bagi menjadikan cerpennya lebih mencabar dan membuatkan pembaca berfikir akan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku akibat perkembangan teknologi komputer pada masa hadapan.

Pertarungan antara dua perisian itu berlaku betul-betul di hadapan Zainuddin. Lingkaran data yang berbentuk DNA menyerang satu sama lain. Lingkaran yang besar berpecah menjadi lingkaran yang kecil. Lingkaran data antivirus yang lebih fleksibel merempuh data virus dari pelbagai penjuru. Data virus tersebut akhirnya berkecai. Data antivirus bersatu kembali menjadi lingkaran yang besar dan terus mantap di situ, berputar-putar di atas paksinya.

Si botak mendengus. Jarinya menekan butang Return sekali lagi. Gagal memusnahkan komputer Zainuddin bukan bererti gagal mengalahkannya. Si botak menyiapkan dirinya untuk pertarungan terakhir dengan Zainuddin di alam rekaannya sendiri.

Maka, karya Shamsinor tidak sekadar berciri hiburan dan fantasi melulu. Karya bermutu seperti itulah yang diharapkan dapat kita hasilkan. Saya katakan begitu kerana khalayak pembaca hari ini sudah tidak sama dengan khalayak pada masa lalu. Khalayak kini membaca bukan sekadar untuk hiburan. Remaja mahukan karya yang menyampaikan ilmu dan fakta yang logik.

Unsur intelek amat perlu diterapkan dalam karya. Pembaca mahukan sesuatu yang mencabar minda; sesuatu yang seiring dengan peningkatan tahap mentaliti mereka. Mereka mahu mendapatkan pendedahan baru melalui karya yang mereka baca. Pembaca hari ini bukanlah golongan yang pasif. Pembaca hari ini mahukan karya yang merangsang mereka untuk berfikir; karya yang berupaya meningkatkan tahap intelektualiti mereka.

Semua ini merupakan suatu cabaran kepada kita sebagai golongan penulis. Kita perlu sedar bahawa khalayak kita adalah golongan berpendidikan. Mereka tidak mahu disogokkan dengan karya berselera rendah; karya yang berfungsi sebagai hiburan semata-mata. Mereka mahukan sesuatu yang berciri eksperimental, tidak konvensional; sesuatu yang segar-baru-asli.

Berhadapan dengan golongan remaja menambah lagi beban tanggungjawab kita. Kita mahukan golongan remaja membaca karya-karya bermutu dan membina. Ini kerana mereka merupakan golongan yang paling mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca atau ditonton di layar perak.

Bagaimana hendak menarik minat pembaca sedangkan pembaca lebih terdorong membaca karya hiburan? Bagaimana hendak menarik minat pembaca remaja yang lebih mudah terpengaruh dengan dunia glamour dan cerita cinta?

Memang sukar untuk memberikan jawapan yang tepat bagi soalan seperti di atas. Akan tetapi, pada pendapat saya, kita sebagai penulis harus berusaha menarik perhatian pembaca dengan cara yang positif. Remaja, sebagai golongan yang belum cukup matang, memang mudah dilamun cinta. Kita jangan pula menulis kisah cinta yang mengkhayalkan dan di akhirnya diselitkan sedikit unsur moral! Pembaca mungkin lebih terpengaruh dengan unsur percintaan berbanding unsur moral yang disampaikan itu.

Sebaik-baiknya kita berusaha membuka fikiran pembaca. Janganlah kita turut menulis kisah-kisah cinta yang sememangnya sudah banyak berada di pasaran. Kita sepatutnya berusaha meluaskan lagi skop pandangan dunia remaja. Kita seharusnya meneroka tema-tema baru yang jarang diperkatakan. Melalui cara ini, kita pasti akan dapat menarik perhatian pembaca.

Seperti yang telah saya katakan, pembaca kita tidak mahu disuap dan disogokkan dengan tema-tema konvensional. Jadi, apabila kita meneroka tema-tema baru, mereka akan mudah tertarik untuk membaca karya yang kita persembahkan. Sebagai manusia biasa, pembaca juga mahu merasai sesuatu yang belum pernah mereka alami.

Dengan itu, apabila kita menulis cerpen bertema sejarah, pembaca akan dapat merasai sesuatu yang tidak berpeluang mereka alami. Akan tetapi, janganlah pula kita bercerita secara konvensional. Misalnya, tentu pembaca kurang berminat sekiranya kita mengulang cerita tentang pembunuhan J.W.W Birch.

Walau bagaimanapun, dengan menggunakan daya kreativiti, kita boleh mengolah semulakisah pembunuhan J.W.W Birch bagi menjadikannya lebih menarik. Sebagai contoh, dalam cerpen “Catatan Sipahi Muda” (Panglima Hirtam, 1994), saya menggunakan sudut pandangan (sudut pencerita) seorang sipahi muda kaum India. Jadi, cerpen itu menjadi lebih menarik untuk dibaca walaupun kisahnya tetap sama sahaja. Cubalah anda sendiri baca petikan ini:

Sipahi-sipahi kaum India nyenyak. Aku bangkit; berjalan menghampiri kumpulan lelaki Melayu itu. Dipelawa duduk, aku pun duduk.

“Belum mau tidur?” tanya seorang daripada mereka.

Aku menggeleng.

“Tuan Birch sudah tidur?” tanya lelaki yang berkain pelekat biru.

“Agaknya begitulah,” jawabku.

“Awak tahu orang-orang suruhan Sultan Abdullah mau membunuh Tuan Birch, kan?” tanyanya lagi.

Aku memandang perahu Dragon. Terapung-apung di muka air. Kemudian perahu itu menjadi tubuh Tuan Birch. Terapung.

“Ya,” jawabku setelah mematikan khayalan yang mengerikan itu.

Dalam antologi Kuala Lumpur (1991) pula termuat beberapa buah cerpen yang boleh membantu pembaca merasai peristiwa sejarah yang tidak pernah mereka alami. “Mimpi Senapati” mengisahkan perang saudara antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin pada tertengahan abad ke-19. Cerpen “Wizurai” pula berkisar tentang peranan Yap Ah Loy dalam perang saudara itu.

Khalayak mahu merasai sesuatu yang tidak berpeluang mereka alami. Misalnya seorang remaja mungkin ingin “merasai” suasana semasa Perang Dunia Kedua dan zaman pendudukan Jepun di Malaya. Remaja berkenaan memang boleh membaca tentangnya dalam buku sejarah. Tetapi apa yang terdapat dalam buku-buku sejarah hanyalah fakta-fakta yang ditulis menggunakan bahasa yang berciri komunikatif.

Kita sebagai penulis tentu boleh mengolah fakta-fakta berkenaan menjadi sebuah karya kreaif. Maka remaja akan berupaya “merasai” pengalaman yang ditampilkan melalui karya berkenaan. Contohnya cerpen “Catatan Sipahi Muda”, “Mimpi Senapati” dan “Wizurai” yang saya sebutkan tadi.

Tidak semua orang dapat menjadi doktor atau jurutera atau peguam atau pereka fesyen atau pakar komputer atau ahli politik atau penulis yang berjaya. Malah mungkin ada orang yang tidak tahu apakah bidang tugas seorang jurutera atau pengurus teater. Jadi, kita boleh mendedahkan dunia profesion ini melalui karya-karya kita. Kita boleh mencipta watak pengurus bank atau peguambela bagi mendukung cerita kita. Untuk itu, kita perlu memastikan bahawa fakta yang kita berikan berhubung profesion yang disebutkan itu adalah benar dan tepat.

Fakta-fakta ini boleh kita peroleh melalui pembacaan atau pergaulan dengan pegawai-pegawai dalam bidang berkenaan. Jadi pembaca akan dapat memahami dan merasai dunia profesion yang pelbagai melalui karya kita. Tambahan pula, kita tidak menyampaikan segala maklumat berhubung profesion itu dalam bentuk fakta-fakta kaku.

Sebaliknya kita menyampaikannya melalui tingkah laku, penceritaan, dialog dan aksi watak dalam realiti teks. Di samping berhibur, pembaca mendapat ilmu dan pendedahan yang cukup berguna melalui pembacaan karya sastera. Jadi pembaca akan lebih seronok membaca karya kita.

Sekadar contoh, pembaca mungkin tidak berminat membaca buku Penyakit Kerbau (1990) kerana ia dipenuhi fakta-fakta sahaja. Setelah membaca buku berkenaan, saya hasilkan cerpen “Selamat Jalan, Ayya” (Orang Dimensi, 1994). Hasilnya, pembaca boleh berhibur sambil menimba ilmu tentang penyakit kerbau apabila membaca cerpen berkenaan.

Kesan di hati pembaca juga jauh lebih nyata apabila mereka membaca cerpen “Selamat Jalan, Ayya” . pembaca berasa lebih sedih dan simpati terhadap kerbau bernama Ayya yang menghidap penyakit kuku dan mulut (foot and mouth disease). Perasaan simpati ini mungkin tidak timbul sewaktu membaca buku Penyakit Kerbau.

Jadi, penulis harus membantu pembaca “meneliti” hal-hal kecil yang mungkin tidak mereka sedari sebelum ini. Penulis harus membuka ruang bagi pembaca mempraktikkan apa yang dibaca. “Mempraktikkan” di sini tidak bermakna pembaca meniru apa yang disarankan oleh penulis. Sebaliknya ia bermaksud pembaca berfikir secara mendalam tentang apa yang diperkatakan oleh penulis melalui karyanya.

Saya ambil contoh cerpen “Bitara Sita” (Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1993) untuk menerangkan hal ini. Cerpen berkenaan merupakan parodi kepada salah satu kisah dalam epik Ramayana. Cuma cerpen ini menggabungkan antara kisah penculikan Sita dengan beberapa isu semasa.

Apabila membaca cerpen berkenaan, pembaca tidak sekadar terhibur dengan unsur humor yang terkandung di dalamnya. Sebaliknya pembaca diharap akan turut terangsang untuk berfikir. Misalnya dalam cerpen cerpen itu, Rama mensyaki kesucian Sita setelah melihat beberapa keping gambar foto yang diambil oleh Ravana. Apabila membaca bahagian ini, pembaca mungkin terangsang untuk menilai semula tindakan Rama. Atau sekurang-kurangnya akan menimbulkan minat pembaca untuk meneliti semula kisah berkenaan dalam epik Ramayana.

Nah! Sekurang-kurangnya cerpen berkenaan merangsang pembaca untuk berfikir; serta menimbulkan minat untuk membaca teks epik Ramayana atau Hikayat Seri Rama sama Ramakien. Demikian juga halnya dengan cerpen “Sengketa Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 23 April 1995) yang mengisahkan pergelutan antara Rama dan Ravana di tengah jalan raya.

Apabila membaca sebuah karya yang bermutu, pembaca ketara membandingkan kisah di dalam karya berkenaan dengan kisah di alam realiti. Misalnya apabila membaca cerpen “(2) Post-mortem” (Dewan Sastera, Februari 1994), pembaca secara langsung akan mula mengimbas kembali insiden penderaan Balasundram.

Secara tidak langsung pula cerpen berkenaan boleh menukar fikiran dan tanggapan pembaca. Mungkin selama ini pembaca menerima bulat-bulat apa yang dilaporkan di akhbar berhubung kes penderaan itu. Tetapi setelah membaca cerpen “(2) Post-mortem”, pembaca mungkin akan mula menilai semula segala apa yang terjadi.

Saya tidak bermaksud hendak mengatakan bahawa Sinnasamy (atau Periasammi dalam cerpen) tidak mendera Balasundram (atau Sinnapayya dalam cerpen). Saya tidak punya bukti yang nyata untuk itu. Cuma, setelah membaca cerpen berkenaan, pembaca mungkin mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan lain berhubung siapa yang sebenarnya mendera Balasundram @ Sinnapayya serta kemungkinan ada komplot besar di sebalik kisah penderaan itu.

Saya timbulkan beberapa kemusykilan di dalam cerpen berkenaan bagi menimbulkan kesan yang lebih mendalam di hati pembaca. Misalnya:

Mak Kiah hanya menyedari kehadiran Sinnapayya di rumah Suppamah selepas hampir tiga bulan anak itu berada di sana. … Mengapa tidak mungkin Mak Kiah juga tidak menyedari kedatangan Si Misai ke rumah Suppamah?

dan

“Jadi lelaki bermisal tebal yang Periasammi …?”

“Alexlah orang itu. Dia yang mendera Boy. Di hospital dulu, Alex pergi menemui Suppamah semasa Periasammi ke kantin. Alex juga yang menyuruh Supammah meninggalkan Boy di tandas kerana Alex takut sindiket pelacurannya terbongkar jika Suppamah sendiri membawa Boy kepada doktor.”

dan

“Yang menghairankan saya, seorang suri rumah bernama Mallathi pada mulanya datang berjanji pada saya untuk tampil memberi keterangan membela Periasammi. Malah dia boleh dikatakan sebagai saksi utama dalam kes ini. Malangnya dia telah menghilangkan diri di saat-saat akhir.”

dan

“Jadi, mayat reput yang ditemui di dalam lombong dipenuhi keladi bunting itu adalah mayat Mallathi?”

“Ya. Kami semua tidak berani menuduh Alex semasa perbicaraan mahkamah dulu sebab takut nasib yang sama menimpa kami.”

Kemusykilan-kemusykilan yang ditimbulkan ini adalah bagi membuatkan pembaca memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak mustahil telah berlaku. Malah sudah ramai rakan yang bertanya pada saya, adakah saya benar-benar melakukan penyiasatan kes Balasundram sebelum meulis cerpen berkenaan.

Sebenarnya saya hanya mengkaji segala laporan akhbar berhubung perbicaraan kes penderaan itu. Kemudian saya gunakan sedikit imaginasi serta sedikit logik bagi mencari lompang-lompang dalam proses perbicaraan kes itu. Selebihnya saya biarkan pembaca membuat penilaian dan penafsiran. Saya membiarkan agar pembaca tampil meneruskan “penyiasatan” yang dilakukan dalam cerpen berkenaan.

Anda berminat?

Apa yang mahu saya tekankan di sini adalah bahawa setiap karya kita perlu berupaya merangsang pembaca untuk berfikir. Pembaca hari ini tidak mahu menerima bulat-bulat apa yang ditulis oleh pengarang. Saya sendiri apabila membaca sebuah karya sastera tidak mahu “diajar” oleh penulis. Sebaliknya saya mahu agar penulis menyediakan ruang untuk saya “berfikir” sendiri. Saya mahukan karya berciri to show (menunjukkan) atau to suggest (mencadangkan); bukan to tell (memberitahu) semata-mata.

Pembaca adalah pengguna kepada teks yang kita tulis. Royalti yang kita terima bergantung pada jumlah cetakan dan jumlah jualan buku – antologi cerpen atau novel – kita di pasaran. Sekiranya hasil tulisan kita memenuhi selera pembaca, barulah kita boleh menerima royalti yang setimpal.

Selera pembaca pula pelbagai. Ada yang memilih bahan bacaan berselera rendah dan picisan. Untuk merekakah anda ingin menulis? Jika demikian, hentikan segera pembacaan ini!

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

 

Melalui artikel ini saya sedang berusaha memberikan beberapa saranan bagi menghasilkan karya yang bermutu. Sasaran khalayak yang menjadi tumpuan saya adalah pembaca remaja yang dahagakan karya bermutu; karya yang punya nilai sastera dan intelek.

Apa yang kita tulis boleh meninggalkan kesan di hati pembaca. Tulisan kita berupaya merangsang pembaca untuk bertindak. Kita boleh merangsang pembaca untuk berfikir secara lebih mendalam akan sesuatu kejadian. Tulisan kita boleh mengubah fikiran dan pendirian mereka.

Akan tetapi, semua ini boleh dilakukan hanya apabila kita menghormati mentaliti khalayak pembaca kita. Percayalah, tidak ada seorang pun pembaca karya sastera yang bodoh, yang boleh menerima bulat-bulat idea bodoh kita. Pembaca memiliki fikiran yang tajam dan intelek yang tinggi.

Mereka inilah yang seharusnya menjadi pembaca sasaran kita. Untuk itu, kita sebagai “Penulis Angkatan Baru” harus menghormati mereka. Kita tidak boleh memperbodoh-bodohkan mereka dengan menulis sesuatu yang mempermainkan intelektualiti mereka. Pembaca hari ini sudah tidak mudah terpikat dengan kisah cinta yang romantis. Hero yang serba boleh juga sudah boleh ditertawakan oleh mereka.

Sebaliknya pembaca hari ini mahukan karya bermutu, yang mencabar minda, yang merangsang pemikiran kritis dan yang menghormati tahap mentaliti mereka. Menyedari hakikat itulah maka saya sentiasa berusaha menghasilkan karya yang memberi cukup banyak ruang kepada pembaca untuk berfikir. Saya tidak menulis dari A hingga Z. sebaliknya saya biarkan lompang-lompang untuk diisi oleh pembaca.

Jawapan bagi sesuatu persoalan mungkin terdapat dalam cerpen yang saya hasilkan; tetapi saya tidak menyebutnya secara terus-terang. Sebaliknya saya memberi peluang kepada pembaca untuk membuat tafsiran sendiri berpandukan tahap pemahaman dan pemikiran kritis mereka.

Bukankah karya sastera subjektif sifatnya? Maka itulah saya suka memberikan kebebasan kepada pembaca untuk membaca karya saya sama ada untuk tujuan hiburan, menimba ilmu, kritikan atau apa sahaja tujuan yang wajar.

Satu contoh cerpen yang demikian adalah “Kucing Jalang, Kucing Tempatan” (Orang Dimensi, 1994). Cerpen itu boleh dibaca sebagai sebuah cerpen bertemakan kasih sayang antara manusia dan binatang. Pada masa yang sama, ia boleh juga dibaca sebagai kiasan dan kritikan terhadap Perang China-Jepun (1894-95).

Demikian juga halnya dengan cerpen “Nayagi” (Menara 5, 1995) yang sekaligus mengutarakan persoalan hak seorang wanita memilih bakal suami dan persoalan cinta terhadap tanah air. Cerpen ini juga tidak diberikan penyelesaian yang nyata. Sebaliknya terpulang kepada pembaca sendiri untuk mentafsir tanda-tanda yang terdapat dalam cerpen berkenaan untuk membuat keputusan.

Air mata Madhavi masih tetap terlalu mahal untuk dipersia-siakan. Madhavi pasti negara ini akan merdeka pada suatu hari nanti. Dalam perlembagaan negara merdeka itu nanti akan dinyatakan hak asasi individu. Pada saat kemerdekaan itulah nanti air mata gadis ini akan mengalir deras. Itu pasti, bagi Madhavi.

dan

Dia mendengar dengan teliti setiap kata penceramah itu: untuk memerdekakan negara, rakyat perlu merdeka. Untuk rakyat merdeka, kaum wanita perlu terlebih dahulu merdeka. Wanita perlu meninggalkan kevala dan mencari sakala! Mana boleh anak-anak bangsa merdeka jika kaum ibu yang mengandungkan mereka masih belum merdeka.

dan

Diam. Sepi. Kaku. Hanya api di hujung sumbu pelita yang terliuk-liuk mempertahankan diri daripada terpaan angin malam yang mahu mencipta kegelapan.

dan

Hanya kini air mata suamnya gugur hampir-hampir menimpa sumbu pelita yang masih tetap menyala dan menyinari rumah yang gelap itu.

Apabila berkarya, kita harus sentiasa ingat bahawa pembaca karya kita bukan calang-calang orang. Teks karya sastera kita bakal meninggalkan kesan pada khalayak. Karya yang baik akan diterima dan disambut baik. Karya yang memperbodoh-bodohkan pembaca akan ditertawakan oleh mereka; tentunya dan selayaknya.

Jadi berwaspadalah bewaktu berkarya. Bagi memastikan bahawa karya yang dihasilkan mendapat tempat di hati khalayak, kita harus – malah wajib – memastikan mutu karya berkenaan. Senantiasalah menulis karya yang bermutu dan bermanfaat kepada khalayak.

Dewan Sastera, Julai 1995

Kertas kerja ini dihasilkan bagi “Diskusi Penulis Muda” sempena Hari Sastera Malaysia ke-XI di Melaka pada 27 Mei 1995