Puisi-puisi Uthaya Sankar SB
Ozon
... dia masuk ke rumah hijau dan membunuh diri. dia pernah bermimpi masuk ke rumah hijau dan membunuh diri. dia pernah masuk ke rumah hijau dan bermimpi membunuh diri. di waktu kecil, dia membunuh diri di rumah hijau untuk bermimpi masuk ke rumah hijau. kali ini, dia benar-benar masuk ke rumah hijau dan membunuh diri. dan dia pun bermimpi hijau: ... dia masuk ke rumah hijau dan membunuh diri. dia pernah bermimpi masuk ke rumah hijau dan membunuh diri ...
[Puisi ini tersiar dalam majalah Bahana (DBP Brunei) keluaran Oktober 1998]
Terdampar
Perahu sebuah itu
terdampar di pantai penderitaan
ditinggalkan
setelah pecah dindingnya
dilanggar musuh
setelah reput dindingnya
ditelan usia
semasa berbakti kepada tuannya
26 Februari 1988
(Termuat dalam antologi Erti Kedewasaan, DBP: 1993)
Masa
Masa berlalu pantas, anakku
lihat camar riang di pantai
ingin bermain ombak
membuka sayap
terpaksa pulang ke sarang
hari telah malam
Masa berlalu pantas, anakku
lihat bintang di langit
ingin bersinar manja
mengerdip cahaya
kehampaan
hari telah siang
17 September 1988
(Termuat dalam antologi Erti Kedewasaan, DBP: 1993)
Gelap 3
Dalam gelap
ada bintang kecil
kerdipnya menyilau
ada gembala masih tercari-cari
bebirinya yang hilang
ada sampan tertambat
di pelabuhan menanti esok
meneruskan pelayaran
Dalam gelap
ada kunang-kunang manja
menari-nari melukiskan corak ria
ada pohoh ru tua
menggayakan tarian seramnya
ada kali keruh airnya
ada darah di kaki lima
ada asap di udara
ada api di belantara
tidak sampai ke pancaindera
Dalam gelap
ada manusia rebah
ada manusia mengait mimpi
ada yang bangun mencapai
ada yang berjaya
Dalam gelap
ada seribu rahsia misteri
ada cerita berbingkai
Mingguan Malaysia, 8 November 1992
Sesekali
Sesekali kita membuka
diari dan mencari peristiwa
manis yang dialami tetapi
seringkali ia dipenuhi
yang sedih dan mengecewakan
Sesekali kita bertemu
lalu memulakan cerita
masa lalu untuk kita
lupakan peristiwa masa
kini buat sementara
Sesekali kita membuka
kamus hidup dan mencari-cari
makna realiti
Sesekali kita tertanya
sendiri: mengapa begini
14 Disember 1988
(Termuat dalam antologi Erti Kedewasaan, DBP: 1993)
Puisi-puisi Intertekstual
1. Air Mata Hanuman
dari
hati
kecil
g
u
g
u
r
t t
u u
a a
t a a t
u s u
menimpa
hati batu
2. Bingkai Malam
mungkin malam masih merindui
siang singgah sebentar
mengisi masa menumpang manja
sebelum sepi sunyi sampai
3. Haruan
kubunuh haruap lahap
makan anak sendiri
anaknya kini
korban!
dimamah sepat
4. ---
UNTUK SEKALI INI
BIAR AKU MEMBATALKAN SAHAJA
PUISI INI KERANA IA MASIH
PUNYA MAKNA TERSENDIRI
5. Sea Games XIX
pertama kali
hanuman
tersenyum girang
tidak garang
Jakarta, Oktober 1997
[Puisi ini tersiar dalam majalah Bahana (DBP Brunei) keluaran Disember 1997]
Soroswati
kami juga ada di sini menyaksikan pemidato mengapi-apikan khalayak: "dialah puncanya. kami memang perancang ekonomi yang hebat. tapi dialah penyangak." dan salah seorang daripada kami bertanya: "siapakah dia, pak?" katanya, "dialah puncanya. kami memang perancang ekonomi yang hebat. tapi dialah penyangak." dan seorang daripada kami bertanya lagi, "apa yang dibuatnya, pak?" katanya, "dialah puncanya. kami memang perancang ekonomi yang hebat. tapi dialah penyangak." tanpa sabar, seorang lagi berterus terang, "kami orang kampung, pak. siapa dia sebenarnya?" katanya, "dialah puncanya. kami memang perancang ekonomi yang hebat. tapi dialah penyangak." benar, kami juga ada di sana menyaksikan pemidato mengapi-apikan khalayak: "dialah puncanya. kami memang perancang ekonomi yang hebat. tapi dialah penyangak."
Jakarta, Oktober 1997
[Puisi ini tersiar dalam majalah Bahana (DBP Brunei) keluaran Mei-Jun 1999. Juga disiarkan dalam SuaraAnum.com keluaran 15 April 2002]
Api di Hujung Sumbu
Sebatang lilin kuhidupkan
dan kulihat cahayanya
menerangi kamar kecilku
Datang seekor serangga kecil
bermain api
Kasihan! Mati hangus ia
Kurenung api di hujung sumbu
menari-nari mengikut alunan angin
yang kian deras, kian laju
Api di hujung sumbu ghaib
meninggalkan kepulan asap
dibawa angin menggila
26 Disember 1988
(Termuat dalam antologi Erti Kedewasaan, DBP: 1993)
Syair Persahabatan
Dengar anakku, dengar cucuku
datuk menasihat sambil berlagu
Persahabatan itu ibarat paku
boleh mencucuk kalau diragu
Memilih sahabat biar berjaga
supaya kelak tidak wasangka
Hendak bergaul begitu juga
jangan ada rasa prasangka
Sahabat handai tidak dibeli
tidak diupah sebagai kuli
Janganlah engkau cuba membuli
nanti disengatnya bagai keli
Sahabat yang baik ibarat intan
wujudnya asli bukan buatan
Ingat pesan datuk sebagai ingatan
jangan dibuang ke dalam lautan
Termuat dalam antologi Pusaka Zaman terbitan Kemudi sempena Temu Puisi '94
Mantera Jalan Chow Kit
Pada Engkau aku memohon
tiada kusembah selain Kau
jauhkan bala jauhkan bencana
lindungi aku setiap masa
Aku berjalan menyusur lorong
banyak syaitan banyak iblis
cuba menggoda atas dan bawah
Pada Engkau aku menyerah
lindungi aku daripada tergoda
aku tersesat masuk ke sini
tidak kusangka sarang maksiat
Lindungi aku setiap masa
jauhkan aku daripada terbabas
tunjukkan aku jalan yang betul
tunjukkan aku jalan keluar
Termuat dalam antologi Pusaka Zaman terbitan Kemudi sempena Temu Puisi '94
Lagi puisi Uthaya Sankar SB di SINI
Puisi Penulis Kaum India di SINI
Puisi Bertema Bahasa Malaysia di SINI