SB

         

“Saya dah cuba mengirim karya-karya saya ke pelbagai penerbitan tetapi tidak tersiar. Mungkin kerana belum ada nama. Cerpen awak pula sentiasa tersiar di mana-mana. Kedudukan awak dalam dunia sastera Malaysia sudah kukuh.”

“Lalu?”

“Saya akan hasilkan karya menggunakan nama awak.”

Begitulah permulaannya. Saya akan tulis cerpen untuk disiar menggunakan namanya. Atau saya berikan bahan untuk dia sendiri tulis.

Agaknya kini dia takut akan kehilangan saya. Takut kehilangan bahan cerita. Tetapi dia tidak berhak untuk menghalang saya. Saya menuntut hak untuk berdikari. Saya bukan lagi sekadar salah suatu watak ciptaannya dalam dunia realiti teks.

Saya berciri de facto dan telah sedia wujud dalam realiti objektif. Dia hanya menambah elemen-elemen tertentu pada diri saya untuk menjadikan saya lebih sempurna. Sebagai membalas jasa, saya membekalkannya dengan bahan cerita untuk berkarya. Saya juga menjadi ghost-writer untuknya.

Apa lagi yang dia mahu?

“Jangan pergi dulu. Biar saya perbetulkan malfunction dalam diri  awak. Your true identity is still in the dark. Awak mungkin mengalami d.t.’s,” pemuda itu semacam merayu sewaktu saya sudah bersiap sedia untuk pergi meninggalkan bilik kecil yang menjadi perpustakaan @ bilik menulis @ bilik tidurnya.

“Ah! Delusion.”

Tanpa mengendahkan rayuannya, saya mengambil kad pengenalan, kunci kereta, lesen memandu serta dokumen-dokumen penting yang lain.

The die is cast. Tetapi jangan bimbang; saya akan terus mengirim bahan cerita kepada awak. Awak boleh debrief apabila saya datang berkunjung lagi,” saya berpesan sebelum melangkah keluar.

Tanpa menanti untuk melihat reaksinya, saya memandu pulang. Seperti biasa, kereta Austin Se7en saya menjadi tumpuan orang ramai di jalan raya.

    

Teks lengkap boleh dibaca dalam kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001)