Sasterawan Pulau Cinta

© Uthaya Sankar SB

         

SERTA-MERTA para ibu bapa menghalang anak-anak mereka pergi ke sekolah beraliran sastera. Pihak pentadbir sekolah gagal memujuk mereka. Para pelajar pun mula seronok dan bersuka ria. Mereka malah berterima kasih atas insiden runtuhan tanah di lereng bukit. Masyarakat umum pula mula semakin rancak mengutuk golongan penulis.

“Mampus para sasterawan!”

Media massa melaporkan bahawa dua puluh orang termasuk seorang bayi berusia lima bulan menjadi mangsa tragedi berkenaan. Kesemuanya mati serta-merta. Hanya mayat-mayat kaku ditemui di dalam lumpur, di dalam kereta dan di dalam gaung. Dua puluh orang pula cedera dan dimasukkan ke hospital. Pasukan penyelamat masih giat menggali tanah lumpur yang dipercayai menimbus beberapa lagi mangsa. Diyakini tentu golongan sasterawan juga!

Tragedi tanah runtuh ini mendapat liputan menyeluruh setiap media cetak dan media elektronik. Malah dalam sehari dua lagi mungkin akan menandingi priority yang pernah diberikan terhadap liputan insiden pergelutan antara pihak diraja dan pihak pemerintah di tengah jalan raya tidak lama dahulu. Insiden itu dulu mempunyai nilai berita yang tinggi kerana melibatkan dua tokoh terkemuka: Rama dan Ravana. Kini tragedi ini pula memiliki nilai human interest yang dekat dengan masyarakat umum.

Sumber-sumber yang dikumpul menunjukkan bahawa tragedi tanah runtuh ini berlaku sekitar pukul 5:30 petang. Hujan lebat pada waktu itu. Beberapa buah bas dan kereta terperangkap di dalam timbunan tanah dan lumpur di atas jalan raya di lereng bukit. Malah sebahagian runtuhan itu melimpah ke dalam gaung bersama-sama beberapa buah kenderaan!

Salah seorang mangsa yang terselamat memberitahu pihak media massa bahawa setelah bas yang dinaikinya berhenti di tengah jalan raya apabila berlaku suatu runtuhan kecil di lereng bukit, pemandu bas berkenaan telah meminta para penumpang agar turun segera dan mencari suaka. Tetapi, kata mangsa tadi, belum sempat mereka sedar daripada perasaan bingung, cemas dan tercengang-cengang, suatu runtuhan tanah yang maha besar berlaku lalu menghanyutkan mereka semua bersama-sama tanah lumpur yang telah menimbus mereka jatuh ke gaung di lereng bukit.

          

Petikan cerpen "Sasterawan Pulau Cinta" dalam Mingguan Malaysia, 12 November 1995 serta kumpulan Sasterawan Pulau Cinta (2001)