Sewaktu
saya menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) Ke-VI pada 19-23 Ogos 1991, saya
merupakan peserta termuda. “Muda” bukan dari segi usia tetapi dari segi
pengkaryaan. Atau lebih tepat lagi, dari segi kuantiti karya yang sudah tersiar
dalam media massa.
Para
peserta lain sudah banyak berkarya serta banyak tersiar dalam pelbagai media
serta menang banyak pertandingan menulis. Karya saya pula sehingga itu belum
pernah tersiar di mana-mana media bertaraf nasional. Salah saya juga kerana
tidak mengambil inisiatif mengirimnya ke mana-mana.
Sepanjang
MPR 1991 juga saya berpeluang mendengar ceramah Pak Arena Wati, Pak Shahnon
Ahmad, Pak A. Samad Said, Pak Haji Othman Puteh dan Pak Rahman Shaari. Tidak
terkecuali juga peluang mengenali Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah dan Tuan
Faridah Syed Abdullah – sekadar menyenaraikan beberapa nama.
Ahmad
Patria menasihati saya, “Uthaya,
versatility is an advantage. To be able to use the sword with both hands
is a great gift.”
Tuan Faridah pula mengingatkan, “Sekali menulis, terus menulis.”
Banyak
yang saya belajar daripada abang-abang, kakak-kakak, mak cik-mak cik dan pak
cik-pak cik yang lebih dulu terlibat dalam dunia sastera. Malah banyak juga yang
saya pelajari daripada adik-adik yang menyertai MPR selepas saya. Dan jangan
terkejut jika pada kali ini juga saya berpeluang belajar banyak perkara daripada
anda yang menyertai MPR 1997.
Walaupun
saya peserta “termuda” semasa menyertai MPR 1991, saya menerima layanan baik
daripada pihak DBP. Mereka tidak memandang rendah pada saya walaupun pada waktu
itu belum ada karya saya yang tersiar. Hubungan mesra itu masih terus terjalin
hingga kini. Walaupun sudah banyak karya tersiar, hubungan kami masih mesra.
Malah
kami sudah menjadi semacam sebuah keluarga. Hubungan kami cukup mesra, erat,
intim dan ikhlas. Kalau anda terus aktif berkarya – karya berkualiti tentunya
– serta cepat mesra, anda juga akan berpeluang menjadi sebahagian daripada
keluarga DBP. Bermula dengan menjadi anak angkat DBP selama seminggu, anda juga
boleh menjadi sebahagian daripada keluarga DBP.
Hubungan
yang terjalin amat perlu dikekalkan dan dipereratkan. Ini penting dan bermanfaat
kepada semua pihak yang terbabit. Apatah lagi dalam usahasama memartabatkan
sastera kebangsaan.
Para
peserta MPR cukup bertuah kerana pasti diberi prioriti dalam penilaian karya
untuk diterbitkan – dengan syarat karya yang dihasilkan mencapai mutu yang
diharapkan. Tidak sekadar “dimanjakan” selama seminggu; malah diberi peluang
menjalin hubungan kekeluargaan yang kekal abadi.
Pada
waktu begini, saya tidak dapat tidak semakin kerap terkenangkan segala
pengalaman sewaktu menyertai MPR 1991. Saya teringatkan Shazmira, Rjmi, Lim Wye
Leong, Lee Kok Ann, Saharil, Shazmee, Roslan Jomel, Salina, Azlina … Cukup
indah pengalaman kami berkampung di Kompleks Belia Antarabangsa, Cheras.
Apa
khabar mereka agaknya? Ada beberapa antara mereka masih saya hubungi. Di
kalangan mereka yang masih saya hubungi, ramai yang sudah tidak berkarya.
Peserta-peserta lain pun begitu juga. Malah begitu juga nasib sekian ramai bekas
peserta MPR.
Ini
merupakan suatu kerugian kepada dunia sastera tanah air. Juga pembaziran bakat
dalam diri para peserta sendiri. Semoga perkara seumpama itu tidak akan berulang
di kalangan anda semua.
2.
Saya
percaya anda semua berharap akan “belajar” sesuatu melalui sesi ini. Itulah
juga tujuan pihak urusetia meminta saya bercakap di hadapan anda. Saya diminta
bercerita tentang proses kreativiti saya. Namun, saya meminta izin untuk turut
bercakap tentang beberapa perkara lain yang berkait dengan dunia penulisan
sastera tanah air.
Penglibatan
awal saya dalam bidang penulisan dapat anda baca dalam Prakata berjudul
“Penulis Ialah Penimbul Persoalan …” pada bahagian prelim
kumpulan cerpen Siru Kambam. Tidak
perlulah saya mengulang perkara yang sama di sini. … Sekurang-kurangnya bagi
memastikan bahawa anda akan ke kedai buku selepas ini untuk mendapatkan buku
berkenaan!
Saya
rasa lebih sesuai jika saya menyentuh perihal bagaimana saya berpeluang
menyertai MPR. Ini adalah wajar memandangkan – seperti yang telah saya akui
tadi – karya-karya saya tidak tersiar di Dewan
Siswa sebelum saya menyertai MPR.
Begini
kisahnya: Saya memang gemar membaca dan menulis karya kreatif sejak
kecil. Karya-karya saya kemudian mula tersebar di kalangan rakan-rakan
Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping. Guru-guru saya, khasnya En Mokhtar, Pn
Hadebah Duseh, Pn Hasnah dan Cik Pragasam memberi galakkan. Namun, cerpen-cerpen
awal saya yang berbentuk juvenilia belum
saya bukukan.
Di
peringkat sekolah dan daerah, saya terlibat secara aktif dalam pertandingan
pidato, deklamasi puisi, drama, bahas dan pantun. Begitu juga dalam berpersatuan.
Saya memegang jawatan-jawatan penting dalam Persatuan Bahasa Malaysia, Bahasa
Tamil, Bahasa Inggeris serta beberapa kelab.
Saya
terlibat sama dalam penghasilan majalah persatuan dan sekolah. Dalam persatuan,
kami susun aktiviti yang ada kaitan dengan dunia penulisan kreatif. Semua ini
menjadi asas kepada minat saya dalam bidang penulisan. Saya terus menulis dan
menulis untuk diri sendiri, rakan-rakan dan majalah sekolah.
Bersama
Jeffry Mohd Rejab dan Adik Muhammed Amin pula saya kendalikan Kursus Penghayatan
Cerpen peringkat daerah pada Mei 1991. Semua itu saya lakukan lantaran minat
yang mendalam terhadap penulisan sastera.
Penglibatan
saya dalam bidang penulisan mula semakin terarah setelah berpeluang menemui
saudara A. Rahim Abdullah (kini di Berita
Harian) sewaktu beliau memberi ceramah “Sastera Melayu Membuka Jendela
Dunia” di Dewan Perbandaran Taiping pada 14 Jun 1991 sempena Pesta Buku. Saya
pada waktu itu menjadi pengacara Majlis Sayembara Deklamasi Sajak Peringkat
Menengah Rendah.
Sewaktu
sesi soal-jawab selepas ceramah tersebut, saya telah banyak bertanya kepada
saudara A. Rahim Abdullah tentang peluang yang ditawarkan oleh DBP kepada
penulis remaja. Tambahan, beliau pada waktu itu terlibat dalam Skim Penggalakan
DBP. Beliaulah yang telah meminta saya kirimkan manuskrip cerpen saya kepada
beliau untuk diteliti dan dikomen. Beliau juga sempat menasihati, “Selamat
belajar dan menjadi penulis besar!”
Lalu,
dengan semangat berkobar-kobar, saya kirimkan manuskrip cerpen “Mereka Tidak
Mengerti” kepada beliau. Saya telah mengharapkan agar cerpen saya dikomen dan
dikembalikan. Tetapi saudara A. Rahim Abdullah tidak pernah memulangkan
manuskrip itu.
Sebaliknya,
pada 26 Julai 1991, saya menerima surat jemputan menyertai MPR. Rupa-rupanya
saudara A. Rahim telah mengemukakan manuskrip “Mereka Tidak Mengerti” kepada
urusetia MPR dan editor majalah Dewan
Siswa.
Jika
bukan kerana MPR, nescaya saya masih seperti ramai penulis amatur yang
terkial-kial mencari tempat untuk berpijak atas peta dunia sastera. Apabila saya
menyebut “MPR”, saya maksudkan setiap individu yang terlibat dalam
menjayakannya. Mustahil dapat saya senaraikan nama setiap daripada mereka di
sini.
Sejak
menyertai MPR, saya terus aktif menghasilkan karya sastera yang saya yakini
mutunya. Segala pujian kepada Tuhan yang menganugerahi saya bakat penulisan. Dan
ucapan terima kasih saya kepada semua pihak yang memberi peluang penyiaran karya
saya. Terima kasih daun keladi … .
3.
Saya
tergolong dalam kumpulan penulis yang suka bercakap tentang karya sendiri.
Tetapi bukan pula dalam erti kata “mengangkat bakul sendiri”. Sebaliknya
saya bangga dengan karya-karya saya. Saya yakini mutu karya saya. Untuk
membolehkan saya mampu memperkatakan karya sendiri, tentulah saya perlu pastikan
mutunya. Ini merupakan salah satu cara bagi golongan penulis memastikan bahawa
karya mereka layak dipekatakan; sama ada oleh orang lain atau diri sendiri.
Saya
juga sering menulis di akhbar dan majalah dalam usaha membimbing bakat baru
sekadar yang termampu. Usaha ini juga saya lakukan lantaran kesedaran bahawa
tidak semua remaja yang meminati bidang penulisan akan berpeluang menyertai MPR.
Lalu, ilmu yang ada itu saya cuba kongsi bersama mereka.
Biasanya
artikel saya bertolak daripada pengalaman saya sendiri dalam bidang penulisan.
Antara artikel yang mungkin anda pernah (atau wajar) baca adalah “Mendekati
Khalayak Remaja” (Dewan Sastera, Julai
1995), “Penulis Tidak Kering Idea” (Mingguan
Malaysia, 30 Julai 1995), “Penulis Bukan Penglipur Lara” (Mingguan
Malaysia, 22 Oktober 1995) dan “Antara Nama Pena dan Nama Samaran” (Mingguan
Malaysia, 21 Januari 1996).
Begitu
juga dengan siri artikel “Bertemu Sasterawan Dalam Diri” sepanjang 1996
serta siri artikel “Proses Kreativiti” yang disiarkan mulai April 1997 dalam
majalah Dakwah. Tidak terkecuali juga
teks ucapan dalam Dewan Sastera, Mei
1997.
(Lihat,
saya ternyata sedang bercakap tentang artikel-artikel saya sendiri!)
Saya
juga sering mengendalikan ceramah dan bengkel penulisan cerpen di beberapa
tempat. Hasilnya boleh dikatakan baik. Lahir beberapa penulis baru – saya
namai Penulis Angkatan Baru – yang berpotensi menghasilkan karya bermutu.
Walaupun saya menulis karya sastera Bahasa Malaysia, saya mampu mengendalikan
ceramah dan bengkel dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Bakat-bakat baru
yang diasuh juga meliputi penulis ketiga-tiga kategori bahasa.
Biasanya
apabila saya pergi memberi ceramah kepada khalayak kaum India, reaksi pertama
yang saya terima adalah “Kami tidak tahu langsung bahawa ada seorang penulis
kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia.” Ramai pula yang tidak pernah
mendengar judul buku Orang Dimensi, Nari!
Nari!, Hanuman: Potret Diri, Munis Dengan Harimau dan Siru
Kambam.
Lalu
saya gunakan juga peluang berceramah dan berbengkel untuk mempromosi buku-buku
saya secara tidak langsung. Kalau tidak, macam mana boleh promosikan karya? Saya
tidak mahu buku-buku saya terus tidur nyenyak di dalam stor di Hulu Kelang. Soal
promosi akan saya sentuh secara lebih mendalam sebentar lagi.
4.
Setiap
penulis perlu ada ideologi atau pegangan dalam berkarya. Bagi saya, penulis
adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca. Pembaca sasaran saya adalah
golongan yang berfikiran kritikal. Mereka tidak mahu disajikan bahan bacaan yang
kurang mencabar minda. Mereka mengharapkan karya yang mampu menambah ilmu di
samping menghormati mentaliti mereka sebagai pembaca.
Pengkhususan
ini memudahkan proses pengkaryaan saya. Saya tidak perlu risau apakah setiap
pembaca boleh memahami apa yang saya tulis. Karya saya berciri subjective, anticlimax (bezakan
daripada denouement),
circular structure, faction,
fictional truth, metafiction, parody, passive characterization (bezakan
daripada static character), local
colour, gratuitous act, grotesque, in media res, interpretive fiction,
intertextuality, parable, rashomon effect serta unreliable
narrator.
Watak
“Saya” atau “Aku” selalu pula bercakap secara terus dengan “Anda”
atau “Saudara”. Misalnya dalam cerpen-cerpen “Sebuah Cerita Biasa”,
“Krishna: Potret Diri”, “Datuk Datang Ke Kampung Kami”, “Yang
Aneh-aneh”, “Makan Malam” dan “Bitara Sita”.
Atau
ada pula watak yang hanya bercakap sendirian, seperti dalam “Post-mortem”,
“Vis-a-Vis” dan “Panther”. Anda yang biasa membaca karya-karya saya
tentu menyedari hal-hal yang saya maksudkan.
Kembali
kepada persoalan tadi, saya kira ramai penulis muda – termasuk mereka yang
menyertai MPR – hilang begitu sahaja lantaran kebergantungan mereka terhadap
“ilham” secara total. Mereka tidak berusaha mencari “idea” dan “ilmu
bantu”.
Saya
memang ulat buku. Macam-macam buku yang saya baca. Saya peroleh ilmu bantu
melalui pelbagai cara. Media cetak, media elektronik serta segala rupa media
massa menjadi sumber ilmu. Tidak terkecuali juga ilmu yang saya kumpul melalui
pengalaman dan pergaulan.
Segala
ilmu ini pasti bermanfaat dalam berkarya. Tambahan pula, berkarya tanpa ilmu
bantu umpama menyertai pertandingan menyanyi tanpa suara. Atau apa sahaja
perumpamaan yang menunjukkan tindakan yang kurang profesional.
Apabila
ilmu di dada cukup banyak, akan mampulah kita mengeluarkannya secara spontan
apabila perlu. Begitu juga, apabila idea, bahan cerita dan ilmu bantu penuh di
dada, senanglah kita berkarya. Atau sekurang-kurangnya, timbalah ilmu yang
diperlukan bagi memastikan karya yang dihasilkan itu benar-benar bermutu.
Penulis
Angkatan Baru – dan saya andaikan anda semua akan sudi menyertai saya dalam
kelompok tersebut – perlu juga belajar untuk berkarya secara lebih terancang;
lebih profesional. Gunakan sepenuhnya kemudahan komputer. Gunakan sepenuhnya
kemudahan perpustakaan. Gunakan media elektronik secara yang bijak. Disiplinkan
diri untuk berkarya secara konsisten.
Masa
bukan alasan untuk tidak berkarya. Ketiadaan komputer bukan alasan untuk lambat
menghasilkan karya. Kekeringan idea bukan ciri seorang sasterawan. Malah,
“alasan” bukan ciri seorang sasterawan. Jika kita sentiasa mencari alasan
untuk menjelaskan ketidakaktifan kita dalam berkarya, percayalah, tidak perlu
ada alasan lain untuk membantutkan usia kepengarangan kita. Anda mungkin akan
pulang selepas MPR dan kemudian “hilang” begitu sahaja.
Itu
akan menjadi kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air, kepada DBP
dan kepada diri sendiri. Malah cukup sedih kerana sekian ramai bakat yang diasuh
melalui MPR “hilang” tanpa berita dan tanpa karya susulan.
Saudari
Ade Irma, bekas MPR, pernah cuba mengumpulkan semula seramai mungkin anak-anak
MPR. Malangnya usaha itu kurang berjaya. Salah satu sebab adalah kerana ramai di
antara bekas peserta MPR sudah “bersara” dari bidang penulisan. Lebih malang
lagi, ada yang sekadar hangat-hangat tahi ayam semasa menyertai MPR.
Siapa
yang rugi sebenarnya?
5.
Menulis
bukan suatu kerjaya di Malaysia. Ini tidak pula bermakna kita boleh menulis ala
kadar. Penulisan lebih berupa tanggungjawab sosial. Dan bagi penulis profesional
– sebagai kontra kepada penulis amatur – pula, penulisan adalah salah satu
cara memperoleh pendapatan sampingan secara yang halal. Semakin banyak karya
dihasilkan serta tersiar, semakin banyak honorarium diterima.
Dalam
hal ini, tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat kelembaban minat
membaca di Malaysia. Tetapi saya tidak mahu menuding pada masyarakat umum
semata-mata. Dalam ruangan “Surat Kepada Editor” di Dewan
Sastera April 1997, dua pembaca mengemukakan masalah mendapatkan majalah
berkenaan di pasaran.
Sewaktu
saya berceramah di beberapa tempat, ramai yang merungut tentang kelemahan pihak
penerbit dalam memasarkan buku. Hakikat ini terpaksa diterima oleh pihak
penerbit. Usahlah mencari “alasan” untuk menutup kelemahan pengurusan.
Sebaliknya, jadikannya teguran membina demi kebaikan.
Sekadar
contoh, buku-buku sastera terbaru sering diiklankan dalam majalah Dewan Sastera. Soalnya, siapakah pembaca majalah berkenaan?
Kebanyakan daripada pembacanya adalah kelompok masyarakat yang sudah sedia
meminati bidang sastera. Lalu, iklan tadi hanya sampai kepada kelompok yang
itu-itu sahaja. Bukankah lebih berkesan – dan lebih bijak – jika buku-buku
sastera diiklankan dalam akhbar dan majalah yang mempunyai pembaca dari kelompok
yang pelbagai?
Sewaktu
diwawancara untuk ruangan sastera majalah Dakwah
(Julai 1996), Pak Abdullah Hussain menimbulkan persoalan tentang siapakah yang
bertanggungjawab mempromosi karya. Saya ingin mengemukakan pertanyaan yang sama
kepada anda: Siapakah yang bertanggungjawab mempromosi buku yang diterbitkan?
Ini
mungkin persoalan yang klise. Tetapi memandangkan bahawa persoalan ini masih
belum terjawab, rasanya tidak salah jika persoalan yang sama ditimbulkan
berulang kali – dengan harapan akan mendapat reaksi pihak terbabit.
Mungkin
karya yang tersiar secara eceran tidak memerlukan promosi individual. Tetapi
bagaimana dengan karya berbentuk buku (antologi dan kumpulan cerpen misalnya)?
Siapa yang bertanggungjawab mempromosikannya: penerbit, pekedai buku atau
penulis sendiri?
Dengan
royalti tidak seberapa yang diterima, mampukah penulis menjelajah serata tanah
air untuk mempromosi karyanya – seperti yang dipersoalkan oleh Pak Abdullah
Hussain. Atau wajarkah kita mengharapkan pekedai buku mempromosi karya sastera
sedangkan tujuan utama mereka adalah mencari untung hasil daripada
perniagaan buku yang dijalankan.
Dalam
soal ini, saya bersetuju dengan pendapat Pak Abdullah Hussein bahawa penerbitlah
yang sepatutnya memainkan peranan serta tanggungjawab utama dalam mempromosi
karya. Soalnya, setakat manakah tanggungjawab berkenaan dilaksanakan?
DBP
sebagai badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan
sewajarnya memainkan peranan dalam menangani isu ini – sekurang-kurangnya bagi
buku-buku yang diterbitkannya.
Usaha
promosi harus diperhebatkan dan dilakukan secara yang terancang. Mungkin
penerbit dan penulis dapat bekerjasama dalam usaha promosi. Misalnya apabila
penerbit mengadakan pameran buku, selitkan sekali sesi pertemuan dengan penulis.
Pada sesi seumpama itu, di samping masyarakat dapat bersemuka dengan penulis,
promosi buku juga dapat dilakukan secara tidak langsung. Memanglah promosi
seumpama ini ada dilaksanakan sebelum ini. Tetapi ia lebih tertumpu kepada
penulis besar yang sudah sedia dikenali umum. Bagaimana dengan penulis baru;
misalnya penulis daripada kalangan peserta MPR sendiri?
Ada
saya sebutkan bagaimana saya gunakan sesi ceramah dan bengkel penulisan untuk
mempromosi karya. Tetapi itu hanyalah usaha pada skala kecil-kecilan. Saya tidak
dapat menjelajah seluruh negara untuk mempromosi buku-buku saya. Kosnya siapa
yang akan tanggung?
Betapa
baiknya jika penerbit yang menganjurkan pesta buku mengambil inisiatif
mengundang penulis-penulis muda bagi mempromosi karya. Tambahan, usaha promosi
memang menjadi sebahagian daripada tugas pemasaran pihak penerbit.
Media
elektronik juga wajar dieksploitasi secara positif bagi mempromosi karya sastera
ke seluruh negara. Tidak usahlah kita bercakap tentang slot khas bagi sastera di
televisyen. Usah terus menanti bulan gugur ke riba. Sebaliknya, gunakan slot
sastera yang sedia ada di radio. Radio Satu dan Radio KL mempunyai target audience yang cukup ramai.
Daripada
pengalaman saya sendiri menyertai ruangan sastera di kedua-dua stesen radio
berkenaan, saya dapati ramai pendengar menelefon untuk mengetahui tentang dunia
sastera. Pada masa yang sama, mereka mengakui betapa mereka tidak tahu tentang
buku-buku karya sastera terbaru di pasaran.
Sebaliknya
mereka lebih terdedah kepada iklan dan promosi kaset lagu terbaru di pasaran.
Ini adalah hasil promosi yang terancang di radio. Syarikat rakaman turut
mengusahakan agar artis dibawa ke studio untuk memberi peluang kepada para
pendengar radio berinteraksi melalui telefon.
Di
sini, usahlah kita salahkan masyarakat kalau mereka lebih mengenali kaset
daripada buku. Sebaliknya penerbit buku perlu bertindak bijak menggunakan air time di radio untuk mempromosi karya sastera. Ruangan sastera
yang sedia ada wajar digunakan sepenuhnya secara bijak dan terancang. Promosikan
buku-buku terbaru secara profesional.
Bawalah
penulis ke studio untuk memberi peluang masyarakat berbual dengan mereka melalui
telefon. Usaha saudara Ismail Karmun dan saudara Jaafar Abdul Rahim dalam
melakukan promosi seperti ini wajar dipuji dan dicontohi.
Namun
begitu, perlu juga dipastikan bahawa promosi seumpama ini dilakukan secara
profesional. Pastikan bahawa penulis yang dibawa ke studio berkebolehan untuk
bercakap. Saya perhatikan beberapa penulis – termasuk penulis mapan – yang
dibawa ke studio terlalu gementar untuk menjawab pertanyaan pendengar. Lain yang
ditanya, lain yang dijawab. Ramai penulis nampaknya hanya mampu “bercakap”
melalui karya. Apabila dibawa ke studio untuk berinterkasi secara live dengan pendengar, mereka mula menampakkan sifat tidak
profesional.
Apa
yang nyata, strategi pemasaran buku perlu ditingkatkan secara profesional.
Promosi tidak lagi harus tertumpu kepada produk (buku) semata-mata. Sebaliknya,
gunakan strategi pemasaran melalui promosi “jenama” (penulis) untuk membantu
melariskan “produk”.
Pengurusan
dan organisasi penerbitan juga amat perlu diberi perhatian serius. Usahlah
tunggu sehingga ditegur tokoh politik, baru penerbit mula sibuk meningkatkan
mutu kerja – dan dua-tiga minggu kemudian kembali lembap seperti sediakala!
6.
Saya
percaya segala perkara yang saya sentuh sebentar tadi akan mendapat perhatian
daripada anda. Dunia sastera memerlukan kerjasama penulis, khalayak dan penerbit.
Saya tidak begitu menyentuh tentang peranan khalayak. Memandangkan bahawa kita
yang berkumpul di sini pada hari ini lebih tepat mewakili pihak penulis dan
penerbit, wajarlah saya tumpukan perhatian kepada peranan kita bersama –
sebagai sebuah keluarga – dalam memasyarakatkan sastera.
Untuk
itu, segala masalah yang timbul di pihak penulis, di pihak penerbit serta dalam
hubungan penulis-penerbit perlu terlebih dahulu diselesaikan dan diatasi secara
profesional. Jika tidak, makin sukarlah usaha memasyarakatkan sastera.
Memanglah
pada hakikatnya penulis juga sebahagian daripada masyarakat pembaca. Namun saya
percaya penulis tidak tergolong dalam kumpulan pembaca yang belum
dimasyarakatkan dengan sastera. Jadi, penerbit (selaku pengeluar buku secara
massa) dan penulis (selaku pengkarya sastera) perlu bekerjasama dalam usaha
menarik minat khalayak umum terhadap karya sastera.
Soalnya:
(Sila kembali ke bahagian
5.)
Uthaya
Sankar SB
Pertemuan
Karyawan Sastera MPR: Perbincangan Proses Kreatif dan Karya
Minggu
Penulis Remaja 1997
Sudut
Penulis DBP
26
Mei 1997