KUALA LUMPUR 27 Mei - "Mak, saya nak bagi RM1,000 lagi bagi bantu mak dan abah buat rumah baru, hendak masukkan (ke dalam bank) baru ni tak sempat... tunggulah saya pulang sekali lagi," kata Allahyarham Lt. Mualimin Jasid kepada ibunya ketika pulang bercuti pada 1 Mei lalu.
Menurut Siti Aishah Saari, 56, anaknya itu beria-ia mahu dia dan suaminya tinggal di rumah baru mereka yang ketika ini sedang dirancang dibina di Tanjung Malim, Perak.
Katanya, perkara itu disuarakan oleh Mualimin sewaktu pulang bercuti selama empat hari.
``Ketika itu dia kelihatan agak kurus, mungkin kerana keletihan menjalani latihan. Tetapi sebelum pulang, dia ada menyuarakan hasrat hatinya itu,'' katanya ketika ditemui di Taman Datuk Senu, Sentul di sini, malam ini.
Menurutnya, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai kejadian malang berkenaan kira-kira pukul 8 malam ini oleh sepasukan empat pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mualimin yang merupakan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik terkorban apabila pesawat latihan Pilatus PC-7 yang dipandunya secara solo terhempas berhampiran sebatang sungai di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang dekat sempadan Kedah-Perlis, kira-kira 25 kilometer dari sini, petang ini.