Jeritan, letupan kedengaran di udara

KANGAR 27 Mei - Beberapa orang penduduk mendakwa mendengar bunyi jeritan dan letupan di udara sebelum sebuah pesawat Pilatus PC-7 terjatuh dan terbenam ke dalam tanah di tepi sebatang sungai di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah hari ini.

Dalam kejadian yang mengorbankan seorang juruterbang itu, penduduk kampung tersebut memberitahu, mereka melihat pesawat terbabit terbang rendah di atas bumbung rumah sebelum menjunam dan terjatuh di tepi tali air tersebut kira-kira pukul 2.45 petang.

Seorang saksi, Yaakob Hakim, 60, berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat di udara dan ternampak sebuah pesawat yang terbang setinggi kira-kira 100 meter yang datang dari arah Alor Star, mengeluarkan asap tebal sebelum jatuh di kampung itu.

Dia yang ketika itu berada dalam kereta untuk ke Alor Star berkata, sebelum terjatuh, sayap dan bahagian bawah pesawat terbabit terkena bumbung sebuah rumah dan beberapa batang pokok.

``Sejurus selepas kejadian itu, saya menghubungi Balai Polis Air Hitam dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang untuk melaporkan kemalangan tersebut.

``Pihak TUDM Butterworth kemudiannya meminta saya menghubungi TUDM Kepala Batas, Alor Star bagi memudahkan urusan mencari dan menyelamat mangsa,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, seorang juruterbang terbunuh apabila sebuah pesawat jenis Pilatus PC-7 terhempas di kampung tersebut. Juruterbang terbabit dikatakan sedang mengadakan latihan sebelum pesawatnya terhempas di kampung itu.

Anggota penyelamat yang terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat dari Kedah dan Perlis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Perlis dan tentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Seorang lagi penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu, Ismail Ahmad, 63, berkata, dia terdengar bunyi enjin kuat yang seolah-olah berada dalam kerosakan di atas bumbung rumahnya.

Seiring dengan itu, katanya, dia juga terdengar bunyi jeritan seorang perempuan sebelum pesawat itu terhempas di tepi tali air yang letaknya kira-kira 100 meter dari rumahnya.

``Saya terkejut dan berlari apabila terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran dengan rumah saya,'' katanya yang bekerja sebagai petani di kampung itu.

Sementara itu, seorang peniaga, Shaharuddin Ismail terkejut apabila bumbung rumahnya mengalami kerosakan selepas dilanggar oleh pesawat terbabit.

Menurutnya, beberapa serpihan pesawat itu berselerak di tingkat atas rumahnya dan di kebun yang terletak bersebelahan kediamannya itu.

``Semasa kejadian, saya pergi mengambil isteri yang mengajar di Sekolah Menengah Teknik Kangar sebelum pulang dan mendapati orang ramai berkerumun di hadapan rumah saya,'' katanya.

Back or read more