Koleksi berita Joran GP


  1. Pemancing Johor menang GP Tanjung Leman

  2. Penduduk buka gerai di GP Joran

  3. Artis sertai GP Joran

  4. Peserta GP Joran wajib patuhi peraturan

  5. Pemancing Terengganu sambar Kriss

  6. Minuman tonik untuk GP Joran

  7. Piano untuk GP Joran

  8. Lagi sumbangan hadiah untuk GP Joran

  9. Famaco turut taja hadiah GP Joran

  10. CNI sumbang barangan untuk Pra-GP Joran

  11. Sistem mata Joran

  12. Pertandingan Pra-GP Joran 1 Mac


Pemancing Johor menang GP Tanjung Leman

MERSING, Ahad - Othman Rahmad dari Pasir Gudang, Johor menjuarai pusingan pertama Grand Prix (GP) Joran 98 bagi kategori laut dalam di Tanjung Leman, dekat sini hari ini. Beliau yang mendapat ikan pari seberat 44 kilogram membawa pulang wang tunai RM10,000, bot, hamper serta sebuah piala iringan dan Piala Pusingan Menteri Besar Johor. Kemenangan itu membolehkan Othman memungut 132 mata. Pari adalah ikan kategori keempat dalam sistem kiraan mata GP Joran 98 iaitu tiga mata bagi tiap sekilogram. Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Datuk Jimmy Low. Upacara penutup dan penyampaian hadiah itu berlangsung di Kompleks Jeti Tunjuk Laut, kira-kira jam 4 petang. Hadir sama, Pengarah Pelancongan Johor, Asman Shah Abd Rahman, Pegawai Daerah, Omar Awab, Ketua Eksekutif Pelancongan Perbadanan Johor, Rozan Mohd Saat dan Pengurus Besar Kanan Pengedaran The New Straits Times Press (M) Berhad, Wan Razif Wan Musa. Lebih 1,500 pemancing menyertai pertandingan itu. Seramai 820 peserta mengambil bahagian kategori laut dalam yang menyediakan hadiah wang tunai RM20,500, manakala 700 lagi menyertai kategori pantai/jeti dengan hadiah wang tunai RM10,950. GP Joran 98 turut menawarkan hadiah bonanza, sebuah rumah teres berharga RM124,888 (18x60) disumbangkan oleh Cherakah Development Sdn Bhd, pemaju perumahan Puncak Alam. Ia menjadi milik peserta yang memenangi tempat pertama dalam tiga daripada lima pusingan GP Joran 98. GP Joran Tanjung Leman mendapat kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Kerajaan Johor dan Jabatan Pelancongan Johor. Pemenang kedua kategori laut dalam ialah Mat Razi Abd Rahim dari Kuala Lumpur. Beliau mendapat ikan tenggiri seberat 8.68 kilogram dan sekali gus mengumpul 130.2 mata. Beliau memenangi hadiah RM5,000, barangan elektrik, peralatan memancing dan hamper. Seorang lagi peserta Kuala Lumpur, Romli Sabri, 33, memenangi tempat ketiga selepas mendapat ikan haruan tasik seberat 11.21 kilogram dan mengumpul 78.47 mata. Beliau mendapat hadiah wang tunai RM2,500, barangan elektrik, peralatan memancing dan hamper. Sementara itu, Zainuddin Abu Samah muncul juara kategori pantai/jeti selepas mendapat ikan pari seberat 4.02 kilogram. Peserta dari Melaka itu mengumpul 12.06 mata dan memenangi hadiah wang tunai RM5,000, barangan elektrik, peralatan memancing, hamper sekali gus menerima piala iringan dan Piala Pusingan Menteri Besar Johor. Pemenang kedua, Mohd Kamal Hussein dari Terengganu, mendapat ikan pari seberat 2.57 kilogram dan mengumpul 7.71 mata. Beliau memenangi hadiah wang tunai RM3,000, barangan elektrik, peralatan memancing dan hamper. Hamzah Sairy selaku pemenang ketiga mendapat ikan kerapu seberat 0.36 kilogram dan memenangi hadiah wang tunai RM1,500, barangan elektrik, peralatan memancing serta hamper sekaligus mengumpul 5.40 mata. Selain itu, penganjur turut menyediakan hadiah kepada pemenang keempat hingga ke-20 dalam bentuk barangan elektrik, peralatan memancing serta hamper. Penaja GP Joran 98 ialah Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Coleman, Maggie, AirAsia, Famaco, Adabi Consumer, KL International Hotel dan CNI. GP Joran di Tanjung Leman berjalan lancar dengan kerjasama polis, Pejabat Daerah Mersing, Kumpulan Penambang (Johor) Sdn Bhd, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Taman Laut Mersing, Jabatan Laut, Pasukan Rela dan polis marin. Berita Harian 16/3/98

Ke Atas

Penduduk buka gerai di GP Joran

MERSING, Ahad - Lebih 10,000 pengunjung berpesta di Kompleks Jeti Tunjuk Laut, Tanjung Leman sepanjang dua hari Grand Prix (GP) Joran 98. Selain kira-kira 1,500 peserta, penduduk dari sembilan tanah rancangan Felda Gugusan Tenggaroh mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menyaksikan pertandingan itu, yang tamat petang ini. Mereka datang untuk menjamu selera dan membeli pakaian dan cenderamata dari 29 lot gerai jualan dan pameran yang disediakan oleh Pejabat Daerah Mersing. Selain itu, penduduk tempatan juga mengambil kesempatan untuk berniaga makanan dan minuman. Suasana kompleks dan jeti sesak berikutan kedatangan pelancong dari Singapura sempena musim cuti sekolah di republik itu. Mereka terpaksa menaiki bot di Tanjung Leman untuk pergi pulau-pulau Sibu Tengah, Sibu Besar dan Tinggi. Pada masa yang sama, sukaneka bersama artis diadakan bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi membabitkan pengunjung GP Joran. Ia dianjurkan oleh Pejabat Daerah Mersing dengan kerjasama persatuan penduduk. Selain 700 peserta kategori pantai/jeti, beribu-ribu pengunjung turut berkelah dan berkhemah di kawasan sepanjang dua kilometer pantai Tanjung Leman. Di majlis penutup, pengunjur dihiburkan dengan persembahan Kumpulan Sinaran Baru Zapin Tenglu Mersing dan kumpulan tarian kuda kepang Tenggaroh 6. Malam tadi, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular termasuk kumpulan 2 By 2, Eisha Malik, Rozza dan kumpulan tarian dari Majlis Kebudayaan Daerah. Berita Harian 16/3/98

Ke Atas

Artis sertai GP Joran

JOHOR BAHRU, Khamis - Beberapa artis popular tanah air dijangka turut memeriahkan pusingan pertama Grand Prix (GP) Joran di Tanjung Leman, Mersing pada Sabtu dan Ahad ini. Antara yang akan terbabit dalam persembahan pentas pada Sabtu malam sempena pertandingan memancing itu ialah artis 2 By 2 yang popular menerusi lagu Mawarku, Rozza, Alina Hassan dan penyanyi dangdut lelaki, Asraff. Pada pagi Ahad pula, penduduk kampung turut mengadakan acara sukaneka bermula jam 9 pagi. Antara acara itu ialah acara keluarga seperti lari dalam guni, terumpah gergasi dan acara kanak-kanak seperti melerek bola dengan gelong rotan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Jimmy Low, berkata pelbagai acara sampingan terutama sukaneka bertujuan membabitkan penduduk sekitar selain keluarga peserta GP Joran. Beliau percaya kegiatan itu mampu memeriahkan lagi GP Joran yang dianjurkan bersama Berita Harian Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Johor. Bermula Sabtu ini, katanya, hampir 10,000 orang dijangka mengunjungi pesta memancing paling meriah itu, sekali gus dapat memperkenalkan Tanjung Leman dan pulau persekitarannya sebagai destinasi pelancongan. "Johor adalah satu-satunya negeri di Semenanjung yang mempunyai keistimewaan pantai yang terletak di sebelah Barat dan Timur. "Pelbagai pilihan kawasan pelancongan boleh dijadikan tarikan pelancong dan usaha seperti Berita Harian Sdn Bhd boleh dijadikan contoh terbaik. "Menerusi GP Joran pusingan pertama di Tanjung Leman, Mersing, dekat sini, penduduk tempatan terutama sekitar Felda Tenggaroh, Jemaluang, Mersing, Endau dan Kota Tinggi boleh menikmati suasana kemeriahan pertandingan memancing itu. "Secara tidak langsung, orang ramai tahu Jeti Tunjuk Laut, Tanjung Leman dan juga salah satu pintu utama ke pulau berdekatan seperti Pulau Sibu dan Pulau Tinggi," katanya di sini. Penganjur juga berterima kasih kepada syarikat swasta yang turut bersama menyumbang kepada pertandingan ini. Antaranya ialah The Puteri Pan Pacific Johor Bahru, Hyatt Regency Johor Bahru, Hotel Grand Continental Johor Bahru, Hutchison Paging Johor Bahru, syarikat Nutri Malt dan syarikat Jayatronik Letrik di Taman Molek. Berita Harian 13/3/98

Ke Atas

Peserta GP Joran wajib patuhi peraturan

KUALA LUMPUR, Rabu - Peserta GP Joran di Tanjung Leman, Mersing Johor pada Sabtu dan Ahad ini diingatkan supaya mengikuti arahan penganjur untuk mengelakkan penyertaan mereka dibatalkan. Antara syarat penting yang perlu dipatuhi ialah peserta tidak dibenar menggunakan koyan. Peserta juga dilarang menaiki bot lain selain yang ditetapkan penganjur. Peraturan ini dibuat bagi memastikan pertandingan berjalan lancar. Selain itu, penganjur juga memutuskan ikan yang memenangi tempat pertama hingga ke-20 menjadi milik penganjur bagi mengelak sebarang penipuan oleh peserta. Peserta laut dalam juga diminta mengesahkan pendaftaran mereka lebih awal bagi melancarkan urusan pelepasan. Semakan pendaftaran akan ditutup pada jam 3 petang dan peserta yang lewat tidak akan dilayan. Sementara itu, Hotel Flamingo menyumbangkan dua baucar penginapan dua hari satu malam untuk dua orang dan 10 baucar bernilai RM3,000 bagi pertandingan GP Joran 1998. Sumbangan itu disampaikan oleh Penolong Pengurus Besarnya, Alice Low kepada Pengurus Jualan Iklan Berita Harian, SK Lim James di Hotel Flamingo di sini, kelmarin. Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Awam Hotel Flamingo, Alex Chan dan Eksekutif Iklan Berita Harian, Shri Goolam. "Sambutan orang ramai yang menggalakkan bagi GP Joran yang sudah memasuki tahun kedua mendorong kami menjadi penaja tahun ini walaupun nilai sumbangan yang diberi tidak besar," katanya. Alice berkata, secara tidak langsung GP Joran memberi peluang untuk memperkenalkan hotel, restoran dan tasiknya kepada masyarakat tempatan. "Orang ramai masih tidak mengetahui bahawa di hotel kami ada tasik yang sesuai untuk aktiviti memancing dan sukan air," katanya. Hotel Flamingo mulai dibuka dua tahun lalu dan adalah hotel yang pertama di Kuala Lumpur menyediakan tasik untuk aktiviti rekreasi penginap hotelnya. Berita Harian 12/3/98

Ke Atas

Pemancing Terengganu sambar Kriss

SERDANG, Ahad - Peserta dari Terengganu memenangi motosikal Kriss dan wang tunai RM1,000 apabila muncul juara pertandingan memancing Pra-GP Joran 98 di kolam Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini. Kamaruddin Othman, 32, kakitangan firma dari Kuala Terengganu mendaratlan seekor ikan keli seberat 5.04 kilogram hanya kira-kira 30 minit sebelum pertandingan tamat. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Zohadie Bardaie di acara penutup kira-kira jam 3.30 petang. Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran The New Straits Times Press (M) Bhd, Datin Umi Kalsom Hussin dan Pengarah GP Joran, Haniff Hadi. GP Joran 98 anjuran Berita Harian dan menjadi acara tahunan paling hebat di kalangan pemancing tempatan dan negara jiran. Selain hadiah lumayan, siri GP ini mencatatkan penyertaan terbesar pernah direkodkan dalam pertandingan memancing di negara ini. Tahun lalu, tujuh siri GP Joran berlangsung dengan menawarkan sebuah kereta Nissan AD Resort sebagai hadiah utama peringkat Grand Slam di Setiu, Terengganu. Pertandingan hari ini disifatkan sebagai pemanas sebelum GP Joran 98 bermula dengan pusingan pertama di Tanjung Leman, Johor pada 14 Mac ini. Ia diikuti GP di Perak (Mei), Sarawak (Julai), Kelantan (September) dan Kedah (November). Hampir 1,000 peserta menyertai Pra-GP ini yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM5,900 bagi tempat pertama hingga ke-20. Pemenang turut mendapat pelbagai hadiah sampingan seperti peralatan memancing, barangan elektrik dan hamper. Peserta memenuhi segenap ruang pinggir lima kolam yang disediakan mulai jam 4 pagi walapun pertandingan bermula jam 8 pagi sebelum siren penamat dibunyikan tepat jam 3 petang. Walaupun cuaca panas terik sepanjang hari, peserta tetap tidak berganjak. Penganjur turut menyediakan 20 hamper kepada pemenang cabutan nombor bertuah. Tempat kedua dengan hadiah bot gentian fiber dan wang tunai RM1,000 dimenangi oleh Nordin Aman dari Jabatan Perikanan Cawangan Kejuruteraan Serdang dekat sini. Beliau memperolehi ikan tongsan seberat 4.44 kilogram. Seorang lagi peserta tempatan, Tan Shun Luik, 34, yang memperolehi ikan tongsan 3.02 kilogram menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan sebuah televisyen. Hadiah utama, motosikal Kriss adalah sumbangan Berita Harian. Penaja lain ialah Universal Fitness & Leisure (UFL), Coleman, Famaco (M), Adabi Consumer dan CNI serta dengan kerjasama UPM. Berita Harian 2/3/98

Ke Atas

Minuman tonik untuk GP Joran

JOHOR BAHRU, Khamis - Grand Prix Joran pusingan pertama di Tanjung Leman, Johor pada 14 dan 15 Mac ini terus mendapat penajaan dari pelbagai pihak di negeri ini. Ia mencerminkan kesungguhan pihak swasta berganding bahu bagi menjayakan pertandingan anjuran Berita Harian Sdn Bhd. Sehubungan itu, Taisho Pharmaceutical (M) Sdn Bhd, pengeluar minuman Livita dan Lipo turut menyumbang 1,200 botol minuman berkenaan serta 12 pek untuk cabutan tiket bertuah bernilai kira-kira RM3,000. Eksekutif Jualan Wilayahnya, Alex Lim Eng Kim, berkata pertandingan memancing turut memerlukan tenaga yang banyak dan setiap peserta perlu diberi tenaga tambahan. "Sebagai syarikat pengeluar minuman bertonik, kami memberi sumbangan bagi meningkatkan kesegaran di kalangan peserta yang pasti kehabisan tenaga setelah seharian berada di laut. "Ini kerana memancing juga dikategorikan sebagai sukan dan ia memerlukan tenaga tambahan untuk menghadapi cabarannya," katanya selepas majlis penyerahan barangan tajaan syarikat itu di sini, hari ini. Di majlis itu, Alex menyerahkan Livita dan Lipo kepada Pengurus Iklan Berita Harian, Sim Ngi Long. Tahun lalu GP Joran di negeri Johor diadakan di Tanjung Piai, Pontian membabitkan kira-kira 1,000 peserta. Tahun ini ia dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Johor. GP Joran dibahagikan kepada dua kategori iaitu laut dalam dan pantai/jeti. Peserta untuk kategori laut dalam dikenakan yuran penyertaan RM120, manakala RM60 bagi kategori pantai atau jeti. Hadiah pertama bagi kategori laut dalam ialah RM10,000 manakala pantai atau jeti RM5,000 serta pelbagai hadiah lain. Orang ramai berminat menyertai GP Joran pusingan pertama boleh mendapatkan borang di akhbar sisipan Joran, Berita Harian, setiap Jumaat atau boleh mendaftar di Pejabat Berita Harian, No:88A/88B, Jalan Padi Satu, Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru pada waktu pejabat. Berita Harian 27/2/98

Ke Atas

Piano untuk GP Joran

KUALA LUMPUR, Selasa - Morais Music Studio hari ini menyumbang sebuah piano Kawai bernilai RM6,000 sebagai hadiah untuk GP Joran pusingan pertama di Tanjung Leman, Johor, 14 dan 15 Mac ini. Sumbangan disampaikan Pengarah Urusannya, Richard Morais, kepada Pengurus Kanan Pemasaran Berita Harian, Zulkhafle Jalil, di sini. Hadir sama di majlis itu ialah Pengurus Pengiklanan (Pembangunan Perniagaan) Berita Harian, Zainuddin Khair dan Eksekutif Pemasaran Berita Harian, Shri Goolam. Richard berkata, pihaknya bangga kerana dapat turut sama menjayakan GP Joran, pertandingan memancing terbesar di Malaysia dan berharap dapat terus menyokong kegiatan berfaedah seperti itu. "Saya tertarik dengan sambutan GP Joran. Difahamkan hampir 1,500 peserta mengambil bahagian di setiap pusingan dan publisitinya juga meluas. "Ini adalah sumbangan pertama saya. Jika tiada halangan, saya sedia menyumbang piano di setiap pusingan. Saya akan terus berhubung dengan penganjur dalam hal ini," katanya. Morais Music yang berpejabat di Tingkat Bawah Plaza Ampang adalah pengimport piano dari Jepun dan United Kingdom. Syarikat it turut menjadi penganjur pertunjukan antarabangsa, pengurusan artis serta membekal peralatan pembesar suara. Sementara itu, Eastview Publication Sdn Bhd pula menyumbang 10 set ensiklopedia geografi bernilai RM1,380. Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Penyuntingnya, S N Cheong, kepada Zainuddin. Menurut Cheong, ini adalah kali pertama Eastview memberi sumbangan untuk pertandingan seumpama itu. "Sepuluh set ensiklopedia geografi ini mengandungi lapan buah buku mengenaibumi dan matahari. Jika wang tunai, ia akan habis dalam tempoh sekejap, tetapi dengan buku, ilmu tidak akan hilang," katanya. GP Joran tahun ini akan diadakan sebanyak lima pusingan, bermula di Tanjung Leman, Johor, diikuti Perak, Sarawak, Kelantan dan berakhir di Kedah. Sementara itu, pertandingan memancing Pra-GP Joran pula akan diadakan di Kolam Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahad ini. Pendaftaran dibuka hingga hari pertandingan. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Unit Joran Berita Harian di talian 03-2822323 sambungan 471. Berita Harian 25/2/98

Ke Atas

Lagi sumbangan hadiah untuk GP Joran

KUALA LUMPUR, Isnin - Universal Fitness Leisure Sdn Bhd (UFL) menjadi penyumbang utama untuk GP Joran 1998 membabitkan sumbangan barangan bernilai RM50,000. Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan UFL, Radha Krishnan, kepada Penolong Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Haniff Hadi. Hadir sama ialah Pengurus Operasi UFL, Ahmad Termizi Mahmud; Penolong Pengurus Pemasaran NSTP, Daljit Kumar dan Eksekutif Promosi dan Pemasaran NSTP, Abdul Kadir Hamza. "Ini adalah kali kedua kami menjadi penyumbang utama untuk pertandingan memancing GP Joran. UFL menyumbang barangan seperti bot, kotak penyejuk Coleman, lampu suluh, khemah dan beberapa barangan lain. "Barangan ini sengaja kami pilih untuk menyesuaikan dengan kemudahan dan kegunaan memancing," kata Radha. Menurutnya, semua barangan sumbangan UFL dipilih khas untuk kemudahan memancing bagi keluarga kerana kegiatan itu bukan lagi menjadi hobi individu tetapi sesuai untuk kegiatan sekeluarga dan ia sejenis sukan yang sihat. UFL juga akan membuka gerai jualan pada setiap pusingan. Bagi peserta pertandingan, mereka boleh membeli produk jualan UFL dengan potongan 20 peratus di ruang pameran UFL di 51 Jalan Belangkas, off Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur dengan menunjukkan resit pendaftaran. Sementara itu, GP Joran 98 memilih lima lokasi utama pertandingan musim ini. Bagaimanapun, Pra-GP Joran sebagai pemula acara dibuat di kolam Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM). Pusingan pertama akan diadakan di Tanjung Leman, Johor pada 14 dan 15 Mac diikuti Perak (2-3 Mei), Sarawak (4-5 Julai), Kelantan (5-6 September) dan penamatnya di Kedah pada 7-8 November. Dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori laut dalam dengan yuran penyertaan RM120 manakala kategori pantai/jeti dikenakan yuran penyertaan RM60. Borang penyertaan boleh didapati di majalah Joran Berita Harian setiap Jumaat. Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh berhubung terus dengan Unit Joran di talian 03-2822323 sambungan 471. Berita Harian 25/2/98

Ke Atas

Famaco turut taja hadiah GP Joran

KUALA LUMPUR, Khamis - Fama Corporation Sdn Bhd (Famaco) hari ini menyumbang pelbagai barangan syarikat berkenaan bernilai lebih RM45,000 untuk menjayakan pertandingan memancing GP Joran tahun ini. Antara barangan berkenaan ialah kopi anggerek, jem buah-buahan berkalori rendah, rempah segera dan hamper. Selain GP Joran, syarikat berkenaan turut turut menaja barangan bagi pertandingan Pra-GP Joran di Kolam Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 1 Mac ini. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Zolkipli Abdul, kepada Penolong Pengarang Kumpulan Berita Harian, Haniff Hadi, di Pejabat Berita Harian. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Famaco, Mohamed Shariff Abdul Aziz, Pengurus Eksport Famaco, Selladurai Pragasam dan Pengurus Kanan Pemasaran NSTP, Wan Razif Wan Musa. Menurut Selladurai, pihaknya bersetuju memberi sumbangan bagi menjayakan lima pusingan GP Joran dan pertandigan Pra-GP Joran di kolam UPM. Pusingan pertama GP Joran akan diadakan di Tanjung Leman, Johor, pada 14-15 Mac ini. "Selain memberi sumbangan, kami juga akan menjual pelbagai produk Famaco kepada peserta dan pengunjung pertandingan memancing anjuran Unit Joran Berita Harian dengan harga istimewa. "Ini adalah tahun kedua syarikat kami menjadi penaja GP Joran. Syarikat kami sentiasa menyokong aktiviti riadah, termasuk pertandingan memancing kerana ia adalah aktiviti berfaedah," katanya. Selain Johor, GP Joran tahun ini akan diadakan di Perak (2-3 Mei), Sarawak (4-5 Julai), Kelantan (5-6 September) dan berakhir di Kedah (7-8 November). Dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori laut dalam dengan yuran penyertaan RM120 dan kategori jeti/pantai (RM60). Yuran penyertaan Pra-GP Joran pula ialah RM50 dan boleh dibayar di Unit Joran Berita Harian atau cawangan Berita Harian setiap negeri. Pendaftaran bagi Pra-GP juga boleh dibuat pada hari pertandingan sebelum jam 9 pagi. Borang penyertaan boleh didapati di majalah Joran setiap Jumaat. Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh berhubung terus dengan Unit Joran di talian 03-2822323 sambungan 471. Berita Harian 20/2/98

Ke Atas

CNI sumbang barangan untuk Pra-GP Joran

KUALA LUMPUR, Rabu - Pertandingan memancing Pra-GP Joran anjuran Unit Joran Berita Harian mendapat sokongan daripada syarikat swasta apabila CNI Enterprise (M) Sdn Bhd (CNI) menyumbangkan barangan bernilai RM4,000 hari ini. Sumbangan berkenaan termasuk 4,600 paket minuman teh dan kopi segera berperisa ginseng, akan diedarkan percuma kepada peserta pertandingan yang akan diadakan di kolam Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 1 Mac ini. Selain paket minuman segera, syarikat berkenaan juga menyumbangkan lima hamper sebagai hadiah pertandingan. Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Perhubungan Awam CNI, Danny Goh, kepada Penolong Pengurus Besar (Pengedaran) The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Saidy Ridzah Abu Hasan, di Balai Berita, di sini hari ini. Turut hadir Penolong Pengurus (Pengedaran) Pasaran dan Promosi NSTP, Daljit Kumar; Eksekutif (Pengedaran) Pasaran dan Promosi NSTP, Abd Kadir Hamza dan Eksekutif Perhubungan Awam CNI, Vivien Lim. Sementara itu, Vivien berkata syarikatnya menghargai langkah Berita Harian menganjurkan pertandingan memancing itu dan berharap sumbangan mereka dapat membantu menjadikan pemancing lebih selesa sepanjang pertandingan. Kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai pertandingan yang diadakan sebagai pembuka tirai GP Joran 1998. Tahun lalu, pertandingan Pra-GP turut diadakan di tempat yang sama. Pertandingan Pra-GP kali ini bermula dari jam 8 pagi hingga 3 petang dan setiap penyertaan dikenakan yuran RM50 dengan hanya dua joran dibenarkan. Setiap peserta yang mendaftar akan mendapat 15 mata percuma sebagai persedian menghadapi cabaran GP-Joran. GP Joran tahun ini akan diadakan sebanyak lima siri dengan siri pertama di Tanjung Leman, Mersing, Johor pada 14 dan 15 Mac depan, diikuti Perak (2 & 3 Mei), Sarawak (4 & 5 Julai), Kelantan (5 & 6 September) dan Kedah (7 & 8 November). Seperti tahun lalu, GP Joran tahun ini juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu laut dalam dan pantai/jeti. Penyertaan bagi kategori laut dikenakan bayaran RM120, manakala pantai/jeti RM60. Mereka yang berminat menyertai Pra-GP Joran dan GP Joran boleh mendaftar di Unit Joran Berita Harian, Kuala Lumpur dan semua cawangan Berita Harian di negeri masing-masing. Pendaftaran dibuka pada waktu pejabat, kecuali Ahad dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Unit Joran di talian 03-2822323 sambungan 471. Berita Harian 19/2/98

Ke Atas

SISTEM MATA JORAN

JENIS IKAN
MATA SETIAP SEKILOGRAM
Kurau, Senohong (Melebihi 5 Kilogram)
25 MATA
Kurau, Senohong, Siakap, Kerapu, Jenahak, Senangin, Kakap, Tetanda, Tenggiri (Kurang daripada 5 Kilogram)
15 MATA
Alu-alu, Haruan Tasik, Telinga Gajah
7 MATA
Pari, Tirus, Malong, Tebal Pipi, Yu dan lain-lain
3 MATA

Ke Atas

Pertandingan Pra-GP Joran 1 Mac

KUALA LUMPUR, Rabu - Unit Joran Berita Harian akan menganjurkan pertandingan memancing Pra-GP Joran 1998 di Tasik Shah Alam, 1 Mac ini. Setiap penyertaan akan diberi 15 mata percuma untuk bekalan GP Joran tahun ini. Pelbagai hadiah menarik menanti pemenang dengan juara akan menerima hadiah sebuah motosikal dan wang tunai RM1,000. Naib juara pula akan membawa pulang sebuah bot dan wang tunai RM1,000, manakala pemenang ketiga menerima wang tunai RM1,000 dan barangan elektrik. Pemenang keempat hingga ke-20 pula masing-masing akan menerima hadiah wang tunai dan pelbagai peralatan memancing, alat-alat senaman, barangan elektrik dan hamper. "Tahun lalu, kolam Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi lokasi pertandingan pembuka tirai dengan disertai kira-kira 1,000 peserta dari seluruh negara. "Selain luas, Tasik Shah Alam juga strategik bagi membolehkan pemancing dari seluruh negara mengambil bahagian. "Pemberian 15 mata percuma kepada setiap peserta adalah bonus daripada penganjur yang mahu menjadikan GP Joran sebagai pertandingan memancing terunggul di negara ini," katanya. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM50 dengan dua joran dan peserta hanya berhak memenangi satu hadiah sahaja. Borang penyertaan Pra-GP Joran boleh didapati di majalah Joran, Jumaat ini. Mereka yang berminat boleh mendaftar di Unit Joran Berita Harian Kuala Lumpur. Pendaftaran juga boleh dibuat pada hari pertandingan. Berita Harian 12/2/98

Ke Atas


[ Pusingan 1 ] [ Pusingan 2 ] [ Pusingan 3 ] [ Pusingan 4 ] [ Pusingan 5 ]
[ Markah ] [ Berita Joran ] [ MUKA 1 ]